Dikritik Tidak Tonjolkan Budaya Melayu, Pihak George Town Festival 2024 Mohon Maaf & Turunkan Video Promosi
Terdahulu, klip video mempromosikan George Town Festival 2024 yang akan diadakan pada 19 Julai itu mendapat kritikan ramai termasuk parti politik apabila didakwa tiada budaya masyarakat Melayu ditonjolkan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum mengetahui Georgetown, Pulau Pinang merupakan antara salah sebuah lokasi di Malaysia yang mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO).
Pengiktirafan itu dianugerahkan kepada Georgetown kerana ia dilihat mempunyai kepelbagaian budaya dalam seni bina, kehidupan dan landskap bandar yang unik.
Sebagai meraikan pengisytiharan ini, Festival Georgetown mula diadakan sejak tahun 2010 selain daripada bertujuan untuk merayakan serta memelihara budaya seni dan warisan tempatan.
Namun, video promosi Festival Georgetown 2024 pada kali ini mencetuskan perdebatan apabila tiada budaya masyarakat Melayu dipamerkan dalam video tersebut.
Keadaan itu difahamkan telah mengundang reaksi dan kritikan daripada pelbagai pihak khususnya masyarakat Melayu Pulau Pinang.
Kumpulan George Town Festival 2024 Mohon Maaf, Video Diturunkan Selepas Dapat Kritikan Ramai
Terbaharu, pihak George Town Festival 2024 memohon maaf atas isu yang timbul berhubung siaran video tersebut.
“Pasukan George Town Festival 2024 akan terus mempromosikan Geroge Town Festival sebagai festival yang memupuk semangat muhibah demi mewujudkan masyarakat Malaysia Madani yang makmur.
“Kami mengambil peluang ini untuk memohon maaf atas segala kekurangan dan kesulitan, kekhilafan dan salah faham yang mungkin tertimbul,” jelas mereka dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, mereka mengambil langkah menurunkan semua siaran video berkenaan atas dakwaan menyinggung perasaan budaya Melayu di Pulau Pinang.
Pihaknya turut meluahkan rasa kesal kerana video tersebut dilihat tidak sengaja telah menyinggung perasaan sesetengah kumpulan dan individu.
Awat tak ada orang Melayu Islam di Tanjungkah? Tengok teaser George Town Festival 2024.
Posted by Norazman Ishak on Monday 15 July 2024
Jemput Pelbagai Bangsa Untuk Terlibat Dalam Video, Sediakan 8 Program Khusus Untuk Orang Melayu
Jelas pihak Georgetown Festival 2024 lagi, mereka telahpun menjemput wakil daripada pelbagai bangsa untuk sama-sama menjayakan video teaser berkenaan.
“Kesemua perancangan dan promosi George Town Festival 2024 telah mencuba sedaya upaya dalam memastikan perwakilan yang inklusif, komprehensif dan seimbang termasuk dari segi kategori program, kumpulan jantina, umur dan perwakilan etnik dalam semua George Town Festival.
“Kami telah menjemput wakil berbilang bangsa untuk terlibat sama dalam teaser video tersebut.
“Kebudayaan Melayu memang kaya dengan elemen kesenian dan kebudayaan yang telah ditonjolkan dalam George Town Festival setiap tahun,” tulis mereka.
Malah, terdapat lapan (8) program yang telah dirancang khusus bagi individu dan kumpulan Melayu antaranya seperti persembahan PEON, Lawatan Berpandu: Pengalaman Prangin, Persembahan Tarian serta Pameran Seni USM.
Posted by George Town Festival on Monday 15 July 2024
Dapat Kritikan Dari Pelbagai Pihak Termasuk Parti Politik
Terdahulu, klip video mempromosikan festival yang akan diadakan pada 19 Julai itu mendapat kritikan ramai termasuk parti politik apabila tiada budaya masyarakat Melayu ditonjolkan.
Menerusi semakan kami, antara budaya yang diketengahkan adalah budaya masyarakat Cina dan India.
Beberapa individu dan pertubuhan dilihat lantang menyuarakan kritikan antaranya Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang menerusi Ketua Penerangannya Muhammad Fawwaz Mohamad Jan.
Fawaaz berpendapat, video itu tidak mempromosikan semangat masyarakat Pulau Pinang malah ia dilihat seolah-olah menafikan kewujudan budaya masyarakat Melayu di negeri yang mendapat jolokan Pulau Mutiara itu.
Bahkan Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) dan Gabungan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Melayu Negeri Pulau Pinang (Gabungan) turut mempunyai pendapat yang sama dengan PAS Pulau Pinang berhubung isu berkenaan.
Presiden Pemenang Tan Sri Mohd Yussof Latiff meluahkan rasa kesal dengan sikap penganjur yang tidak sensitif dengan soal perpaduan selain menafikan kewujudan masyarakat Melayu.
Malah isu ini turut mendapat perhatian ADUN Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang meminta pihak terlibat untuk lebih peka dan sensitif.
Jelasnya tindakan tidak menyertakan klip seni budaya orang Melayu seolah-olah mahu menafikan sumbangan orang-orang Melayu kepada warisan dan sejarah negeri.
“Ia jelas satu naratif yang tidak inklusif dan tidak mempamerkan kepelbagaian warisan George Town yang sebenar.
“Pada masa kita menyokong usaha keras mempromosi George Town sebagai destinasi tapak Warisan Dunia yang wajar dikunjungi oleh warga antarabangsa dan menggalakkan perkembangan Ekonomi Kreatif di Pulau Pinang, kita menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan penganjur George Town Festival 2024 yang dilantik supaya lebih peka dan sensitif dengan kepelbagaian seni dan budaya kaum-kaum yang ada di Pulau Pinang. Khilaf sudah berlaku dan sukar dilupakan walaupun video sudah diturunkan. Harap tidak berlaku lagi di masa depan.”
Baca Artikel Berkaitan: Tular Dakwaan Tentang Program Kewarganegaraan, Exco Pulau Pinang Tampil Beri Penjelasan
Baca Artikel Berkaitan: Kampung Baru Cina Sebagai Tapak Warisan Dunia, MB Selangor Tegas Jangan Jadikan Isu Perkauman