Suami Isteri Naik Motor Pergi Paris, Mahu Beri Sokongan Penuh Kepada Pasukan Malaysia Di Sukan Olimpik
Pasangan suami isteri yang dikenali sebagai Alfi Shahrin Zakaria dan Diana Latief sudah mulakan perjalanan ke Paris menggunakan Honda RSX150 milik mereka.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Hanya berbaki empat hari sahaja lagi, Temasya Sukan Olimpik Paris 2024 akan membuka tirai iaitu dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.
Ia sudah pastinya akan mengujakan peminat sukan tempatan untuk melihat pasukan Malaysia beraksi dalam temasya tersebut dan sekali gus membawa pulang pingat buat negara.
Bagi segelintir individu, ada yang mengambil inisiatif untuk menunjukkan sokongan dengan hadir sendiri ke temasya sukan terbesar dunia itu.
Pergi Ke Paris Menaiki Motor Kapcai
Jika kebanyakan orang memilih untuk menggunakan kapal terbang sebagai pengangkutan utama, berbeza pula dengan pasangan suami isteri ini yang berhasrat mahu pergi ke Paris menggunakan motor kapcai mereka.
Pasangan yang dikenali sebagai Alfi Shahrin Zakaria dan Diana Latief itu berhasrat untuk ke Paris menggunakan Honda RSX150 milik mereka.
Lahir pada zaman kegemilangan ‘The Sidek Brothers’ menjadi pencetus semangat buat pasangan itu untuk melihat atlet negara beraksi di hadapan mereka sendiri.
“Kami mahu buktikan bahawa barangan buatan Malaysia boleh tahan lama, dengan penjagaan dan penggunaan yang betul, boleh sampai, walaupun pemikiran masyarakat berbeza.
“Sekarang yang terkenal adalah Datuk Azizulhasni Awang, jadi kami ingin melihat dia jika ada rezeki.
“Pada kami, menang kalah belakang cerita tetapi menyaksikan di depan mata lebih utama. Semangat untuk menyokong pasukan negara lebih utama,” katanya yang dipetik daripada Nadi Arena.
Pernah Simpan Hasrat Ke Sukan Olimpik Tokyo 2020
Jelas pasangan itu lagi, mereka pernah berhasrat untuk melihat pasukan negara beraksi dalam Sukan Olimpik Tokyo pada tahun 2020.
Namun, dek kerana penularan wabak Covid-19, mereka terpaksa menunda hasrat tersebut dan menjadikan Paris sebagai destinasi untuk merealisasikan impian mereka itu.
Berdasarkan info di Facebook rasmi mereka, Alfi dan Diana sedang dalam perjalanan menuju ke Paris dan pada dua hari lepas mereka telahpun berada di Bursa, Turkiye.
Alhamdulillah, terima kasih sudi singgah ke rumah kami di Osmangazi Bursa , Diana Latief dan Mohd Alfishahrin pasangan…
Posted by Norhawa Mohd Nor on Friday 19 July 2024
Sekadar info, Alfi dan Diana yang turut dikenali dengan Kapcaipackers sebelum ini pernah menjadi perhatian apabila pergi ke Qatar demi menunjukkan sokongan kepada pasukan Harimau Malaya pada sekitar penghujung tahun 2023.
Sejak jelajah pertama mereka pada tahun 2017 menggunakan motosikal menuju ke London, mereka telah mengembara dunia ke lebih 10 negara dengan hanya menggunakan kenderaan tersebut.
Antara negara yang pernah dilawati adalah seperti Rusia, Eropah, Syria dan Turki sebelum pandemic Covid-19.
Baca Artikel Berkaitan: Kontinjen Malaysia Akan Peragakan Baju Rizman Ruzaini Ketika Perasmian Olimpik Paris
Baca Artikel Berkaitan: “Tiada Guna Baju Cantik Tapi Gagal Bawa Pulang Emas” – Ketua Kontinjen Malaysia Ke Olimpik Paris 2024