Ramai Rakyat Malaysia Lupa Bahasa Ibunda, Cenderung Berbahasa Inggeris – Warga Jerman [Video]
Menurut Micheal Luebke, dia berasa gusar melihat segelintir warga Malaysia yang kurang memartabatkan budaya dan identiti mereka.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum mengetahui, Malaysia sememangnya sebuah negara yang mempunyai masyarakat daripada pelbagai kaum, bangsa dan budaya yang hidup harmoni bersama-sama.
Maka tidak hairanlah jika kebanyakan rakyat Malaysia mampu bertutur lebih daripada satu bahasa selain bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan di negara ini.
Lelaki Jerman gusar, masyarakat Malaysia kurang junjung budaya dan identiti sendiri
Pun begitu, seorang warga Jerman yang dikenali sebagai Micheal Luebke meluahkan kegusarannya dengan segelintir warga Malaysia yang dilihatnya kurang memartabatkan budaya dan identiti mereka.
Menurut Luebke, dia melihat semakin ramai rakyat Malaysia yang lebih cenderung untuk bertutur dalam bahasa Inggeris di rumah berbanding bahasa Melayu.
“Semakin ramai yang melupakan dan cenderung untuk bertutur dalam bahasa Inggeris di rumah berbanding bahasa ibunda,” katanya dalam satu wawancara bersama Awani pagi semalam (12 Ogos).
Bahasa menggambarkan keagungan dan keluhuran sesebuah tamadun
Ujarnya, bahasa menggambarkan keagungan dan keluhuran sesebuah tamadun selain mempamerkan keunikan budaya sesebuah bangsa serta cara masyarakat berfikir.
“Saya amat bimbang kerana saya sering melihat ramai yang semakin melupakan budaya dan agama di Malaysia.
“Saya perhatikan ada yang tidak lagi bertutur dalam bahasa Melayu di rumah, sebaliknya lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris padahal perkara ini sangat penting kerana ia adalah sebahagian daripada sejarah Malaysia.
“Dahulu, rakyat Malaysia berjuang mempertahankan budaya dan bahasa, tetapi kini ramai yang seakan-akan melupakan usaha tersebut.
“Oleh sebab itulah, kami menekankan penggunaan bahasa ibunda di rumah, supaya budaya dan bahasa kita tidak dilupakan.
“Kami juga mendidik anak-anak tentang adat Malaysia, nilai hormat-menghormati, serta kepentingan mengekalkan identiti Malaysia sebagai sebuah negara yang harmoni dan unik,” katanya.
Luebke sifatkan bahasa Melayu mudah dipelajari dan menarik
Dalam pada itu, Luebke yang telah berkahwin bersama seorang wanita warga Malaysia, Husna Hisan Md Nor, telah berkongsi pengalaman peribadinya mempelajari bahasa Melayu yang disifatkannya mudah dipelajari dan sangat menarik.
“Memang sudah menjadi kebiasaan kami sejak dulu untuk bercakap dalam bahasa Melayu, jadi ia terasa biasa bagi kami.
“Selain itu, mempelajari bahasa Melayu juga menarik kerana cara sebutannya agak mirip dengan bahasa Jerman.
“Oleh sebab itu, jika warga Malaysia ingin belajar bahasa Jerman, mereka mungkin akan mendapati ejaan dan sebutan dalam bahasa Jerman juga mempunyai persamaan,” ujarnya lagi.
Terapkan anak-anak dengan bahasa dan budaya Melayu meskipun menetap di Jerman
Sementara itu, Husna menyatakan dia dan suami lebih cenderung bercakap dalam bahasa Malaysia dan mengekalkan budaya Melayu yang turut diterapkan kepada keempat-empat anak mereka meskipun dia kini berada jauh di perantauan.
Untuk info, Husna juga merupakan seorang YouTuber yang sering berkongsi kisah-kisah keluarganya yang menetap di kota Hamburg.
Tonton video temubual di bawah: