Sikap Anak Suka Berkongsi & Pemurah Dengan Rakan Buat Ibu Terharu [Video]
Si ibu turut mengingatkan dirinya bahawa kejayaan anak tidak sepatutnya dinilai daripada akademik sahaja sebaliknya perlu juga dilihat dari segi sahsiah mereka.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap ibu bapa pasti ingin anak mereka menjadi insan yang berguna di dunia dan juga akhirat. Oleh itu, ia tidak hanya diukur menerusi kejayaan dalam bidang akademik semata-mata.
Malah mempunyai keperibadian dan sahsiah diri yang terpuji dapat menjadi mereka seorang individu yang beradab sopan.
Ibu bangga ada anak suka berkongsi
Baru-baru ini, seorang ibu telah meluahkan rasa bangga terhadap anak lelakinya yang suka membantu rakan sekelas sehingga menarik perhatian ramai.
Menerusi carousel yang dimuat naik oleh @sha3291 di TikTok, awalnya dia kecewa kerana keputusan akademik anak yang kurang memuaskan.
“Ketika saya berada di tahun satu hingga tiga, saya boleh memperoleh markah yang baik dalam setiap peperiksaan. Jadi apabila anak lelaki tidak mampu mencapainya ia memberikan saya sedikit kekecewaan,” ujarnya.
Kejayaan anak tak patut dinilai daripada akademik semata-mata
Namun perasaan kecewa itu mula bertukar kepada kagum dengan anak lelakinya selepas menerima mesej dari seorang ibu bapa kepada pelajar lain.
“Sebelah petang perasan dapat mesej ni dekat Telegram. Mungkin saya tak sepatutnya kecewa bila anak tak dapat skor dalam peperiksaan. Sebab cemerlang seorang anak tak patut dinilai daripada akademik sahaja tetapi dari segi sahsiahnya juga,” jelasnya.
Anak terima hadiah kerana bantu rakan tiada pensil
Menerusi mesej tersebut individu berkenaan meminta anak Sha yang dikenali sebagai Umar Hakim untuk mengambil hadiah daripada seorang rakan bernama Syed Umar.
Hadiah itu diberikan oleh penjaga berkenaan selepas anaknya, Umar Hakim sudi meminjamkan pensil sewaktu rakannya itu tidak membawa peralatan alat tulis ke sekolah.
“Hadiah sebab Umar Hakim dan Afiq Irsyad saja yang sudi pinjamkan pensil untuk Syed Umar semalam. Semalam, dia (Syed Umar) tertinggal pencil box. Nak buat kerja sekolah tak dapat. Jadi dia minta pinjam dengan kawan-kawan,” kata penjaga berkenaan.
Ujarnya lagi hadiah tersebut adalah penghargaan buat Umar Hakim kerana menjadi rakan yang luar biasa.
Kongsi donut, lepas rakan luah ‘dah lama tak makan donut’
Dalam satu lagi luahan, si ibu sekali lagi terkejut dengan sikap anaknya apabila tidak kisah untuk berkongsi makanannya dengan rakan selepas kanak-kanak itu meluahkan dia sudah lama tidak makan donut.
“Ada satu hari tu belikan Umar donut, dalam tu ada topping strawberi dan coklat. Balik tu tanya dia habis tak? Kalau tak habis nak suruh dia buang dari beg, sebab dia suka bawa balik makanan yang tak habis.
“‘Umar makan satu je, lagi satu bagi kawan sebab dia cakap dah lama tak makan donut’. Saya sedikit terkejut kerana dia sanggup berkongsi makanannya. Ini kerana makanan tersebut sebenarnya hanya cukup buatnya (dia jenis makan banyak).
“Saya memuji dia kerana melakukan perkara tersebut dan keesokkan harinya kami memberi satu set donut untuk diberikan kepada rakan-rakan untuk dimakan ketika waktu rehat.”
Di ruang kapsyen, si ibu turut mengingatkan bahawa jangan pernah meletakkan kejayaan seorang anak hanya pada akademik semata-mata.
Ramai puji kanak-kanak ada nilai empati tinggi
Melihat di ruangan komen, ramai yang turut memuji Umar Hakim kerana mempunyai nilai empati yang tinggi di dalam diri.
Malah ada juga berpendapat segelintir kanak-kanak mungkin melalui proses yang sedikit lambat untuk bersinar dalam akademik namun ibu bapa perlu terus memberikan mereka semangat.