“Haa Tu Ayah”- Bapa Teruja Tayang Muka Jadi Ekstra Dalam Netflix Dekat Anak [Video]
Menurut Fareed, sewaktu menjadi pelakon tambahan untuk filem berkenaan dia menerima bayaran sekitar RM300.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tak dinafikan ramai dari kita pasti berbangga jika muncul di dalam televisyen khususnya jika terbabit dalam filem, drama atau program realiti.
Meskipun hanya nampak sekadar sisi tepi tapi ia sudah cukup membuatkan seseorang berasa bangga atau teruja dan mahu seluruh keluarga untuk menontonnya.
Yelah siapa yang tidak seronok dapat muncul di dalam televisyen dan ia bukanlah suatu perkara yang mudah terutama di zaman dahulu di mana ketika itu media sosial masih lagi belum digunakan secara meluas.
Lelaki bangga tunjuk pada anak masuk dalam filem sebagai pelakon tambahan
Perkara sama turut dirasakan oleh seorang bapa apabila dia menunjukkan kemunculan dirinya sebagai pelakon tambahan dalam filem ‘Sayu Yang Syukur’ arahan Datuk Aaron Aziz.
Filem tersebut dipercayai telah ditayangkan pada 28 Disember lalu dan boleh ditonton menerusi Netflix.
Menerusi video yang dimuat naik oleh Mohd Fareed di TikTok, awalnya dia menunjukkan salah satu babak dalam filem yang memaparkan Aaron Aziz sedang berjalan dengan pakaian pengantin.
Si anak turut bertanya mana satu ayahnya dalam filem berkenaan
Dia turut mengatakan pengambaran sudah lama dilakukan namun filem itu baru sahaja ditayangkan. Tidak lama kemudian kedengaran si anak bertanya adakah itu bapanya sewaktu kemunculan Aaron Aziz.
“Bukan, bukan tadi. Yang ini, nanti tengok ayah ada. Haaa, tu ayah. Nampak tu.
“Nanti ayah ada eh, tunggu-tunggu. Ni cerita Sayu Yang Syukur. Ha tu ayah tu,” tunjuknya lagi kepada si anak.
Geli hati apabila lihat diri sendiri dalam filem tersebut
Malah turut kedengaran suara Fareed yang tertawa sewaktu melihat kelibatnya muncul dalam filem berkenaan.
Jelas Fareed kepada BuzzKini, pengambaran filem itu telah dilakukan sekitar 9 atau 10 tahun yang lalu dan kemunculannya dalam filem berkenaan juga disifatkan sebagai ‘last minute’ dan bidan terjun.
Ini kerana, dia awalnya diajak oleh rakan yang juga pelakon dan pernah memegang watak sebagai Gaban dalam drama Juvana untuk menjadi pelakon tambahan filem terbabit.
Ketika ditanya adakah dia ingin menceburi bidang tersebut, Fareed mengatakan dia tidak terfikir untuk menjadi seorang pelakon.
“Dapat bayaran pun kira okay lah masa tu. Ambil saja,” katanya sambil ketawa. Ujarnya dia juga belum berkesempatan menonton filem berkenaan kerana baru mengetahui tayangannya di Netflix.
Ramai terhibur lihat gelagat Fareed
Melihat di ruangan komen ramai yang turut terhibur dengan gelagat Fareed sewaktu menunjukkan dirinya di dalam filem berkenaan.
Tidak kurang juga ada yang berkongsi pengalaman mereka pernah menjadi pelakon tambahan di dalam drama mahupun filem.
Di ruang komen, Fareed mengatakan dia ada menerima bayaran sebagai pelakon tambahan dan jumlahnya sekitar RM300.