Tabiat Kepit Pin Tudung Di Bibir Boleh Bawa Maut, Ini Penyebab & Cara Untuk Elakkannya
Jelas Dr Samhan, kejadian tertelan pin tudung biasanya berlaku apabila seseorang itu terbatuk, terbersin, ketika menarik nafas atau objek itu terlucut daripada bibir.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Bagi kaum Hawa yang berhijab, pin tudung merupakan teman baik mereka. Ia amat penting bagi menggaya serta mengemaskan tudung yang dipakai.
Namun entah kenapa, sudah menjadi satu tabiat kebanyakan wanita pasti akan mengepit pin tersebut di bibir ketika sedang bersiap memakai tudung.
Walaupun dianggap normal, tindakan itu sebenarnya berbahaya malah lebih teruk boleh menyebabkan kematian.
Ini Penjelasan Pakar Perubatan Bagaimana Pin Tudung Boleh Bawa Maut
Perkara itu diakui sendiri oleh pakar perubatan swasta serta pempengaruh (influencer) Dr Ahmad Samhan Awang menerusi satu ciapan di akaun X miliknya.
Jelas Dr Samhan, kejadian tertelan pin tudung biasanya berlaku apabila seseorang itu terbatuk, terbersin, ketika menarik nafas atau objek itu terlucut daripada bibir.
“Pin tudung ini sama ada akan masuk ke salur makanan (esophagus) seterusnya ke perut atau masuk ke salur pernafasan dan seterusnya ke paru-paru.
“Jika masuk di salur makanan, ada kemungkinan akan keluar bersama najis jika tidak tersekat.
“Jika masuk ke salur pernafasan, ia akan tersekat di paru-paru dan boleh mengakibatkan pendarahan yang serius atau pneumomediastinum seterusnya boleh membawa maut,” ciapnya.
Rawat Guna Kaedah Rigid Bronchoscopy Untuk Keluarkan Pin Tudung
Tambah Dr Samhan, bagi kes sebegini, kaedah rawatan rigid bronchoscopy iaitu dengan memasukkan kamera ke dalam saluran pernafasan kebiasaannya akan digunakan dan dibuat bagi mengeluarkan objek berkenaan.
“Jika tidak berjaya, maka pesakit tiada pilihan selain menjalani pembedahan di mana dada terpaksa dibelah untuk keluarkan objek berkenaan,” ciapnya lagi.
Ini Cara Untuk Elak Daripada Tercekik Pin Tudung
Tidak mahu insiden malang ini berterusan dialami oleh wanita, Dr Samhan menyenaraikan beberapa langkah bagi mengelakkan daripada kejadian ini berlaku antaranya seperti:
- Cucuk pin pada lengan baju atau atas tudung
- Memakai tudung segera (instant) yang tidak memerlukan penggunaan pin
- Menggunakan pin magnetic
- Menggunakan pin kepit
- Elakkan membuat urusan lain ketika melaram atau bersiap
Tabiat kepit pin tudung di bibir boleh bawa maut.
— Dr Samhan (@DoktorSamhan) July 14, 2024
Pin tudung ni dah macam sahabat baik wanita. Kes tertelan pin tudung dah banyak kali terjadi.
Bagaimana boleh tertelan? Ia terjadi diluar kawalan. pic.twitter.com/HusyezKLhk
Terdahulu, pernah tular satu berita seorang wanita tertelan pin tudung hingga objek tersebut masuk ke paru-paru kirinya pada tahun 2019.
Namun, ia berjaya dikeluarkan menggunakan kaedah rigid bronchoscopy oleh kumpulan pakar perubatan daripada Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Perkara itu dikongsikan oleh Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.