fbpx
Now Reading
Kim Pan Gon Letak Jawatan Sebagai Ketua Jurulatih Harimau Malaya [Video]

Kim Pan Gon Letak Jawatan Sebagai Ketua Jurulatih Harimau Malaya [Video]

Sehubungan itu, kekosongan jawatan tersebut akan diisi sementara oleh penolong ketua jurulatih kebangsaan, Pau Marti Vicente, 41, dari Sepanyol.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebentar tadi, 16 Julai mengumumkan, Kim Pan Gon (KPG) telah meletakkan jawatannya sebagai ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan secara serta merta.

FAM dalam satu sidang media khas berkata, KPG mengundurkan diri selepas lebih 2 tahun bergelar ketua jurulatih Harimau Malaya kerana komitmen peribadi.

2 tahun bersama Harimau Malaya adalah satu perjalanan indah – KPG

KPG menyifatkan tempoh khidmat selama dua setengah tahun di Malaysia sejak Februari 2022 lalu adalah satu perjalanan yang indah dan luar biasa dalam hidupnya terutama apabila berjaya membawa skuad Harimau Malaya layak secara merit ke Piala Asia selepas tempoh 43 tahun.

“Hari ini, saya telah memutuskan untuk berundur sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia kerana komitmen peribadi saya. Saya memohon maaf atas sebarang kekecewaan yang mungkin ditimbulkan kepada semua pihak.

“Sejak saya tiba pada Februari 2022, selama dua setengah tahun yang lalu, rakyat Malaysia benar-benar menghadiahkan saya satu perjalanan yang sangat luar biasa dan indah dalam hidup saya.

“Pada Jun 2022, kita bersama-sama berkongsi kegembiraan Malaysia layak ke Piala Asia secara merit selepas tempoh 43 tahun dan sejak itu, kita telah meningkat ke tangga ke-130 dalam ranking FIFA dan pada aksi terakhir Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lalu, kita berjaya seri 3-3 dengan pasukan ranking ke-22 dunia, Republik Korea, sekali gus menunjukkan satu kebanggaan yang rakyat Malaysia harus ada dalam bola sepak mereka.

“Namun malangnya kita tidak layak ke pusingan akhir Kelayakan Piala Dunia 2026. Tapi dengan tiga kemenangan, satu seri, dua kekalahan dan 10 mata, kita telah menyediakan satu asas dan momentum bagi menyemai harapan untuk masa depan bola sepak Malaysia yang cerah,” kata Pan Gon.

Pau Marti Vicente jadi pemangku ketua jurulatih

Sehubungan itu, kekosongan jawatan tersebut akan diisi oleh penolong ketua jurulatih kebangsaan, Pau Marti Vicente, 41, dari Sepanyol yang kini bergelar pemangku ketua jurulatih kebangsaan.

Menurut Timbalan Presiden FAM Datuk Wira Mohd Yusoff Haji Mahadi, Pau Marti akan dibantu seorang lagi penolong ketua jurulatih kebangsaan, E. Elavarasan.

“Untuk pengetahuan semua, Pan Gon telah berjumpa dengan pihak pengurusan FAM bagi menyatakan hasrat beliau untuk memendekkan tempoh kontraknya.

“Ia disusuli dengan beberapa lagi perjumpaan selepas itu yang mana kita cuba untuk memujuk beliau supaya mempertimbangkan semula hasratnya itu tetapi pada akhirnya, pihak pengurusan dan Jawatankuasa Eksekutif FAM menghormati keputusan beliau dan bersetuju untuk melepaskan Pan Gon dengan persetujuan bersama, biarpun beliau masih berbaki kontrak dengan FAM sehingga Disember 2025.

“Sudah tentu ini satu berita sedih dan duka untuk kita semua kerana Pan Gon telah berjaya membawa skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023, selain ranking FIFA kita juga meningkat naik di sepanjang dua tahun setengah beliau membimbing pasukan kebangsaan. Kita amat berasa kehilangan beliau,” kata Datuk Wira Yusoff di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Staf kejurulatihan lain akan terus kekal bersama Harimau Malaya

Namun menurut Yusoff, staf-staf kejurulatihan lain iaitu penolong jurulatih, Park Bobae; jurulatih penjaga gol, Cho Junho; jurulatih kecergasan, Jihyeon Park dan jurulatih analisis prestasi, Lim Jaehun akan terus bersama pasukan kebangsaan bagi membantu Pau Marti, dan Elavarasan berdasarkan kontrak masing-masing.

“Sudah pasti tugasan pertama Pau Marti selaku pemangku ketua jurulatih Harimau Malaya ialah untuk mengemudi pasukan bagi pertandingan Pestabola Merdeka 2024 yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada September ini dengan disertai tiga pasukan lain iaitu Tajikistan, Lebanon dan Filipina.

“Pada masa yang sama, Jawatankuasa Pengurusan Pasukan-pasukan Kebangsaan FAM akan terus menilai dan memantau prestasi skuad Harimau Malaya dari semasa ke semasa di bawah kendalian Pau Marti ini terutama menjelang Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 pada November dan Disember ini serta Kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac depan,” jelas beliau.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.