‘Rusa Kot’- Rupanya Masih Ada Yang Tak Tahu Logo Bank Negara Malaysia [Video]
Logo BNM telah dicipta pada tahun 1964 dan terhasil daripada gambaran kijang pada syiling emas Negeri Kelantan manakala matahari membawa maksud kuasa dan bulan pula Islam iaitu agama rasmi di Malaysia.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap individu pasti mengenali sesuatu jenama atau produk menerusi logo yang ditampilkan.
Ini kerana, logo juga merupakan salah satu identiti sesebuah jenama, atau syarikat agar mudah untuk dikenali oleh orang ramai.
Sebagai contoh sekiranya jenama makanan ada yang menggunakan huruf dan ada juga menggunakan bentuk dan bermacam-macam lagi. Bagi mereka yang sering melihat logo tersebut pasti mudah untuk mereka mengingati apakah nama kepada sesebuah jenama tersebut.
Masih ada lagi yang tak tahu logo Bank Negara Malaysia
Baru-baru ini, seorang individu yang sering membuat eksperimen sosial telah bertanya kepada orang ramai mengenai sebuah logo yang tidak asing lagi di Malaysia.
Menerusi video yang dimuat naik oleh Raffi Simple, awalnya dia telah berkunjung ke pusat membeli belah dan bertanya kepada orang ramai mengenai logo Bank Negara Malaysia.
Pada peserta pertama, Raffi telah menunjukkan satu gambar kepada peserta berkenaan dan bertanya logo apakah itu.
Peserta itu kemudiannya tidak dapat menjawab dengan betul dan memberitahu ia adalah logo rusa.
Peserta kedua tanya adakah logo berkaitan dengan sukan
Raffi kemudian pergi kepada peserta kedua dan bertanya soalan yang sama. Lelaki itu kemudian bertanya adakah logo itu mempunyai kaitan dengan sukan atau sebagainya?
“Saya nampak macam entah syaitan, rusa. Benda tanduk semua adalah,” kata peserta kedua itu sambil ketawa.
Apabila ditanya bagaimana dia boleh melihat logo itu sebagai syaitan, peserta itu kemudian menunjukkan kerana ia mempunyai tanduk pada logo tersebut.
“Tak tahu lah, ni macam rusa. Ni ada bulan, ada matahari,” ujarnya sebelum mengatakan ia mungkin logo mi celup.
Pernah lihat logo namun tak ingat di mana
Raffi lalu pergi kepada peserta ketiga yang juga seorang wanita untuk bertanya mengenai logo itu.
Namun wanita terbabit juga tidak dapat menjawab soalan itu sebaik Raffi menunjukkan logo berkenaan.
Dia bagaimanapun mengakui pernah melihat logo tersebut namun tidak mengingatinya.
Logo BNM telah dicipta pada tahun 1964
Untuk makluman logo Bank Negara Malaysia (BNM) sering diletakkan pada kepingan duit kertas yang memaparkan bentuk seekor kijang bersama bulan dan matahari.
Menurut laman sesawang BNM, logo tersebut telah dicipta pada tahun 1964 dan terhasil daripada gambaran kijang pada syiling emas Negeri Kelantan yang juga antara duit syiling terawal ketika Kesultanan Melayu.
Bagi matahari pula ia merupakan simbol kepada kuasa manakala bulan melambangkan Islam iaitu agama rasmi negara ini.
Ada yang kecewa indivdu tak tahu logo Bank Negara
Melihat di ruangan komen, ramai yang dapat menjawab logo tersebut merupakan logo BNM. Malah ada yang mengatakan logo itu turut dapat dilihat dan dipegang setiap hari menerusi wang ringgit.
Tidak kurang juga ada yang kecewa apabila ketiga-tiga peserta tidak dapat menjawab dengan betul logo yang ditunjukkan oleh Raffi walhal ia dipamerkan pada setiap wang kertas.