fbpx
Now Reading
Olimpik Paris 2024: Juara Dunia Judo, Abe Uta Menangis Meraung Gagal Pertahan Pingat Emas [Video]

Olimpik Paris 2024: Juara Dunia Judo, Abe Uta Menangis Meraung Gagal Pertahan Pingat Emas [Video]

Difahamkan, atlet Judo wanita dari Jepun itu tewas di tangan pemain nombor satu dunia, Diyora Keldiyorova dari Uzbekistan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum mengetahui, ketika ini sukan terulung, Olimpik Paris 2024 telahpun berlangsung sejak minggu lalu dengan penyertaan ribuan atlet daripada pelbagai negara untuk 329 acara yang akan dipertandingkan.

Setiap atlet termasuk dari Malaysia, pasti mempunyai impian untuk mempertahankan atau memperoleh pingat emas dalam sukan yang disertai.

Jika tidak dapat membawa sebarang pingat, pasti rasa sedih dan kecewa itu menyelubungi diri, manakan tidak satu negara meletakkan harapan tinggi kepada mereka.

Atlet Judo Jepun menangis meraung, gagal pertahankan pingat emas

Seperti baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan seorang atlet Judo dari Jepun dikenali sebagai Abe Uta menangis meraung selepas tewas dalam perlawanan keduanya dalam kategori wanita bawah 52kg (kilogram) di Olimpik Paris 2024 pada 28 Julai lalu.

Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok @nikmatul_hikmah, Abe yang berusia 24 tahun itu dilihat sedang dipeluk oleh jurulatih yang cuba menenangkannya.

Difahamkan, Uta bertindak demikian kerana gagal mempertahankan pingat emas yang diperolehinya dalam sukan Olimpik Tokyo 2020 lalu.

Para penonton bersorak beri semangat kepada Uta

Apa yang mengharukan, kelihatan para penonton yang berada sekitar arena terbabit telah bersorak untuk memberi semangat kepada juara bertahan itu yang gagal menerima kekalahannya.

Kebanyakan penonton daripada negara lain berdiri dengan memberi tepukan dan bersorak ‘Uta! Uta! Uta! Uta!’ yang bergema di seluruh Arena Champ-de-Mars.

“Momen sedih juara bertahan Judo dari Jepun, Uta Abe tersingkir sejak awal Olimpik Paris 2024 pada pusingan kedua kategori bawah 52kg wanita pada 28 Julai lalu,” tulis di kapsyen.

Abe Uta tewas di tangan atlet Judo Uzbekistan

Memetik Olympics, Uta dilaporkan tewas di tangan pemain nombor satu dunia, Diyora Keldiyorova dari Uzbekistan.

Semasa hujung perlawanan, atlet Uzbekistan itu telah melakukan lemparan dengan baki 56 saat untuk memenangi perlawanan dengan memperolehi ippon sekali gus menjadi satu kekalahan yang teruk bagi bintang Jepun terbabit.

Uta yang juga juara dunai empat kali itu meninggalkan Tatami (gelanggang Judo) dengan bantuan jurulatihnya, Masuchi Katsuyuki.

“Dia menangis teresak-esak selepas meninggalkan tatami, dan dia banyak menangis di bilik atlet. Dia sangat kecewa, jadi saya tidak dapat berkata apa-apa kepadanya. Yang boleh saya lakukan hanyalah menepuk belakangnya dengan lembut untuk menenangkannya. Ia adalah sesuatu yang akan mengambil masa,” katanya.

Orang ramai turut sebak melihat Abe Uta gagal mengawal kesedihannya

Sementara itu, memindai ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial turut berasa sebak melihat Uta yang gagal mengawal kesedihannya.

Kebanyakan orang menyatakan mereka memahami perasaan kekecewaan Uta yang sudah berlatih serta berusaha sehabis baik untuk perlawanan tersebut, namun gagal.

Malah, orang ramai turut dilihat memberi kata-kata semangat kepada Uta agar tidak berputus asa dan kembali bersemangat.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.