YouTuber Malaysia Dakwa Kena Scam Semasa ‘Sea Walking’ Di Bali, Bayar Mahal Tapi Tak Berbaloi [Video]
Tidak hanya itu, YouTuber terbabit turut menyatakan gambar yang diambil oleh ‘instructor’ semasa dia melakukan aktiviti terbabit kabur selain video juga kelihatan bergegar serta tidak cantik.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, seorang YouTuber Malaysia meluahkan kekecewaannya dan berasa dirinya seperti ditipu oleh sebuah pakej berjalan dalam laut (sea walking) semasa percutiannya di Bali, Indonesia.
Influencer yang dikenali sebagai Arif Aiman itu mendakwa jumlah yang perlu dibayarnya iaitu sebanyak 1.35 juta rupiah (bersamaan RM390) adalah tidak berbaloi dengan pengalaman yang diterimanya semasa melakukan aktiviti terbabit.
Banyak sampah dalam laut, ganggu pandangan mata
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya @arifaimanahmad, Arif berkata semasa dia masuk ke dalam laut tersebut, kelihatan banyak sampah yang terapung dan mengganggu pemandangannya.
“Aku masuk je dua minit dah rasa tak berbaloi dah, kenapa aku cakap, sebab dekat sini ada macam-macam benda yang aku tengok, ada banyak sampah dan mengganggu pandangan jugalah, bukan sikit (sampah) banyak pula tu aku jumpa,” katanya.
Laut bergelora, air keruh ikan hanya nampak pada jarak dekat
Dakwa Arif lagi, sepanjang melakukan aktiviti tersebut, dia juga perlu memegang kuat pada tiang besi rel kerana arus yang kuat selain pemandangan juga terhad kerana air yang keruh berkemungkinan akibat gelora pada ketika itu.
Selain itu, dia juga hanya dapat melihat ikan pada jarak yang dekat sahaja tidak seperti apa yang dilihatnya di dalam video YouTube pengalaman orang lain sebelum ini.
“Aku dah dapat validation daripada staf dekat situ, dia orang pun cakap boleh tengok ikan, tapi masalahnya aku tengok ikan itu dekat dalam beberapa jengkal jelah depan mata aku ni.
“Dia tak nampak sampai hujung, aku tengok (video) orang lain pergi dia nampak jauh, mungkin sebab air dah berkocak-kocak jadi keruh,” katanya lagi.
Gambar dan video yang ‘instructor’ ambil kabur serta bergegar
Tidak hanya itu, Arif turut menyatakan gambar yang diambil oleh ‘instructor’ semasa dia melakukan aktiviti terbabit kabur selain video juga kelihatan bergegar serta tidak cantik.
“Kalau tengok dalam video (instructor rakam) ini pun alamak video kamera aku lagi baik. Aku ingat video diorang cantiklah tak bergegar macam ini sebab dah bayar mahal kot.”
YouTuber/Arif Aiman
Bayar pakej untuk 20 minit sea walking tapi 13 minit sahaja dalam laut
Berkongsi lanjut, Arif berkata apa yang lebih mengecewakannya adalah tempoh dia berada di dalam laut tersebut hanyalah sekitar 13 minit sahaja, tidak seperti apa yang tertera di dalam pakej yang diambilnya iaitu selama 20 minit.
Bagi Aiman, tujuh minit masa yang hilang itu adalah sangat lama dan berharga baginya dengan apa yang telah dibayar olehnya.
“Kalau macam dua tiga minit aku boleh maafkan lagi lah, tapi ini tujuh minit. Jadi lepas ini kalau korang buat aktiviti sama macam aku ini, korang set masa dan kalau rasa macam tak cukup masa bagitau dia (instructor) dan minta dia hantar balik ke bawah,” ujar Arif.
Mungkin air keruh sebab cuaca atau musim
Dalam pada itu, Arif juga tidak menafikan punca laut bergelora serta air yang keruh adalah disebabkan oleh keadaan cuaca atau musim pada ketika itu di Bali.
Susulan itu, dia menasihati orang ramai yang ingin melakukan aktiviti sebegini agar memilihnya pada keadaan cuaca yang baik seperti ketika waktu tengah hari agar pemandangan semasa di dalam air lebih terang dan jelas.
Netizen beri pelbagai reaksi, ada yang dakwa sea walking di Sabah lebih berbaloi
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial mendakwa adalah lebih berbaloi dan murah sekiranya YouTuber terbabit merasai pengalaman ‘sea walking’ di Semporna, Sabah.
Tidak hanya itu, ada juga segelintir warga Indonesia yang mencadangkan Arif untuk pergi ke pulau-pulau lain di Indonesia yang pada pendapat mereka lebih cantik daripada Bali seperti di Sulawesi atau Jayapura.
Ada juga yang berpendapat bahawa keadaan sebegitu berlaku kepada Arif kerana pempengaruh berkenaan pergi ke Bali pada musim yang salah.