Wang Hantaran Patut Jadikan Mas Kahwin, Simpan & Jangan Guna Untuk Kenduri – Ustaz Amran Yusoff [Video]
Menurut Ustaz Amran, hukum mengadakan kenduri pernikahan adalah sunat di rumah keluarga pihak pengantin lelaki.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap pasangan yang bercinta pasti mempunyai impian untuk mendirikan rumah tangga serta hidup bersama-sama.
Pun begitu, di Malaysia masih ada individu yang keliru dengan berbezaan di antara mas kahwin dan wang hantaran. Bahkan ada juga yang beranggapan kedua-dua ini adalah sama.
Untuk info, wang hantaran merupakan hadiah berbentuk duit yang diberikan oleh pihak lelaki kepada keluarga pengantin perempuan, manakala mas kahwin (mahar) adalah wajib oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan sebagai hadiah perkahwinan.
Kebiasaannya, pihak pengantin perempuan akan menggunakan wang hantaran untuk mengadakan majlis pernikahan dan kenduri kendara.
Wang hantaran jadikan mas kahwin & simpan, kenduri kahwin sunat buat di pihak lelaki
Bagaimanapun, penceramah bebas, Ustaz Amran Yusoff menasihati wanita yang ingin berkahwin agar menjadikan wang hantaran sebagai mas kahwin tanpa perlu menggunakannya untuk mengadakan majlis keramaian.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok @arrazimukminin, Ustaz Amran berkata hukum mengadakan kenduri pernikahan adalah sunat di rumah keluarga pihak pengantin lelaki.
Simpan mas kahwin untuk kegunaan akan datang, itu hak wanita
Malah beliau menasihati agar pengantin wanita menyimpan mas kahwin terbabit untuk kegunaan masa akan datang kerana wang tersebut adalah hak mereka.
“Tuan-tuan dan puan-puan dalam hadis Nabi (Muhammad SAW) mengajar, kenduri kahwin tak dibuat di rumah (pengantin) perempuan.
“Perempuan bila awak dapat RM30,000 (wang hantaran), tambah lagi RM300 (RM30,300) jadi mas kahwin, ambil duit itu dan simpan dalam bank itu hak awak.
“Sebab ada wanita lepas 12 hari dicerai, hanya dapat mas kahwin seumpama di Pahang RM22.50, apa nak dia nak buat dengan duit itu,” katanya.
Ibu bapa pengantin lelaki bertanggungjawab adakan kenduri kahwin di pihaknya
Menurutnya lagi, ibu bapa yang memiliki anak lelaki mempunyai tanggungjawab besar untuk untuk mengadakan majlis perkahwinan atau kenduri di pihak mereka.
“Orang perempuan jangan buang duit, simpan harta awak, kerana besok bila suami mati awak cuma dapat satu per lapan (1/8) sahaja harta (suami),” katanya lagi.
Berkongsi lanjut, Ustaz Amran juga mendakwa masih ada ibu bapa yang ‘merosakkan’ anak-anak dengan meminta wang hantaran yang tinggi dan bukannya mas kahwin.
Beliau juga menasihati ibu bapa pengantin agar tidak menghabiskan duit mereka atau anak-anak untuk mengadakan majlis kahwin yang hanya berlangsung satu hari.
“Kemudian anak kita susah payah berpuluh tahun dalam kehidupannya,” ujar Ustaz Amran.
Mas kahwin termasuk dalam rukun nikah kelima
Sekadar perkongsian, mas kahwin adalah termasuk dalam rukun nikah yang kelima iaitu ijab dan kabul (akad), mas kahwin juga disebut dalam akad.
Islam tidak menentukan jumlah minimum atau maksimum mas kahwin yang hendak diberikan oleh pengantin lelaki, namun Jabatan Agama Islam setiap negeri kecuali Kelantan, Kedah, Terengganu, Perlis sudah meletakkan jumlah minimum yang perlu dibayar.
Jumlah ini tidak membebankan dan pihak pengantin lelaki juga boleh memberikan lebih daripada nilai yang sudah ditetapkan itu.
Berikut nilai mas kahwin bagi 2024 mengikut negeri:
Negeri | Anak dara/bujang | Janda/ibu tunggal |
Perlis | – | – |
Kedah | – | – |
Perak | RM101 | RM101 |
Pulau Pinang | RM24 | RM24 |
WP KL | RM80 | RM80 |
Selangor | RM300 | RM300 |
Negeri Sembilan | RM200 | RM100 |
Melaka | RM100 | RM100 |
Johor | RM22.50 | RM22.50 |
Pahang | RM100 | RM100 |
Terengganu | – | – |
Kelantan | – | – |
Sabah | RM100 | RM80 |
Sarawak | RM120 | RM120 |
WP Labuan | RM80 | RM80 |