“Jaga Mulut” – Ustaz Jafri Tegur Individu Buat Spekulasi & Tuduhan Pada Nur Farah Kartini [Video]
Menurut Ustaz Jafri, segelintir warganet telah membuat tuduhan yang berat terhadap Nur Farah Kartini yang disyaki dibunuh seorang anggota polis.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sejak kebelakangan ini, kes kematian Allahyarhamah Nur Farah Kartini Abdullah yang merupakan graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menjadi topik utama buat pengguna media sosial.
Wanita tersebut pada awalnya dilaporkan hilang sebelum ditemui maut di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor.
Kes tersebut lebih hangat diperkatakan selepas arwah disyaki dibunuh oleh seorang suspek yang juga merupakan anggota polis berpangkat lans koperal bertugas di Balai Polis Slim River, Perak.
Baca Artikel Berkaitan: Nur Farah Kartini Dipercayai Mati Dibunuh, Penjawat Awam Usia 26 Tahun Dibawa Ke Mahkamah Untuk Reman
Baca Artikel Berkaitan: PDRM Sahkan Suspek Kes Bunuh Nur Farah Kartini Anggota Polis Di Perak
Ustaz Jafri Tegur Orang Ramai Yang Buat Tuduhan Kepada Si Mati
Susulan insiden mengejutkan itu, segelintir individu tidak bertanggungjawab telah menimbulkan pelbagai spekulasi sehingga menyebarkan aib dan info kurang sahih.
Isu ini turut mendapat perhatian pendakwah terkenal iaitu Ustaz Jafri Mahmoodi yang tampil berkongsi pandangannya tentang pemergian Nur Farah Kartini di TikTok.
Menurutnya, para netizen dilihat memberikan pelbagai reaksi tentang pemergian mangsa. Ada yang menzahirkan perasaan sedih dan ada juga yang mengeluarkan kata-kata berunsur kemarahan.
Oleh disebabkan itu, Ustaz Jafri menerusi perkongsiannya memberikan nasihat kepada orang ramai untuk menjaga pertuturan mereka.
“Memang kita marah, memang kita sakit hati tetapi kita orang Islam ada batas-batasnya. Ada yang saya baca tuduhan-tuduhan yang agak berat.
“Antaranya yang paling menakutkan itu ialah yang si mati ini telah mengandung dan kekasihnya itu dikatakan tidak mahu bertanggungjawab. Ini tuduhan yang sangat berat sebenarnya,” kata ustaz berkenaan.
Tuduhan Zina Palsu Boleh Dikenakan Hukuman Oleh Allah SWT
Tambah pendakwah itu lagi, menuduh seseorang berzina tanpa bukti yang jelas adalah satu perkara besar di mana individu boleh mendapat balasan dari Allah SWT.
“Sebab dalam Islam, menuduh seorang itu berzina ada hukuman dia kalau tidak ada bukti dan saksi.
“Dia perlu bawa kepada empat orang saksi yang adil dan seandainya dia tidak mampu untuk menyediakan yang demikian maka dia layak dikenakan Qazaf (tuduhan zina palsu). Benda boleh terlepas dekat dunia tapi nanti dia tak selamat di akhirat,” ulas Ustaz Jafri.
Memetik Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, menuduh orang berzina jatuh di bawah kesalahan qazaf yang mana menurut undang-undang Islam boleh dihukum sebat sebanyak 80 kali sebatan.
Sementara itu, ada juga sesetengah individu membuat andaian bahawa si mati tidak menjaga ikhtilat, namun Ustaz Jafri menegaskan bahawa orang ramai tidak mengetahui perkara sebenar yang berlaku.
“Sebenarnya tuan-tuan, kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku di sebalik kejadian ini. Maka waktu ini, mungkin yang lebih baik kita buat adalah mendoakan si mati agar Allah mengampuni segala dosa-dosanya dan menempatkan dia di kalangan hamba Allah yang soleh,” kata ustaz tersebut.
Harap Orang Ramai ‘Jaga Mulut’, Elak Sebar Perkara Tak Sahih
Di akhir perkongsian, pendakwah berkenaan berharap agar orang ramai boleh jadikan perkara ini sebagai satu pengajaran untuk ‘menjaga mulut’.
Hal ini kerana, perkara tidak sahih yang disebarkan boleh membawa kesusahan kepada diri sendiri di akhirat kelak.
@jafrimahmoodi_off Macam-macam tuduhan kita baca & dengar pada mangsa Farah Kartini #jafrimahmoodiofficial #ustazjafriabubakarmahmoodi #tehtarikmahmudi #fyp #foryou #tiktok #ustazjafriabubakar #ustazjafrimahmoodi #farahkartini ♬ original sound – jafrimahmoodi_official
Ramai Setuju Dengan Pandangan Ustaz Jafri
Menjengah ke ruangan komen, orang ramai dilihat bersetuju dengan segala perkongsian Ustaz Jafri.
“Tengok komen-komen masyarakat Islam hari ini sedih ustaz, seolah-olah tidak ada hari pembalasan,” ujar seorang lelaki.
Sementara itu, ramai juga telah menitipkan doa agar segala urusan Nur Farah Kartini di alam sana dipermudahkan oleh-Nya.
“Semoga Allah ampunkan segala dosa-dosanya dan tutup aib Nur Farah Kartini,” kata seorang wanita.
Baca Artikel Berkaitan: “Hari-hari Isterinya Menangis, Tolonglah Faham” – Abang Ipar Suspek Kes Bunuh Nur Farah Kartini