“Tok Supo Dulu” – Wanita Sedih Lihat Rantau Panjang Makin Sunyi Tiada Pengunjung [Video]
Jelas, sepanjang video tersebut diambil, kelihatan kawasan yang pernah menjadi pusat beli-belah utama di Kelantan tidak berpengunjung selain gerai-gerai yang sedang buka juga tiada pelanggan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap negeri di Malaysia, pastinya mempunyai kawasan-kawasan tumpuan orang ramai terutamanya pelancong untuk bercuti dan membeli-belah.
Sebagai contoh, di Kuala Lumpur kawasan tumpuan orang ramai pastinya di sekitar Menara Berkembar Petronas dan Masjid Jamek, manakala di Pahang pula salah satu tempat tumpuannya adalah di Cameron Highland.
Bagaimanapun, tidak dinafikan ada sesetengah kawasan tumpuan yang dahulunya meriah dengan kehadiran para pengunjung kini mulai sunyi seperti di Rantau Panjang, Kelantan.
Wanita persoal kenapa Rantau Panjang sunyi, tak macam dulu meriah
Seperti baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan seorang wanita mempersoal bagaimana Rantau Panjang di Kelantan yang dahulunya meriah kini menjadi sunyi sepi.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok @elynaadliviral, wanita yang dikenali sebagai Elyana itu turut berasa sedih melihat keadaan itu.
“Tak serupa dulu langsung, dulu datang Rantau Panjang meriah, Allahuakhbar sedihnya tengok Rantau Panjang,” katanya.
Kebanyakan kedai tutup tiada pengunjung
Dalam video terbabit, kelihatan kebanyakan kedai-kedai di kawasan berkenaan tutup manakala ada yang sedang dalam proses pembinaan semula atau diubah suai.
Jelas, sepanjang video tersebut diambil oleh Elyana, kelihatan kawasan tersebut tidak berpengunjung selain gerai-gerai yang sedang buka juga tiada pelanggan.
Deretan kotak parkir kenderaan yang berada di hadapan bangunan kedai juga kelihatan lengang dengan hanya beberapa kenderaan sahaja yang ada.
Dulu datang Rantau Panjang meriah, harap boleh kembali seperti dahulu
Menurutnya, sewaktu dia kecil dahulu kawasan berkenaan dipenuhi dengan orang ramai yang datang membeli-belah.
Elyana pada masa sama turut berharap agar orang ramai mengunjungi dan memeriahkan kembali kawasan berkenaan seperti dahulu.
Sebagai info, Rantau Panjang yang terletak berhampiran sempadan Malaysia-Thailand turut dikenali sebagai Zon Bebas Cukai.
Dahulunya di sini, sangat terkenal dengan barangan berkualiti dengan harga yang murah dan berpatutan.
Pun begitu, ada yang mendakwa barangan di situ kebanyakannya hanyalah barangan gred copy ori.
Video berdurasi 47 saat itu mendapat lebih 760,000 tontonan dan 18,700 tanda suka di Tiktok sekali gus meraih perhatian ramai.
Orang ramai beli secara online punca Rantau Panjang dah tak meriah?
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial berpendapat kawasan berkenaan kini menjadi semakin sunyi kerana kebanyakan orang sudah mula membeli-belah secara dalam talian (online) sahaja.
Malah, ada juga yang mendakwa situasi tersebut berlaku berikutan harga barang pada masa kini yang tinggi.
Tidak kurang juga yang menyatakan perkara tersebut berlaku kerana kawasan berkenaan kekurangan penduduk akibat ramai yang sudah berhijrah ke Selangor dan Kuala Lumpur untuk bekerja.