Buat Parodi Tapi Tak Hormat Agama? TikTokers Tegur Selawat Nabi Jadi Selingan Bahan Lawak [Video]
Menurut Cikgu Urut, Lebih teruk lagi terdapat juga individu yang menjadi zikir sebagai bahan lawak tanpa memikirkan maksud yang diucap itu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada zaman ini, media sosial sudah menjadi sebuah platform untuk orang ramai melakukan apa sahaja seperti meluahkan perasaan hati, berkongsi kehidupan, mempromosikan perniagaan dan sebagainya.
Ini jelas berbeza berbanding dahulu platform media sosial hanya digunakan untuk berkongsi gambar atau video-video sebagai kenangan dan tatapan buat ahli keluarga, kenalan rapat dan orang lain.
Apa yang lebih membimbangkan, media sosial juga kini digunakan sebagai tempat untuk melakukan ‘trend’ parodi dengan meniru individu lain tanpa menjaga sensitiviti.
TikTokers tegur selawat Nabi jadi selingan bahan lawak di media sosial
Seperti baru-baru ini, tular di media sosial apabila seorang TikTokers yang dikenali sebagai Cikgu Urut menegur sesetengah pihak yang dilihat kini sedang menjadi selawat ke atas Nabi Muhammad SAW sebagai selingan bahan lawak.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya, lelaki terbabit mendakwa perkara tersebut mula tular apabila kebanyakan pengguna media sosial melakukan parodi terhadap seorang coach bisnes yang sering mengajak pengikutnya untuk berselawat.
Difahamkan, coach bisnes terbabit menjadi bahan parodi di media sosial selepas terdapat kontroversi berkaitan dirinya.
“Bila seorang coach bisnes ataupun influencer buat hal, lepas itu tak pasal-pasal selawat dah jadi satu bahan lawak. Semua orang buat konten pasal influencer ini, sambil bercakap sambil berselawat,” katanya.
Berselawat dengan cara yang salah, sebut hanya separuh
Menurutnya, terdapat sesetengah pihak yang melakukan parodi tersebut dengan berselawat cara yang salah atau tidak sempurna.
Lebih teruk lagi, katanya terdapat juga individu yang menjadikan zikir sebagai bahan lawak tanpa memikirkan maksud yang diucap itu.
“Bila selawat, ‘Allahumma Solli ‘Ala, Allahumma Solli ‘Ala’, Muhammad takda, yang paling teruk itu buat lawak pula, ‘La Ilaha, La Ilaha’, maksud ‘La Ilaha’ itu tiada tuhan, kena habiskan ‘La Illaha Illallah’,” katanya lagi.
Tiada masalah buat parodi, tapi jangan sampai persendakan agama Islam
Menurutnya, dia tidak mempunyai masalah sekiranya orang ramai ingin melakukan parodi, namun bukanlah ke tahap sehingga mempersendakan agama Islam.
“Bagi aku generasi yang beragama Islam sekarang ini macam dah tak pandai nak hormat agama sendiri. Agama dah jadi macam satu permainan, ini satu benda yang amat menyedihkan,” katanya lagi.
Di akhir perkongsian, dia menasihati orang ramai agar berselawatlah dengan sebutan yang jelas dan betul serta di tempat yang bersesuaian.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial bersetuju dengan pandangan yang diberikan oleh Cikgu Urut itu.
Malah mereka juga memuji dan berterima kasih kepada TikTokers berkenaan kerana berani bersuara dan menegur orang ramai terutamanya pengguna-pengguna TikTok berkenaan perkara ini.