Video George Town Festival 2024 Bukti Kejahilan & Kurangnya Usaha Exco Pelancongan Negeri – Sumber DAP
Sumber dari parti DAP itu turut mengkritik kepimpinan Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Wong Hon Wai yang dilihat mengambil mudah dan tidak cakna tentang sensitiviti melibatkan kaum Melayu di negeri itu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Semalam (16 Julai), kami ada melaporkan tentang permohonan maaf dan kenyataan daripada pihak George Town Festival 2024 berhubung video promosi festival tersebut yang tidak menonjolkan budaya masyarakat Melayu Pulau Pinang.
Walaupun permohonan maaf telah dibuat serta video itu diturunkan di semua platform, ia masih lagi dilihat tidak dapat memuaskan hati banyak pihak khususnya kaum Melayu.
Baca Artikel Berkaitan: Dikritik Tidak Tonjolkan Budaya Melayu, Pihak George Town Festival 2024 Mohon Maaf & Turunkan Video Promosi
Kerajaan Negeri Pulau Pinang Dilihat Tidak Sensitif
Menurut sumber dalaman Parti Tindakan Demokratik (DAP), masyarakat Melayu di negeri yang mendapat jolokan sebagai Pulau Mutiara itu telah muak dengan kerajaan negeri.
Ini dapat dilihat dengan kekalahan di Permatang Pauh dan Sungai Bakap di mana jurang kekalahan menjadi semakin besar.
Selain itu, kerajaan negeri dilihat tidak bersungguh dalam mempromosikan Pulau Pinang sebagai satu negeri harmoni yang mempunyai masyarakat berbilang kaum sebaliknya hanya menumpang populariti Nasi Kandar sahaja.
“DAP sudah empat penggal sebagai kerajaan negeri Pulau Pinang.
“Pelancongan merupakan tulang belakang Pulau Pinang tetapi usaha untuk menarik pelancong terbantut. Terus menunggang Nasi Kandar sahaja,” kata sumber.
Malah, sumber itu turut mengkritik kepimpinan Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Wong Hon Wai yang dilihat mengambil mudah dan tidak cakna tentang sensitiviti melibatkan kaum Melayu di negeri itu.
“Video (George Town Festival 2024) itu menunjukkan kejahilan dan kurangnya usaha Exco Negeri (Wong). Tak faham sentimen, tak hormat sentimen. Orang marah lah,” kata sumber itu lagi.
Patut Contohi Steven Sim
Sumber tersebut turut menjadikan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim sebagai contoh apabila berjaya menguruskan kawasan parlimennya dengan baik walaupun kawasan itu majoritinya diduduki oleh masyarakat Melayu.
Malah, sumber itu turut menyifatkan Wong Hon Wai yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong sebagai seorang yang mempunyai pandangan dunia yang terhad dan tidak patut dibenarkan memimpin negeri itu.
“Orang PAS pun akan mengundi DAP kalau mereka turun ke padang dan buat kerja. Tapi kalau tak buat kerja, orang takkan mengundi,” jelasnya lagi.
Malah, dia berpendapat DAP Pulau Pinang tidak berusaha menarik undi masyarakat Melayu malah mengambil mudah undi orang Cina.
Permohonan Maaf Dilihat Tidak Bersungguh – MP DAP Syerleena
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid menyifatkan permohonan maaf daripada pihak George Town Festival 2024 tidak bersungguh.
Jelas Syerleena menerusi video di akaun TikTok miliknya @syerleena_rashid, video promosi yang dikeluarkan oleh pihak berkenaan adalah contoh kecuaian dan tidak menjaga sensitiviti masyarakat.
“Pulau Pinang patut tunjuk contoh macam mana sebuah negeri yang berbilang kaum boleh meraikan kepelbagaian.
“Tapi itu lah, kadang-kadang kita ni, suka ambil cara yang mudah dan cuai dalam menjaga sensitiviti masyarakat,” katanya.
Malah, Syerleena dengan nada sinis turut mempersoalkan tentang kandungan kenyataan media pihak berkenaan.
“Dah la buat silap, tulis penjelasan pun tidak bersungguh. Awat (kenapa)? Dah tak da (tiada) staf Melayu ke yang nak tolong tulis kenyataan media ni?
“Benda macam ini lah buat saya marah,” kata Syerleena.
Perlu Ada Ketegasan Dalam Menangani Masalah Perkauman
Jelas Syerleena lagi, sebagai anak Melayu Pulau Pinang, video bertajuk Here and Now itu tidak seharusnya dipersembahkan sedemikian.
“Bukan apa, sebagai anak Melayu Pulau Pinang, saya rasa tak sepatutnya macam tu.
“Kalau saya tak buat teguran keras terhadap kecuaian pihak berkenaan dalam George Town Festival ini, bukan sedikit perasaan terguris, saya rasa macam kena tikam di ulu hati,” jelasnya.
Malah, dia juga berpendapat, isu berkenaan disifatkan sebagai tidak masuk akal dan pihak berkenaan perlu berusaha untuk memperbaiki keadaan.
“Apalah yang susah sangat untuk bekerja secara inklusif dan akal fikiran yang waras. Benda ini tak masuk akal.
“Jadi saya harap ada usaha betulkan keadaan, perlu ada ketegasan dalam menangani masalah perkauman yang sempit.
Malah, di akhir video berkenaan, dia turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang memerlukan bantuan untuk datang ke pejabatnya.
“Mai (Datang) ketuk pintu cheq (saya) kalau hampa (anda) perlukan bantuan senangkan. Jangan lupa, Malaysiakan milik kita bersama maka sama-sama kita pakat jaga,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: