“Bukan Penyelesaian Yang Adil” – Suhakam Bantah Hukuman Gantung 6 Pesalah Kes Bunuh Zulfarhan
SUHAKAM meminta kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan hukuman mati dan berusaha ke arah sistem keadilan lebih saksama dan berperikemanusiaan untuk semua.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, Mahkamah Rayuan Putrajaya telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) atas kesalahan membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain pada 2017.
Hukuman gantung yang dijatuhkan terhadap enam pesalah itu mendapat perhatian ramai di mana rata-rata rakyat Malaysia bersetuju dan menyifatkan hukuman terbabit sebagai setimpal dengan perbuatan mereka.
Malah, hakim juga bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa perbuatan dan cara membunuh itu bukan sahaja mengejutkan kehakiman, bahkan hati nurani masyarakat.
SUHAKAM bantah hukuman gantung sampai mati
Bagaimanapun, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menerusi satu kenyataan hari ini (25 Julai) membantah hukuman gantung sampai mati itu.
SUHAKAM berpandangan bahawa hukuman mati itu bukanlah penyelesaian yang adil atau berkesan, meskipun mereka bersama keluarga mangsa dalam memahami kesedihan dan mengakui seriusnya jenayah terbabit.
Minta kerajaan pertimbang semula pelaksanaan hukuman mati
Susulan itu, SUHAKAM meminta kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan hukuman mati dan berusaha ke arah sistem keadilan lebih saksama dan berperikemanusiaan untuk semua.
“SUHAKAM mengucapkan takziah kepada keluarga (Allahyarham) Zulfarhan dan maklum akan keputusan Mahkamah Rayuan, baru-baru ini.
“Namun gantung sampai mati adalah hukuman yang tidak boleh diubah dan tidak memungkinkan berlakunya pemulihan sekiranya ada kesilapan kehakiman.
“Ia juga bertentangan dengan gerakan global ke arah pemansuhan hukuman mati yang diakui banyak negara sebagai tidak berperikemanusiaan dan melanggar hak asasi manusia,” katanya dipetik Berita Harian.
Keputusan itu menandakan detik sedih dalam sejarah kehakiman
Menurut SUHAKAM, keputusan itu menandakan detik menyedihkan dan penting dalam sejarah kehakiman Malaysia.
“Dalam konteks ini, penting untuk menekankan aspek pemulihan kerana cara itu boleh membawa perubahan kepada pesalah menjadi masyarakat yang lebih bertanggungjawab.
“Pendekatan ini bukan sahaja menangani punca kelakuan ganas terbabit tetapi juga membantu mencegah kejadian sama pada masa depan dengan menggalakkan persefahaman, empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pesalah.
“Komitmen kami terhadap hak asasi manusia memberi mandat buat kami menyokong pemansuhan hukuman mati,” katanya.
Pada Selasa lalu (23 Julai), panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail, secara sebulat suara membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengembalikan semula pertuduhan asal bunuh terhadap mereka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Enam tertuduh terbabit yang kini berusia 28 tahun terdiri daripada:
- Muhammad Akmal Zuhairi Azmal
- Muhammad Azamuddin Mad Sofi
- Muhammad Najib Mohd Razi
- Muhammad Afif Najmudin Azahat
- Mohamad Shobirin Sabri
- Abdoul Hakeem Mohd Ali.
“Mahkamah memutuskan hanya satu hukuman terhadap keenam-enam OKT iaitu mereka perlu dibawa ke suatu tempat penggantungan di mana di sana mereka akan digantung sampai mati.
“Rayuan pendakwaan dibenarkan, hukuman penjara selama 18 tahun ditolak,” kata Hadhariah.
Baca Artikel Berkaitan: