“Terima Kasih Orang Baik” – Misi Rakyat Beli 100 Guni Tar Untuk Tampal Jalan Berlubang Raih Pujian Ramai [Video]
Selain menampal lubang, mereka turut bekerjasama membaiki semula dua palang had ketinggian yang ada di sekitar jalan raya di Meru.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Isu lubang di atas jalan raya (pothole) di Malaysia bukanlah sesuatu yang baharu, bahkan ia masih berlaku sehingga ke hari ini.
Apa yang lebih membimbangkan, lubang-lubang yang ada di atas jalan raya ini boleh menyebabkan berlakunya kemalangan terutamanya melibatkan penunggang motosikal.
Persoalan yang sering dibangkitkan ramai adalah siapa yang bertanggungjawab untuk membaiki jalan raya ini sehingga masyarakat sendiri dan pihak organisasi badan bukan kerajaan (NGO) terpaksa bertindak sendiri antaranya Brotherhood Malaysia.
Misi Rakyat dan orang awam bekerjasama tampal lubang di atas jalan raya
Seperti baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan Misi Rakyat besama orang awam telah bekerjasama menampal lubang di atas jalan raya di sekitar Puncak Alam dan Meru, Selangor.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun TikTok pengasas Misi Rakyat, Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi (@foundermisi), dia berkata pihaknya telah membeli 100 guni tar untuk menampal lubang-lubang terbabit.
“Ramai orang jatuh disebabkan lubang begini, sehingga ramai yang telah meninggal dunia. Jadi, masyarakat kini mula bertindak,” katanya.
Menurutnya, kerja-kerja pembaikan jalan raya yang dilakukan pada sekitar jam 11 malam sehingga waktu Subuh.
Orang awam tampil dengan setiap kemahiran tersendiri
Ujar Ahmad Faiz, kebanyakan orang-orang awam yang tampil membantu mempunyai kepakaran masing-masing dalam bidang kontaktor.
Tidak hanya itu, mereka juga hadir dengan membawa jentera sendiri seperti lori dan sebagainya untuk membantu memperbaiki jalan berkenaan.
“Allah yang satukan kami pada malam ini, mereka hadir dengan jentera, lori, kemahiran kontraktor. Hati mereka diseru demi kebaikan dan mereka sahut.
“Kami ingin kembalikan zaman kebaikan Baginda (Nabi Muhmmad SAW), hidupkan orang-orang baik di dalam masyarakat sehingga mengubah cara hidup masyarakat seluruhnya,” katanya lagi.
Siap baiki dua palang had ketinggian kerana khuatir jatuh terkena pengguna jalan raya
Selain menampal lubang, mereka turut bekerjasama membaiki semula dua palang had ketinggian yang ada di sekitar jalan raya di Meru.
Palang tersebut dikatakan sudah usang dan boleh terjatuh sekali gus membahayakan pengguna jalan raya.
“Jangan kita salahkan mana-mana pihak berkuasa kerana kami hanya ikuti jejak Baginda SAW. Baginda sendiri kasih pada semua tanpa sedikitpun salahkan sesiapa.
“Suatu hari nanti, dunia akan dipenuhi kebaikan semula,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia turut menjelaskan tidak menerima sebarang sumbangan berbentuk wang dan hanya mengalu-alukan kemahiran, jentera, masa, tenaga dan kerjasama sehaja daripada orang ramai kerana segala kos untuk membaiki jalan raya akan ditanggung sepenuhnya oleh Misi Food Delivery.
Video sama turut dikongsikan di Facebook Founder Misi.
Orang ramai pakat beri pujian kepada Misi Rakyat
Memindai ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial memberi pujian terhadap Misi Rakyat yang sudi mengeluarkan modal mereka sendiri untuk membaiki jalan raya berkenaan.
Malah mereka turut menitipkan doa kepada pihak Misi serta orang awam yang membantu agar dimudahkan urusan dan sentiasa dilimpahi rezeki yang banyak.
Tidak hanya itu, ada juga segelintir pihak yang mempersoal kenapa pihak yang sepatutnya bertanggungjawab tidak membaiki jalan raya berkenaan dan ke mana perginya cukai yang dipunggut selama ini.