Anak Suka Kacau Kawan Di Sekolah, Taktik Si Ibu Bawa Anak Ke Balai Polis Buahkan Hasil [Video]
Melalui video berkenaan, dapat dilihat Aisyah mengangkat Ziqri keluar daripada kereta dan membawanya pergi berjumpa dengan anggota polis berhampiran.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik dan membentuk keperibadian anak dengan cara dan kaedah tersendiri.
Ada yang mengambil pendekatan untuk mendidik mereka dengan cara lembut, ada juga yang tegas dengan amanah Allah SWT itu.
Kadang kala, walaupun telah melakukan pelbagai cara, ada segelintir budak yang sukar untuk mendengar kata hingga ada ibu bapa terpaksa meminta bantuan orang dan cara lain bagi mengajar mereka.
Hantar Anak Pergi Balai Polis Sebab Suka Kacau kawan Sekolah
Begitulah kisah seorang wanita ini apabila dia mengambil cara dengan menghantar anak lelakinya ke balai polis bagi mendidik kanak-kanak itu.
Menerusi perkongsian video di akaun TikTok@aisyahhamzah0, kelihatan wanita berkenaan yang dikenali sebagai Aisyah Hamzah datang ke balai polis berhampiran rumah untuk memberi pengajaran kepada anak lelakinya yang dikenali sebagai Ziqri.
Menurut Aisyah, dia menghantar Ziqri ke balai kerana kanak-kanak itu sering membuat hal di sekolah.
“Anak bertuah ni ada je dia buat hal. Balik je sekolah mesti kakak mengadu dia buat hal. Rosakkan barang kawan la, gaduh la, hari ni pukul kawan pula.
“Macam-macam cara dah ibu buat, nasihat, rotan dan baru semalam siap tunjuk video azab dalam kubur, eh hari ni buat lagi. Ibu bawa terus pergi balai,” tulisnya menerusi ruang kapsyen.
Melalui video berkenaan, dapat dilihat Aisyah mengangkat Ziqri keluar daripada kereta dan membawanya pergi berjumpa dengan anggota polis berhampiran.
Pada ketika itu, kedengaran kanak-kanak itu menangis dan menjerit dengan kuat sebagai tanda keengganannya ketika Aisyah meminta pegawai polis menggari dan membawanya masuk ke penjara.
Pada akhir video berkenaan, Ziqri dilihat kembali tenang dan Aisyah turut memintanya berjanji untuk tidak mengulangi perangai yang sama.
Niat Hanya Mahu Mengajar, Anak Dah Tak Buat Perangai
Memetik Sinar Harian, Aisyah menjelaskan tindakannya yang berbuat sedemikian sebagai cara mahu memberi pengajaran dan mendidik anaknya untuk tidak mengulangi perkara yang sama.
“Saya sudah tidak tahu cara lain untuk menyedarkan dia. Sebagai ibu, saya mahu yang terbaik untuk anak saya.
“Saya rasa pengajaran inilah yang terbaik untuk dia belajar dan tidak mengulangi kesilapannya,” katanya.
Ini kerana menurut Aisyah, walaupun telah berulang kali menegur dan menasihati anak bongsunya itu, namun tidak dipedulikan oleh Ziqri.
“Cikgu dia memang selalu beritahu saya yang Ziqri suka kacau murid lain, tapi tidaklah begitu teruk.
“Tetapi, hari itu sudah melampau kerana kawannya terjatuh dan dahi terkena bucu meja. Itulah sebabnya saya bawa dia ke balai polis untuk beri pengajaran,” katanya lagi.
Tambah Aisyah, sejak peristiwa itu, Ziqri yang berusia tujuh tahun kini telah menunjukkan perubahan dan tidak lagi menganggu rakan-rakan di sekolahnya.
Pada masa yang sama, Aisyah turut menasihatkan ibu bapa lain agar sentiasa bersabar dalam mendidik anak-anak terutama jika mereka mempunyai anak terlalu aktif.
“Alhamdulillah, sekarang dia tak ganggu kawan-kawan lain. Mungkin dia ambil pengajaran dengan apa yang saya dah buat,” katanya.
“Saya faham memang sukar untuk kita jaga anak-anak yang aktif, tetapi setiap anak itu membawa sebuah amanah dan tanggungjawab,” ujarnya lagi.
Pengguna Media Sosial Puji Cara Didikan Aisyah
Video yang mendapat lebih 800 ribu tontonan itu nyata menarik perhatian pengguna media sosial. Rata-rata memuji tindakan Aisyah yang dilihat berusaha untuk mendidik anak lelakinya itu.
Malah, ada para ibu yang menyatakan akan berbuat sedemikian sekiranya mereka menemui jalan buntu dalam mengajar anak kesayangan.
Tidak kurang juga ada yang mendoakan agar Ziqri menjadi anak yang baik dan menjadikan pengalaman ini sebagai satu pengajaran.
Berikut merupakan komen pengguna media sosial:
“Bagus Mak Dia Ni, Tegur Anak Dia Semua, Ada Kebanyakan Mak Suka Menangkan Anak Walaupun Terang-Terang Anak Dia Salah”
“Semoga Adik Ni Nanti Jadi Anak Soleh Ya Dik”
“Betul Tindakan Awal Akak Ni, Anak-Anak Kalau Dibiarkan, Dia Boleh Bawa Perangai Sampai Ke Besar, Akak Tunjuk Contoh Yang Bagus”
“Dah Tiba Masa Polis Buat Program Dekat Sekolah, Budaya Buli Makin Menjadi”
Baca Artikel Berkaitan: “Hebat Didikan Family” – Kanak-Kanak Dipuji Tak Kisah Makanan Dipesan Rosak Siap Minta Rider Hati-Hati [Video]
Baca Artikel Berkaitan: “Terlalu Ikutkan Kehendak Mereka”- Ini Antara Kesilapan Ibu Bapa Lakukan Ketika Mendidik Anak