Malaysia Jatuh Tangga Ke-2 Negara Yang Beri Tekanan Buat Pemandu Baru Belajar
Penilaian itu dibuat berdasarkan kepada empat faktor iaitu kesesakan, kematian akibat lalu lintas, bilangan kenderaan berdaftar dan kualiti jalan raya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Bagi kebanyakan orang, belajar memandu bukanlah satu perkara yang mudah. Seseorang itu perlu fokus dan mempunyai semangat untuk menjadi seorang pemandu yang mahir.
Namun bagi segelintir individu, rasa takut yang menebal dalam diri menyebabkan mereka sukar untuk memandu kenderaan walaupun telah mempunyai lesen.
Ini kerana ada faktor lain yang mempengaruhi rasa takut itu hingga menyebabkan mereka lebih rela mencari alternatif pengangkutan lain terutamanya buat golongan yang baru belajar memandu.
Negara Kedua Yang Beri Tekanan Kepada Pemandu Baru Belajar
Apa yang dirasakan oleh golongan ini sebenarnya dibuktikan oleh satu kajian yang dilakukan oleh platform pendidikan pemandu Zutobi.
Hasil laporan kajian menunjukkan Malaysia berada di tangga kedua yang paling memberi tekanan kepada mereka yang baru belajar memandu.
Menerusi laporan tersebut, Malaysia berkongsi kedudukan sama dengan Greece dengan skor keseluruhan sebanyak 2.38 daripada 10 di bawah Poland yang berada di kedudukan pertama (2.14).
Penilaian itu dibuat berdasarkan kepada empat faktor iaitu kesesakan, kematian akibat lalu lintas, bilangan kenderaan berdaftar dan kualiti jalan raya.
Kadar Kemalangan Malaysia Adalah Tinggi
Berdasarkan ringkasan laporan yang ditunjukkan menerusi laman web berkenaan, Malaysia mempunyai bilangan kenderaan yang tinggi di jalan raya iaitu kira-kira 85,000 kenderaan bagi setiap 100,000 orang.
Keadaan ini menjadi penyumbang kepada kesesakan jalan raya. Malah, ia menyebabkan pembelajaran pemandu terganggu kerana terpaksa berhenti dan memulakan semula pembelajaran hingga akhirnya mereka hilang fokus.
Dapatan kajian itu juga turut menunjukkan Malaysia mempunyai rangkaian jalan raya yang meluas namun ini juga menjadi antara faktor yang menjadi penyumbang kepada kemalangan jalan raya.
Ini kerana sebanyak 23 kematian bagi setiap 100,000 orang direkodkan berdasarkan laporan tersebut.
Kualiti jalan raya di Malaysia juga tidak memberansangkan kerana hasil kajian itu menunjukkan negara ini hanya berjaya memperolehi skor sebanyak 5.3 daripada 10.
Singapura Negara Pertama Di Dunia Tidak Memberi Tekanan Kepada Pemandu
Berdasarkan hasil laporan keseluruhan, negara jiran Singapura berjaya meraih tangga pertama sebagai negara yang kurang memberi tekanan kepada pemandu dengan skor sebanyak 8.27 daripada 10.
Kedudukan itu diikuti dengan negara Denmark dan Sweden yang masing-masing mempunyai markah 7.92 dan 7.80.
Baca Artikel Berkaitan: Malaysia Tempat Ke-8 Dalam Senarai Negara Paling Bahaya Untuk Memandu Di Dunia
Baca Artikel Berkaitan: Malaysia Berada Di Tempat Ke-2 Negara Paling Aman Makmur Di Asia Tenggara Pada Tahun 2023