
“Ini Mitos Semata” – Ketua Polis Negara Tegaskan Tidak Perlu Tunggu 24 Jam Untuk Lapor Orang Hilang
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menegaskan tidak ada ketetapan undang-undang yang meminta orang ramai untuk menunggu sehingga tempoh 24 jam bagi melaporkan kes Orang Hilang (OH).
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kes kehilangan individu yang berlaku baru-baru ini telah menggemparkan seluruh dunia terutamanya bagi pihak polis.
Memetik laporan Kosmo, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menegaskan bahawa masyarakat tidak perlu menunggu tempoh sehingga 24 jam bagi membuat laporan bagi kes Orang Hilang (OH).
Jelas beliau lagi, alasan untuk menunggu sehingga tempoh berkenaan adalah satu mitos yang tidak berasas kerana tidak termaktub dalam mana-mana undang-undang.
Perkara itu juga akan menimbulkan perasaan gementar dan gemuruh bagi pihak yang terlibat.
Tidak ada ketetapan atau undang-undang yang memaksa anda bersabar, bertenang atau bertahan dalam tempoh panjang. Ada yang kata perlu tunggu sampai 24 jam, 48 jam hingga 72 jam dalam keadaan gementar serta gemuruh. Ini mitos semata.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
Orang Ramai Diminta Salurkan Maklumat Bagi Bantu Pencarian Individu Hilang
Razarudin menasihati orang ramai untuk segera melakukan laporan polis sekiranya individu yang dilaporkan hilang itu diyakini gagal untuk dihubungi.
Tindakan itu adalah sebagai langkah awal bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku kepada mangsa yang hilang.

Orang ramai juga diminta untuk memainkan peranan dalam membantu menyalurkan maklumat tentang kes kehilangan orang.
Peranan masyarakat sangat dihargai dalam membantu pihak polis. Saluran di pelbagai medium kita hebahkan berkait kes orang hilang untuk orang awam bersama kita membantu siasatan kes.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
Statistik Kehilangan Rakyat Malaysia
Memetik laporan Astro Awani, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan seramai 153 orang kanak-kanak dan remaja berusia bawah 18 tahun telah dilaporkan hilang di seluruh negara setakat April 2024.
Menurut data daripada Bukit Aman pula, Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata seramai 429 individu berusia 18 tahun dan ke atas dilaporkan hilang dari tahun 2022 sehingga Jun lalu.
Jumlah tersebut melibatkan 314 orang lelaki dan 115 orang wanita.
Maklumat Yang Diperlukan Untuk Lapor Kes Orang Hilang

Bagi memudahkan proses untuk mencari individu yang hilang, terdapat beberapa maklumat yang perlu diberikan kepada pihak polis. Antaranya:
- Nama
- Umur
- Tempat lahir
- Berat
- Tinggi
- Sebarang tanda pada tubuh
- Warna pakaian terakhir yang dipakai oleh individu
- Lokasi terakhir dikesan
- Individu terakhir bersama individu
- Alamat tempat kerja atau belajar
- Alamat kediaman
Bagi membantu proses pencarian, individu yang melaporkan perlu memberikan gambar terbaharu bagi individu yang dikhuatiri hilang.
Gambar berkenaan juga perlu menampakkan keseluruhan wajah dari bahagian bahu dan wajah yang jelas.
Baca Artikel Berkaitan: Nur Farah Kartini Dipercayai Mati Dibunuh, Penjawat Awam Usia 26 Tahun Dibawa Ke Mahkamah Untuk Reman
Baca Artikel Berkaitan: UPSI Tawar Bantuan Buat Keluarga Nur Farah Kartini, Sedia Tanggung Kos Pengurusan Jenazah