Pemegang Lesen B1 & B2 Boleh Tukar Ke Kelas B Dengan Kos RM160 Mulai 1 Oktober
Program peralihan ini hanya layak bagi mereka yang memegang lesen Kelas B1 atau B2 secara aktif dalam tempoh minimum 10 tahun.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum sedia maklum, mereka yang mahu menunggang motosikal berkuasa 500cc ke atas perlu memegang lesen Kelas B.
Mulai 1 Oktober ini, pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) motosikal bagi Kelas B1 atau B2 boleh mendapatkan lesen motosikal Kelas B dengan syarat perlu menyertai Program Khas Peralihan.
Menerusi laporan Astro Awani, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan bahawa program berkenaan itu membolehkan seseorang memperolehi lesen motosikal Kelas B dengan hanya berharga RM160.
Sebagai info, RM160 itu merupakan caj perkhidmatan yang dikenakan kepada pemohon bagi menampung kos operasi yang terlibat di Institut Memandu.
Syarat Untuk Menukar Lesen Kelas B1 Atau B2 Kepada Kelas B
Walau bagaimanapun, program ini hanya untuk mereka yang memegang lesen Kelas B1 atau B2 secara aktif dalam tempoh minimum 10 tahun dan tiada had umur ditetapkan.
“Syarat ini bagi memastikan tahap kompetensi dan pengalaman pemanduan kenderaan motosikal bagi mana-mana individu sebelum beralih kepada motosikal berkuasa besar.
“Kita telah membuat keputusan bukan untuk mengehadkan umur, tetapi kepada tempoh pengalaman mereka iaitu sekurang-kurangnya mesti ada 10 tahun pengalaman membawa motosikal dalam kelas B2 secara berterusan,” katanya.
Selain itu, pemohon juga perlu bebas daripada beberapa perkara berikut:
- Senarai hitam
- Tunggakan saman
- Sekatan urus niaga
- Rekod sabitan kesalahan berat
- Sebarang perkara yang belum selesai di bawah Akta 333
Pemohon juga hendaklah memiliki tubuh badan dan mental yang sihat sebelum menghadiri dan lulus program peralihan serta penyesuaian bagi penggunaan kenderaan jenis motosikal berkuasa 500cc ke atas di Institut Memandu.
“Pengesahan tahap keupayaan mengendalikan motosikal berkuasa besar oleh Qualified Training Officer (QTO) di IM.
“Pengesahan ini amat penting bagi memastikan tahap kompetensi dan keupayaan seseorang mengendalikan motosikal berkuasa besar demi meningkatkan tahap keselamatan pemanduan individu tersebut,” katanya.
Sebelum ini, kos untuk mendapatkan LLM Kelas B adalah RM900 dengan melibatkan dua jam kelas teori serta 9.5 jam latihan litar.
Baca Artikel Berkaitan: Belanjawan 2024: Kerajaan Setuju Terus Biayai Lesen Motosikal Kelas B2, e-Hailing & Teksi
Perbezaan Lesen Memandu Motosikal Di Malaysia
Untuk pengetahuan, terdapat empat jenis Lesen Memandu Malaysia untuk penunggang motosikal iaitu:
- Lesen B: Motosikal perseorangan melebihi 500cc
- Lesen B1: Motosikal perseorangan tidak melebihi 500cc
- Lesen B2: Motosikal perseorangan tidak melebihi 250cc
- Lesen C: Motosikal tiga roda
Kepada mereka yang mahu memohon lesen motosikal, pastikan anda memilih jenis lesen yang tepat ya.