fbpx
Now Reading
PREPMA Harus Telus, Perjelas Kriteria Pilih Atlet Ke Paralimpik Paris 2024 – Bapa Zy Kher Lee

PREPMA Harus Telus, Perjelas Kriteria Pilih Atlet Ke Paralimpik Paris 2024 – Bapa Zy Kher Lee

Menurut bapa kepada Zy, Walter Lee, perkara ini adalah penting untuk masa depan sukan dan para atlet di Malaysia.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ketika ini, temasya Sukan Olimpik Paris 2024 sedang berlangsung sehingga 11 Ogos ini sebelum ia akan disambung pula dengan acara Paralimpik iaitu penglibatan atlet-atlet orang kurang upaya (OKU) daripada pelbagai negara termasuk Malaysia.

Dengan hanya berbaki beberapa minggu sahaja lagi sebelum Paralimpik Paris 2024 bermula, sudah pasti Malaysia telah memilih dan mempersiapkan para atletnya untuk ke temasya sukan itu.

Bagaimanapun, bapa kepada perenang para kebangsaan, Zy Kher Lee iaitu Walter Lee dilihat terus kecewa dan mempersoalkan keputusan Persatuan Renang Para Malaysia (PREPMA) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang tidak memilih anaknya untuk mewakili negara ke Paris.

Dakwa Walter, slot yang sepatutnya diisi oleh Zy telah diberikan kepada perenang yang memiliki ranking lebih rendah iaitu Imaan Aiman Redzuan dengan menggunakan tiga kriteria termasuk peratusan kebarangkalian mendapatkan pingat.

Presiden PREPMA, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin kemudiannya menjelaskan bahawa pemilihan atlet dibuat mengikut prosedur dan kriteria yang betul serta adil.

PREPMA perlu jelaskan kriteria digunakan memilih kontinjen negara – Walter Lee

Terbaharu, Walter menerusi satu sidang media hari ini (31 Julai) menegaskan bahawa PREPMA perlu menjelaskan secara terperinci mengenai kriteria yang digunakan untuk memilih kontinjen negara.

Menurutnya, perkara ini adalah penting untuk masa depan sukan dan para atlet di Malaysia.

“Adalah penting untuk semua orang tahu apa sebenarnya model penilaian yang digunakan oleh PREPMA sebagai penanda aras untuk pemilihan,” katanya.

Foto: BuzzKini

Persoal cara PREPMA kira prospek pingat tiga perenang termasuk anaknya

Selain membuat rayuan agar Zy dimasukkan dalam pasukan, Walter turut mempersoal cara PREPMA mengira prospek memenangi pingat antara tiga perenang para lelaki yang layak mewakili negara termasuk anaknya itu.

“Saya yakin bahawa setiap peluang untuk menghantar setiap atlet yang layak untuk bertanding harus diteroka dan dilaksanakan oleh pihak berkuasa yang mempunyai kuasa untuk melakukannya. Ketiga-tiga atlet (Syaiful, Zy, dan Imaan) sepatutnya berada dalam kontinjen ke Paris,” katanya lagi.

Malaysia miliki peluang raih 7 pingat jika Zy dipilih ke Paralimpik Paris 2024

Menerusi sidang media sama, Walter berkata, pemilihan Muhammad Nur Syaiful dan Muhammad Imaan akan memberi peluang Malaysia untuk meraih lima pingat, manakala jika Zy dipilih pula ia akan menambah peluang itu menjadi tujuh pingat.

“Bukankah tujuh lebih baik daripada lima? Sehingga kita tahu lebih lanjut, nampaknya model penilaian kebarangkalian yang digunakan oleh PREPMA adalah terlalu mudah dan tidak memadai,” ujarnya.

Jelasnya, ketiadaan Zy di dalam barisan atlet ke Paris akan menyebabkan Malaysia hanya mempunyai sedikit peluang untuk memenangi pingat memandangkan hanya lima acara yang akan disertai.

“Saya juga ingin menekankan lagi bahawa melalui usaha berterusan Syaiful dan Zy dalam tiga tahun kebelakangan ini dengan penyertaan tanpa henti dalam pertandingan yang memberangsangkan, Malaysia dapat memperoleh dua slot ke Paris.

“Beberapa peratusan yang dikenali sebagai kebarangkalian telah disebut sebagai asas pemilihan. Bagaimana kebarangkalian ini dikira? PREPMA harus bersikap telus. Ketelusan adalah penting supaya proses pemilihan jelas dan adil. Ini bukan sahaja untuk anak saya Zy, tetapi juga untuk semua atlet para masa depan,” tambahnya.

Kejayaan Thailand dapatkan slot tambahan untuk atlet perlu dicontohi PREPMA

Lee pada masa sama turut mengambil contoh kejayaan negara-negara lain seperti Thailand dalam mendapatkan slot untuk atlet para mereka yang sepatutnya harus dicontohi PREPMA.

“Thailand juga diberikan dua slot. Tetapi mereka mempunyai lima perenang MQS (masa kelayakan minimum). Thailand kemudian memohon dan mereka berjaya menghantar kelima-lima perenang yang layak untuk bertanding.

“Malaysia boleh melakukan perkara yang sama supaya ketiga-tiga perenang hebat ini boleh berbangga mewakili negara kita,” ujar Walter.

Berkongsi lanjut, Lee berkata memasukkan atlet berperingkat tinggi dalam kedudukan 10 teratas untuk permohonan slot bipartite (wild card) adalah satu kesilapan yang besar.

“Atlet dengan acara kelayakan yang paling banyak dan kedudukan global yang lebih tinggi sepatutnya menjadi justifikasi utama untuk pemilihan. Tidak masuk akal apabila atlet dengan kedudukan yang lebih tinggi diketepikan untuk atlet yang kedudukannya lebih rendah

“PREPMA mesti tampil bertanggungjawab dan telus mengenai cara sistem pemilihan mereka. Jika tidak, ia akan menjadi tidak adil kepada Zy yang telah banyak berkorban untuk sampai ke tahap ini. Apa yang dia mahukan adalah untuk mewakili negaranya dengan bangga dan adil,” tegasnya.

Walter ketika sesi soal jawab turut mengesahkan yang dia sudah mendapat respon dari Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berhubung rayuannya kepada KBS mengenai status anaknya.

Dia bagaimanapun enggan mengulas apakah bentuk respon yang diberikan tentang perkara itu.

Hanya 2 slot automatik, permohonan slot bipartite tidak berjaya

Terdahulu, Megat Shahriman berkata, Malaysia hanya memperoleh dua slot automatik daripada World Para Swimming (WPS) ke temasya itu meskipun tiga atlet negara berjaya melepasi MQS iaitu Zy, Muhammad Imaan dan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli.

Ujarnya, permohonan untuk satu slot bipartite tidak berjaya, maka pihaknya menerusi satu mesyuarat telah menentukan untuk memilih dua perenang ke Paris berdasarkan tiga kriteria utama iaitu:

  • Peluang menang pingat
  • Bilangan acara bakal disertai Malaysia
  • Pencapaian luar biasa.
View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.