Hafiz Mahamad Sangkal Fitnah Media Luar, Tampil Jelaskan Tentang Keselamatan Wanita Dalam Islam [Video]
Dalam video terbabit, Hafiz turut menunjukkan keadaan sebenar yang berlaku ketika jemaah ingin mencium hajar aswad dan bagaimana setiap di antaranya mementingkan keselamatan wanita Islam.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sebelum ini nama usahawan kosmetik, Hafiz Mahamad menjadi bualan ramai selepas dia memuat naik video menunjukkannya sedang berasak di hadapan Kaabah untuk mencium Hajar Aswad sehingga kain ihram terlondeh dan menampakkan beberapa bahagian badan.
Namun apa yang menjadi perhatian apabila video tersebut turut digunakan oleh akaun Hindutva Knight di laman X dengan mengatakan wanita seolah tidak selamat meskipun berada di Tanah Suci Mekah.
Perkara itu secara tidak langsung membuatkan ramai kurang senang sehingga ada segelintir mengkritik Hafiz dan berpendapat video yang dimuat oleh usahawan terbabit sebelum ini mengundang penyebaran kebencian terhadap Islam.
Hafiz bagaimanapun tidak berdiam diri dan memaklumkan akan bertanggungjawab terhadap isu yang berlaku.
Baca artikel berkaitan: Dituduh Jadi Punca Agama Dihina Selepas Video Berasak Depan Kaabah Tular, Hafiz Mahamad Mahu Bertanggungjawab
Hafiz & Dr Kamilin terangkan bagaimana Islam pentingkan keselamatan wanita
Terbaharu, Hafiz tampil dalam satu video bersama Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan & Perlis, Dr Kamilin Jamilin menerangkan bagaimana Islam sangat mementingkan keselamatan seorang wanita.
Dalam rakaman berdurasi selama 15 minit itu, Hafiz menjelaskan video itu ditujukan khas kepada media atau akaun, Hindustva Knight yang dipercayai telah menggunakan videonya sebelum ini untuk memain naratif negatif berkaitan keselamatan wanita Muslim.
Menurut Dr Kamilin Islam sangat mementingkan keselamatan wanita malah turut memberi contoh mengapa ketika solat saf di hadapan dipenuhi oleh lelaki manakala wanita di bahagian saf belakang.
“Ini adalah kerana hikmah-hikmah tertentu demi menjaga adab pandangan bagi lelaki. Di dalam Islam menekankan aspek menundukkan pandangan bagi lelaki kerana fitrah untuk golongan lelaki itu mudah tertarik kepada unsur-unsur syahwat, mudah tertarik kepada wanita cantik.
“Begitu juga jika wanita itu menjada auratnya, barulah Insya-Allah kedua-dua lelaki dan wanita itu akan terpelihara,” ujarnya.
Wanita sangat dihormati dalam Islam
Malah dalam video tersebut Dr Kamilin turut menjelaskan bagaimana kaum wanita sangat dihormati termasuklah bab ikhtilat.
Selain itu, mereka turut menunjukkan demonstrasi serta infografik bagaimana ibadah di Tanah Suci dilakukan oleh umat Islam.
Bukan hanya itu, Hafiz turut memaklumkan bagaimana kerajaan Arab Saudi menyediakan tentera serta pihak berkuasa ditugaskan di sana untuk memastikan para jemaah berada dalam keadaan selamat sepanjang melakukan ibadah.
Tunjuk lakonan semula dan infografik keadaan di Mekah
Bagi mengukuhkan lagi pemahaman mereka yang menonton video tersebut, Hafiz melakukan lakonan semula mengambarkan keadaan seperti di Kaabah. Malah setiap perkara seperti Hajar Aswad turut diterangkan secara terperinci untuk difahami.
Dr Kamilin dalam masa sama turut memberikan tips kepada kaum hawa yang ingin mengucup Hajar Aswad iaitu pergi pada waktu yang sesuai dan kurang sesak.
Contoh waktu yang kurang sesak seperti tengah malam, di awal pagi, dan juga sebelum tengah hari. Selain itu, di sana juga terdapat waktu tertentu yang dikhaskan kepada golongan wanita untuk mencium Hajar Aswad.
Jemaah di sana Tanah Suci menjaga wanita dan kanak-kanak
Hafiz pula turut menekankan bahawa para jemaah yang berada di sana juga sangat menjaga golongan wanita dan kanak-kanak malah memberikan ruang kepada mereka untuk mencium batu suci itu.
“Seperti mana yang awak lihat dalam video saya itu, sebenarnya ada sekumpulan wanita dijaga oleh lima hingga enam lelaki dan Alhamdulillah kesemuanya keluar dalam keadaaan selamat.
“Tiada berlaku sebarang ‘gangguan’ di sudut ini,” jelas Hafiz lagi.
Akui masjid dan madrasah tempat selamat buat wanita
Hafiz turut menjawab bahawa masjid dan madrasah merupakan tempat yang selamat untuk para wanita seperti yang disoal oleh akaun Hindutva Knight.
Mengakui pernah silap kerana kekurangan ilmu, Hafiz bagaimanapun ingin bertanggungjawab atas perkara yang dilakukannya kerana sayangkan agama Islam dan ingin terus mengangkat imej agama itu.
“Maaf jika ada kekurangan daripada apa yang dikongsikan. Tapi saya yakin akan hadir sahabat-sahabat muslim saya yang lebih pakar dan arif untuk terus menjaga imej Islam. Semoga apa yang berada di internet kali ini adalah perkara yang baik-baik dan dapat terus menjaga imej Islam.”
Hafiz juga meluahkan keinginan untuk terus menjadi seorang muslim yang lebih baik.
Ada individu dari agama lain turut mengagumi keindahan agama Islam
Melihat di ruangan komen, ada individu yang menganuti agama lain yang menyedari keindahan Islam sebaik menonton video tersebut.
Ramai juga berterima kasih atas video penjelasan yang diberikan, dan berharap rakaman itu dapat membuka mata lebih ramai tentang keindahan agama Islam.
Tidak kurang juga ada yang menasihatkan Hafiz untuk lebih berhati-hati dalam apa jua konten yang dilakukannya.