fbpx
Now Reading
“Cinta Sampai Syurga” – Lelaki Dijemput Ilahi Selepas 2 Minggu Isteri Meninggal Dunia Ketika Bersalin [Video]

“Cinta Sampai Syurga” – Lelaki Dijemput Ilahi Selepas 2 Minggu Isteri Meninggal Dunia Ketika Bersalin [Video]

Menurut adik Safry yang dikenali sebagai Jefrie Roslan, arwah abangnya berada dalam keadaan sihat namun menunjukkan sikap luar biasa terhadap ahli keluarga dan rakan sekerja sebelum meninggal dunia.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kehilangan orang yang tersayang bukanlah satu perkara yang mudah. Apatah lagi jika individu itu merupakan insan penting dalam kehidupan.

Bagi kebanyakan orang, pastinya kehilangan ini mematahkan semangat dan menyebabkan kesukaran untuk menjalani kehidupan seperti biasa.

Namun, percayakah anda tentang cinta sejati hingga ke syurga? Dengan izin Yang Maha Esa, ada individu yang meninggal dunia sebaik sahaja pasangannya pergi.

Pergi Selepas Isteri Meninggal Dunia Ketika Bersalin Anak Keempat

Begitulah yang dapat digambarkan terhadap sepasang suami isteri di Sandakan, Sabah. Sang suami yang dikenali sebagai Safry Roslan meninggal dunia pada Selasa (13 Ogos).

Lebih memilukan, dia menghembuskan nafas terakhir setelah dua minggu pemergian isterinya, Airyn Darwisa Rudy ketika melahirkan anak keempat mereka pada 30 Julai lalu.

Safry yang berusia 35 tahun itu disahkan meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent (HDOK) kira-kira jam 2.50 pagi selepas ditemui tidak sedarkan diri oleh ahli keluarganya.

Lelaki Tunjuk Perangai Luar Biasa

Menurut adik Safry yang dikenali sebagai Jefrie Roslan, arwah abangnya berada dalam keadaan sihat namun menunjukkan sikap luar biasa terhadap ahli keluarga dan rakan sekerja.

“Pada Isnin (12 Ogos) lalu, arwah kelihatan sihat saja dan pergi kerja seperti biasa. Cuma ada kawan-kawan memberitahu dia bersikap pelik apabila sepanjang hari itu dia bersalaman, meminta maaf dan memeluk rakan-rakan sekerja.

“Ketika di rumah pula, dia bawa kami sekeluarga makan bersama-sama dan turut meminta maaf jika ada salah dan silapnya.

“Pada awalnya saya tertanya-tanya tetapi saya menganggap mungkin dia rindukan arwah isterinya,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.

Berubah Sikap Sejak Kematian Isteri

Tambah Jefrie, arwah abangnya itu ada menunjukkan perubahan sikap selepas pemergian isterinya.

Safry juga dikatakan sering mengigau hingga terpaksa dikejutkan setelah masuk tidur sekitar jam 12 malam.

“Pada malam sebelum dia ‘pergi’, kami bersembang dan dia bercerita arwah isterinya ada bertemu dan mengajaknya ke ‘rumah’ baharu mereka yang cantik.

“Saya anggap mungkin arwah terlalu rindukan isterinya kerana selepas isterinya meninggal, dia kerap bermimpi dan mengigau.

“Dia mengigau sekitar jam 1 lebih pagi, kami bangunkan dia dan duduk sekejap sebelum baring semula tetapi dia terus mengigau.

“Tidak lama kemudian, tiada kedengaran suara dia mengigau dan terus senyap. Kami pantau keadaannya tetapi dia seperti tidak sedarkan diri.

“Dia sedar sekejap dan menarik nafas kemudian diam. Dalam tiga kali dia begitu,” katanya lagi.

Keluarga Bawa Ke Hospital Setelah Tidak Sedarkan Diri

Melihat keadaan abangnya yang semakin teruk dan bibir menjadi pucat, Jefri dan keluarganya kemudian membawa arwah abangnya ke hospital.

“Kami kemudian dimaklumkan dia sedang kritikal dan meminta kami terus berdoa sementara doktor berusaha tetapi sekitar jam 2.50 pagi, akhirnya abang disahkan telah tiada,” ujarnya.

Jenazah Safry selamat dikebumikan kira-kira jam 8 malam pada 13 Ogos yang lalu bersebelahan dengan pusara arwah isterinya di Tanah Perkuburan Islam Jalan Aman Sandakan.

“Kami tidak mengharapkan apa-apa, kami hanya harap jika ia telah tular sebelum ini, berilah komen yang baik-baik supaya anak-anak arwah sudah besar nanti tahu kisah ibu bapa mereka,” katanya.

Anak-Anak Abang Dalam Jagaan Adik

Ketika ditanya tentang nasib keempat-empat anak pasangan suami isteri itu, Jefrie mendedahkan mereka semua berada di bawah jagaan dia dan ibunya.

“Walaupun saya anak keempat dan arwah anak sulung, tetapi kami sangat rapat kerana tinggal bersama-sama.

“Jadi sebelum dia pergi, dia ada berpesan meminta saya menjaga anaknya yang baru dilahirkan itu.

“Tiga lagi anaknya masing-masing berusia lima, empat dan dua tahun kini dijaga oleh nenek mereka,” kata Jefrie lagi.

Individu Tidak Sangka Lelaki Yang Sama Minta Uruskan Jenazah Isteri Meninggal

Kisah pemergian Safry menjadi perhatian apabila dikongsikan oleh seorang pengguna TikTok menerusi akaun Abam Botak.

Menurut Abam Botak atau nama sebenarnya Yusnizam Yusop, dia tidak menyangka arwah Safry yang menghubungi dua minggu lalu turut pergi meninggalkan ahli keluarga lain.

“Minggu lalu isterinya meninggal dunia, arwah yang hubungi saya untuk pengurusan jenazah isterinya. Saya tidak sangka si suami menyusul pula hari ini.

“Van jenazah yang sama juga digunakan pada dua minggu lalu untuk arwah isterinya dan kali ini untuk membawa Allahyarham,” katanya.

Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Nekad Kahwini Semula Bekas Isteri Lepas Tahu Wanita Itu Sakit Tenat

Baca Artikel Berkaitan: Kahwin Tak Sampai 5 Bulan, Suami Reda Isteri Hidap Kanser Meninggal Di Bulan Ramadan

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.