Kos Hukuman Gantung Sampai Mati Boleh Cecah Ribuan Ringgit, Ini Fakta Yang Ramai Tak Tahu
Setiap tali gantung yang berharga sekitar RM4,000 hingga RM5,000 itu juga memiliki nombor siri dan sudah diuji ketahanannya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Undang-undang di Malaysia memperuntukkan pelbagai jenis hukuman kepada individu yang didapati bersalah dalam sebarang pertuduhan.
Kebiasaannya, hukuman tersebut adalah melibatkan bayaran denda, penjara, sebatan, gantung sampai mati dan sebagainya.
Antara kesalahan yang menyebabkan seseorang dibawa kepada hukuman gantung sampai mati di Malaysia adalah seperti membunuh dengan niat, mengedar dadah dan memiliki senjata api.
Kos Melibatkan Hukuman Gantung Sampai Mati
Menerusi sebuah video dimuat naik di laman Facebook (SheNurbaizura Atiqah), individu ini telah berkongsi tentang kos dan bagaimana proses seseorang banduan itu akan menjalani hukuman gantung sampai mati.
Berdasarkan data pada tahun 2018, kos untuk menjalankan hukuman gantung terhadap banduan di Malaysia itu mencecah RM1,975.
Bukan itu sahaja, terdapat wang tambahan sebanyak RM800 yang juga perlu dibayar sekiranya mayat banduan yang telah dihukum gantung sampai mati tidak dituntut oleh ahli keluarga.
Berbicara tentang jenis tali gantung yang digunakan pula, ia diimport dan diperbuat dari jenis kut yang paling berkualiti serta dibalut dengan kulit lembut agar tidak mencederakan kulit banduan yang akan digantung.
Selain itu, setiap tali gantung yang berharga sekitar RM4,000 hingga RM5,000 juga memiliki nombor siri dan sudah diuji ketahanannya.
Pada tali gantung yang sama, terdapat sebuah alat yang dipanggil sebagai ‘brass knucle’ yang berfungsi untuk mematahkan tengkuk banduan ketika hukuman dijalankan.
Bagaimana Proses Hukuman Gantung Dijalankan
Ketika banduan sudah dimasukkan kepala ke dalam tali gantung, mereka akan berdiri di atas sebuah pintu perangkap yang berketinggian 5.18 meter.
Dalam tempoh 15 saat, pintu perangkap tersebut akan dibuka sepenuhnya selepas gear sudah ditarik.
Selepas tempoh tersebut, nyawa banduan akan berakhir dalam masa 30 saat hingga satu minit sebelum banduan diturunkan dan diletakkan di atas troli selepas 30 minit tergantung.
Kes Melibatkan Hukuman Gantung Terbaharu Di Malaysia
Baru-baru ini, kecoh seluruh Malaysia tentang hukuman gantung yang dikeluarkan oleh pihak Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Selasa lalu (23 Julai) terhadap enam orang pesalah dalam kes melibatkan kematian seorang pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Kesemua enam orang bekas penuntut UPNM itu didapati membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain pada 2017 dan dijatuhi hukuman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Enam tertuduh terbabit yang kini berusia 28 tahun terdiri daripada:
- Muhammad Akmal Zuhairi Azmal
- Muhammad Azamuddin Mad Sofi
- Muhammad Najib Mohd Razi
- Muhammad Afif Najmudin Azahat
- Mohamad Shobirin Sabri
- Abdoul Hakeem Mohd Ali
Pihak pendakwaan berpendapat bahawa tindakan keenam-enam tertuduh yang mendera sehingga mengakibatkan 80% badan Zulfarhan melecur adalah satu perbuatan melampau.
Malah Mahkamah Rayuan menyifatkan kes pembunuhan tersebut sebagai jenayah kekejaman yang paling jarang ditemui.
Baca Artikel Berkaitan: [Terkini] Kes Kematian Zulfarhan: 6 Bekas Penuntut UPNM Dihukum Gantung