Jualan Garlic Bread & Sup Cendawan Tak Habis, Peniaga Reda Dan Gembira Agih Kepada Orang Ramai [Video]
Menurut Syahidah dia kerugian sekitar RM100 untuk 10 pek roti bawang putih dan sup cendawan yang tidak terjual namun menganggap perkara itu sebagai ujian dan risiko berniaga.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum mengetahui menceburi kerjaya sebagai usahawan mahupun peniaga bukanlah suatu perkara yang mudah.
Ini kerana ia merupakan bidang yang mempunyai cabaran yang besar di mana peniaga perlu memantapkan kemahiran menjual, produk yang berkualiti dan sebagainya.
Tak dinafikan ia memerlukan kesabaran yang tinggi serta kekuatan mental untuk terus melangkah ke depan agar perniagaan yang dibina terus berkembang maju.
Wanita diuji pertama kali buka car boot, jualan tak habis
Perkara sama turut dirasakan oleh seorang peniaga wanita ini apabila diuji jualan makanannya tidak terjual sewaktu kali pertama membuka jualan but kereta di sekitar Lembah Klang.
Menerusi video yang dimuat naik oleh Syahidah Omar di TikTok, awalnya dia berkongsi pengalaman membuka jualan but kereta pada hari pertama untuk menjual roti bawang putih (garlic bread) bersama sup cendawan di Kompleks Sukan Pandamaran Klang.
Siap sediakan tester untuk orang ramai rasa
Ujarnya itu adalah kali pertama dia menjual dan perasaan bercampur baur seperti teruja, bimbang dan macam-macam lagi. Namun mengenangkan dia ingin mencari rezeki maka dia bertawakal kepada Allah SWT.
“Pukul 5 petang kami dah sampai siap susun-susun semua dekat bonet (but kereta). Siap sediakan tester (makanan percubaan) percuma lagi.
“Dekat sini petang-petang memang agak ramai orang sebab ramai beriadah (berjalan, jogging dan macam-macam lagi),” ujarnya dalam video tersebut.
Jualan masih belum laku meskipun dah masuk waktu maghrib
Namun apabila sudah masuk waktu Maghrib sekitar 7.34 petang, jualannya masih lagi belum terjual.
Syahidah bagaimanapun reda dengan perkara itu dan memaklumkan kepada suami sekiranya tiada yang membeli maka dia ingin mengagihkan secara percuma kepada orang ramai.
Selepas empat jam menanti sekitar jam 9 malam, mereka kemudian mengambil keputusan untun membungkus semua makanan kerana orang ramai di kawasan itu mula berkurangan.
“Tipulah kalau tak sedihkan, sunting video ini pun sambil tahan sebak. Cuba untuk pujuk hati supaya tak ‘down’. Tak apalah mungkin bukan rezeki kami hari ini.
“Dalam rezeki kita ada rezeki orang lain, mungkin hari ini bukan hari kami. Insya-Allah, Allah SWT nak bagi rezeki lain untuk kami. Percaya je,” katanya lagi.
Peniaga reda jualan tak habis, ambil keputusan agihkan secara percuma
Dalam video tersebut kelihatan suami Syahidah telah mengagihkan roti bawang putih dan sup cendawan itu kepada orang ramai. Malah perkara itu membuatkan wanita itu gembira apabila melihat mereka yang menerima makanan berkenaan tersenyum.
“Tak minta banyak, cukuplah doakan kami suami isteri dimurahkan rezeki selalu. Semoga rezeki yang kami dapat bermanfaat untuk orang lain juga.”
Rugi RM100 untuk 10 pek roti bawang putih dan sup cendawan
Memetik laporan mStar, Syahidah telah memberikan sebanyak 10 pek roti bawang putih dan sup cendawan kepada orang ramai dan jumlah kerugiannya pada hari itu sekitar RM100.
Walau bagaimanapun, perkara itu tidak melunturkan semangatnya sebaliknya menganggap apa yang berlaku sebagai ujian dan risiko yang perlu dihadapi sebagai peniaga.
Bahkan dia mengambil inisiatif lain untuk mengambil tempahan dari pelanggan dan menjual menggunakan kaedah pembayaran tunai ketika penghantaran (Cash On Delivery) serta vendor.
“Saya ambil tempahan dari rumah sahaja sekitar Selangor. Dalam masa sama, saya cuba cari vendor yang bersesuaian.
“Saya berniaga ni selepas buat bisnes MLM (Multi Level Marketing). Tapi lepas kahwin saya cari perniagaan yang boleh berniaga dari rumah. Jadi saya gunakan pengalaman berniaga dekat universti.
“Banyak lagi rancangan nak keluarkan makanan lain cuma saya mulakan dengan garlic bread dan mushroom soup dulu. Masa buka car boot sales tu takut-takut juga sebab tu mulakan dengan 10 pek je,” katanya lagi.
Ramai beri semangat untuk jangan berputus asa
Melihat di ruangan komen, ramai yang memberi semangat kepada Syahidah untuk jangan berputus asa dan meneruskan perniagaannya.
Malah ada juga yang berkongsi pengalaman mereka pernah berdepan situasi sama seperti Syahidah.