Macam Mana Nak Qada Solat Yang Bertahun-tahun Ditinggalkan? Ini Penjelasan UAI [Video]
Menurut Ustaz Azhar Idrus, jika solat qada yang dilakukan sudah melebihi jumlah yang perlu diganti, maka lebihan itu dikira sebagai solat sunat.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Solat fardu lima waktu iaitu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak merupakan salah satu rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim.
Sekiranya ditinggalkan secara sengaja atau tidak sengaja solat fardu ini, maka umat Islam perlu menggantikannya iaitu qada solat selama mana ia ditinggalkan.
Bagaimanapun, bagi umat Islam yang sudah bertahun-tahun meninggalkan solat fardu, berapakah jumlah solat qada yang harus dilakukan?
Boleh anggarkan kalau tak ingat berapa banyak tinggal solat fardu
Ustaz Azhar Idrus atau lebih dikenali sebagai UAI berkata, sekiranya seseorang itu tidak mengingati jumlah solat qada yang harus dilakukannya, maka dia boleh menganggarkannya dan berhenti melakukannya setelah merasakan sudah mencukupi.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun YouTube miliknya, UAI berkata jika solat qada yang dilakukan sudah melebihi jumlah yang perlu diganti, maka lebihan itu dikira sebagai solat sunat.
Solat qada yang tak mencukupi tanpa sengaja dimaafkan Allah
Bagaimanapun, beliau menjelaskan jika solat qada yang dilakukan tidak mencukupi tanpa sengaja, maka ia dimaafkan kerana Allah SWT Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
“Kalau kita ingat (jumlah solat perlu diganti) senang, (contoh) 18 waktu, kalau kita tak ingat banyak mana, kita kena anggarkan.
“Sampai rasa dah mencukupi, maka kita boleh berhenti (qada solat),” katanya dalam satu sesi kuliah Maghrib dan sesi soal jawab agama di sebuah Masjid baru-baru ini.
Empat mazhab sepakat solat fardu wajib ganti
Dalam pada itu, UAI berkata hukum mengganti solat fardu adalah wajib manakala qada solat sunat pula hukumnya kekal sunat untuk digantikan.
Jelasnya, keempat-empat mazhab iaitu mazhab Syafie, Maliki, Hanafi dan Hambali sepakat bahawa hukum umat Islam untuk menggantikan solat fardu yang telah ditinggalkan adalah wajib.
Dalam satu lagi video berasingan, pendakwah bebas, Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi turut menyatakan perkara sama.
Menurutnya, ulamak pada Mazhab Syafie menetapkan orang yang mempunyai terlalu banyak sembahyang yang ditinggalkan sehingga tidak tahu jumlahnya, maka hendaklah ‘mengqada’ solat-solat itu sehingga diyakini telah digantikan kesemuanya.
Pengguna laman X ini turut berkongsi tiga cara yang boleh dilakukan untuk menggantikan semula solat fardu. Antaranya:
#1. Ganti secara ‘set harian’
Dalam sehari, anda menggantikan ‘sehari lagi’ solat yang pernah ditinggalkan. Ulang sehingga selesai hutang solat anda dengan Allah SWT.
Sebagai contoh, anda melakukan lima waktu solat sekaligus dalam tempoh yang sama.
#2. Ganti secara ‘dwi-waktu’
Kaedah ini dilakukan dengan cara anda melakukan solat untuk waktu yang sama selepas selesai melaksanakan sembahyang pada ketika itu.
Sebagai contoh, anda melakukan qada solat Subuh selepas selesai melaksanakan fardu Subuh ketika itu.
#3. Ganti secara ‘gandaan’
Anda menggandakan waktu yang sama sehingga selesai hutang solat itu. Lakukan perkara yang sama juga untuk waktu solat yang lain.
Sebagai contoh, anda melakukan lima kali solat qada’ fardu Subuh dalam waktu yang sama.