“Tak Masuk Akal” – PM Selar Meta Selepas Videonya Kritik Pembunuhan Pemimpin Hamas Diturunkan
Anwar dengan tegasnya meminta agar Meta tidak menjadi ‘pengecut’ dan hanya sekadar perkakas terhadap penceroboh haram tanah Palestin itu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Semalam (31 Julai), dunia dikejutkan dengan berita kematian pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dipercayai akibat serangan Israel di kediamannya di Tehran, Iran.
Susulan itu, kebanyakan pemimpin-pemimpin tertinggi di seluruh dunia yang menyokong Palestin dan perjuangan Hamas telah mengucapkan salam takziah selain mengkritik serangan terbabit.
Perkara sama turut dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim di akaun X dan Facebook rasminya.
Saya mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas saudara Ismail Haniyeh hari ini.
— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) July 31, 2024
Pembunuhan ini ternyata sangat tragik dan kejam yang jelas bertujuan untuk menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung bagi mengakhiri kekejaman rejim Zionis Israel di Gaza… pic.twitter.com/YvJhw5iwcO
Malah Pejabat Perdana Menteri (PMO) turut mempersoalkan tindakan syarikat induk Facebook, Meta yang memadam hantaran terdahulu beliau tentang pertemuannya bersama Ismail dan pemimpin Hamas yang lain di Qatar.
Sehubungan itu, Bahagian Media & Komunikasi Strategi, PMO meminta penjelasan kepada Meta kenapa berbuat demikian.
Baca Artikel Berkaitan: PMO Tuntut Penjelasan Selepas Meta Turunkan Foto Pertemuan Anwar Bersama Pemimpin Hamas
Meta turunkan pula video ucapan takziah dan kritikan Anwar Ibrahim terhadap serangan itu
Terbaharu, Meta sekali lagi bertindak menurunkan hantaran Anwar di Facebook. Hantaran yang dibuang adalah video serta ucapan takziah dan kritikan terhadap pembunuhan pemimpin Hamas itu kerana didakwa sebagai berbahaya.
Anwar menerusi hantaran di akaun rasmi miliknya menyatakan perbuatan terbabit adalah satu tindakan yang biadap dan menghina perjuangan rakyat Palestin.
“Tidak masuk akal apabila hantaran menghormati seorang pejuang yang berusaha memerdekakan tanah airnya daripada kezaliman dan penderitaan dianggap berbahaya,” katanya.
Anwar minta Meta jangan jadi pengecut
Anwar dengan tegasnya meminta agar Meta tidak menjadi ‘pengecut’ dan hanya sekadar perkakas terhadap penceroboh haram tanah Palestin itu.
“Peringatan tegas saya terhadap Meta, usah jadi bacul dan perkakas rejim zalim Zionis Israel,” katanya lagi.
Terdahulu, memetik laporan Sky News, tiada mana-mana pihak yang mengaku bertanggungjawab atas perkara tersebut meskipun pihak Hamas telah mengesahkan perbuatan tersebut dilakukan oleh rejim Zionis berkenaan.
Israel pernah berikrar ingin membunuh Ismail
Hal ini kerana, Israel sebelum ini pernah berikrar untuk membunuh Ismail dan pemimpin Hamas yang lain selepas melakukan serangan balas pada 7 Oktober 2023 lalu.
Dalam laporan New York Times, Pengawal Revolusi Iran (IRGC) memaklumkan bahawa sasaran itu dilakukan kepada Ismail semasa beliau menghadiri majlis pelantikan Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian.
Sementara menurut Al Jazeera yang memetik laman berita di Iran pula, Ismail terbunuh bersama seorang pengawal peribadinya selepas bangunan yang didiaminya diserang.
Israel kemudiannya berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan penilaian situasi berhubung pembunuhan Ismail.
Baca Artikel Berkaitan: