Tular Kucing Dijemur Tengah Panas Tanpa Bumbung & Penghadang Di Tingkat 3 Luar Bangunan [Video]
Menurut aktivis haiwan jalanan itu, bangunan terbabit merupakan sebuah hotel yang keadaannya seperti bilik sewa dan misi menyelamatkan kucing terbabit sudahpun selesai.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Selain anjing, kucing merupakan antara haiwan yang sering menjadi pilihan masyarakat di dunia untuk dijadikan sebagai binatang peliharaan.
Ini kerana tingkah laku mereka yang comel dan mudah dijaga sering menjadi pilihan orang ramai untuk membela mereka.
Bagaimanapun, masiih ada segelintir individu yang bertindak membela si bulus terbabit secara sambil lewa bahkan hingga menderanya.
Tular individu letak kucing di atas para tingkat 3 tanpa bumbung dan penghadang
Seperti baru-baru ini, beberapa ekor kucing yang sengaja diletakkan di atas para kayu buatan di tingkat tiga luar sebuah bangunan tanpa bumbung dan penghadang di Melaka.
Perkara itu mendapat perhatian ramai selepas ianya dikongsikan oleh seorang wanita yang juga aktivis haiwan jalanan, Nurul Ain Abdul Hamid di akaun Instagram miliknya yang memaparkan keadaan kucing-kucing terbabit seperti sedang kehausan dan kepanasan berada di luar rumah pada waktu tengah hari.
Kucing dibiar kepanasan ketika waktu tengah hari
Menerusi video yang dikongsikan juga, kelihatan seekor kucing sedang berusaha ingin masuk ke dalam bangunan menerusi tingkap yang tertutup manakala yang lain sedang berteduh di bawah sebuah meja kecil.
“Tiga tingkat bangunan diletakkan kucing-kucing ini di luar para yang sempit Allahurabi, harap kucing-kucingnya selamat.
“Tolong sesiapa yang berdekatan Melaka Raya hubungi saya, saya sudah membuat aduan kepada pihak DVS (Jabatan Perkhidmatan Veterinar) dan masih menunggu jawapan pihak DVS,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Pihak bomba Melaka segera datang selamatkan kucing-kucing terbabit
Berkongsi lanjut, Nurul Ain berkata, tidak lama selepas perkara itu dilaporkan dan tular, pihak Bomba Melaka telah bergegas ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan kuncing-kuncing terbabit.
Menurutnya, pihak bomba juga sempat menegur pengawal keselamatan yang menjaga kawasan terbabit kerana membiarkan perkara tersebut berlaku.
“Rupanya penganiayaan ini bukanlah baru terjadi, memang selalu dibuat oleh pemilik kucing seperti yang dimaklumkan oleh pengawal keselamatan dan ‘security’ terbabit juga memaklumkan mereka pernah menasihati pemilik tetapi pemilik itu masih berdegil,” katanya.
Kucing berjaya diselamatkan, hanya tunggu DVS ambil tindakan seterusnya
Difahamkan, bangunan terbabit merupakan hotel yang keadaanya seperti bilik sewa dan misi menyelamatkan kucing terbabit sudahpun selesai.
“Tinggal tugas pihak DVS sahaja supaya tindakan undang-undang diberikan kepada pemilik kucing-kucing ini kerana hal ini sangat serius apatah lagi jika terjadi kepada makhluk yang tidak mampu berbicara.
“Isu penderaan atau penganiayaan haiwan bukanlah isu yang baru dan bukanlah isu yang jarang-jarang terjadi. Isu ini sering terjadi dalam kalangan masyarakat.
“Moga keadilan dapat diberikan kepada haiwan-haiwan yang teraniaya memandangkan di negara kita sudahpun ada Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan semoga akta ini diperketatkan lagi,” katanya lagi.