Suami Tunai Permintaan Isteri Mengidam Nak Naik Motosikal URB Polis Sebelum Bersalin [Video]
Menurut Khaleed, pada kehamilan sebelum ini isterinya itu tidak pernah mempunyai keinginanan yang pelik dan kebiasaannya hanya mengidam makanan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum mengetahui wanita yang hamil adakalanya mempunyai pelbagai perkara yang diidamkan atau diinginkan sepanjang tempoh mengandung.
Malah adakalanya keinginan itu juga sangat rawak (random) sehingga menyebabkan si suami atau orang sekeliling pening memikirkannya.
Ada yang mengidam makanan, barangan, melakukan aktiviti luar biasa serta macam-macam lagi.
Wanita mengidam nak naik motosikal URB polis
Perkara sama turut dirasai oleh seorang wanita yang juga sedang hamil apabila mempunyai keinginan untuk menaiki motosikal peronda polis atau turut dipanggil Unit Rondaan Bermotosikal (URB).
Menerusi video yang dikongsikan oleh Engku Khaleed Aqmal di TikTok, isterinya itu sudah mengidam ingin menaiki URB berkenaan sejak kandungan mencecah usia 13 minggu.
Namun permintaan isteri itu hanya dapat ditunaikan selepas beberapa bulan ketika wanita itu sudah hampir ingin bersalin.
“Dah nak bersalin baru suami penuhi mengidam isteri sejak dari 13 minggu mengandung. Setiap kali tengok motosikal URB Polis ni mesti sedih tak dapat naik.
“Tapi alhamdulillah hari ni dapat penuhi keinginan isteri. Terima kasih abang-abang polis yang sporting, siap escort (ikut) bawa ke balai,” kata lelaki berkenaan.
Kelihatan wajah isteri sangat teruja sebiak melihat motosikal URB di depan mata
Dalam video itu, turut kelihatan wajah si isteri teruja serta gembira sebaik melihat motosikal berkenaan berada di hadapannya.
Malah kelihatan dia keluar dari kereta dan berjalan menuju ke arah motosikal itu dengan penuh senyuman dan seperti tidak percaya.
Seorang anggota polis kemudian menunjukkan kepada wanita berkenaan bagaimana cara untuk menghidupkan enjin tersebut serta butang membunyikan siren.
Si suami turut memegang tangan isterinya untuk membantu dia menaiki motosikal berkenaan, wanita itu kemudiannya memulas throtle untuk menghasilkan bunyi ‘vroom’ namun dalam keadaan yang perlahan.
Dia juga dilihat beberapa kali mengusap mata seperti terharu kerana perkara yang diidamkan akhirnya berjaya ditunaikan oleh suami.
Sebelum ini, isteri tak pernah ada keinginan pelik ketika hamil
Menurut suami di ruang kapsyen sebelum ini isterinya tidak pernah mempunyai keinginan yang pelik semasa hamil.
Jelas suami ketika dihubungi BuzzKini, setiap kali si isteri melihat URB lalu di jalan pasti dia akan sebak sehingga menangis. Namun permintaan itu dapat ditunaikan selepas memberanikan diri bertanya kepada polis peronda sewaktu makan di kedai kakak ipar di Pahang.
“Satu hari saya tengah makan di kedai kakak ipar di Temerloh, Pahang. Ada polis peronda MPV singgah makan di sebelah kedai kakak ipar. Sebelum kami nak gerak pulang ke Kuantan saya beranikan diri tanya polis tersebut adakah boleh jika tunaikan hajat isteri nak naik motosikal URB.
“Polis itu kemudiannya hubungi anggota URB dan kami ikut ke balai Temerloh. Saya terus surprise kan isteri. Isteri memang tak percaya sangat masa tu,” ujar Khaleed lagi.
Sedang tunggu masa nak bersalin anak keempat
Menurut Khaleed, usia kandungan isterinya itu sudah memasuki 36 minggu dan sedang menanti waktu untuk bersalin.
Malah dia berdoa agar urusan isterinya untuk bersalin anak keempat mereka dipermudahkan oleh Allah SWT.
Melihat di ruangan komen, ramai yang terharu dengan video tersebut kerana keinginan si isteri akhirnya dapat ditunaikan.
Dalam ruangan komen sama, kelihatan seorang lelaki yang dipercayai salah seorang daripada anggota polis yang membantu menunaikan hajat wanita berkenaan turut berasa bahagia kerana dapat merealisasikan hajat isteri lelaki berkenaan.