Boleh Atau Tidak Bergambar Berdua-Duaan Berlainan Jantina? Ini Yang Patut Seorang Muslim Tahu
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, individu berlainan jantina yang melakukan urusan muamalat perlu mengikut nilai dan hukum yang berkaitan dengan pakaian menutup aurat, menjaga pandangan dan banyak lagi.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Platform media sosial antaranya seperti Facebook, TikTok, X dan Instagram dilihat memainkan peranan penting dalam kehidupan setiap individu pada masa kini.
Selain daripada menjadi medium perhubungan, ia juga turut dijadikan tempat seseorang untuk berkongsi momen bahagia dan bermakna.
Antara cara yang paling biasa digunakan adalah melalui perkongsian gambar bersama yang tersayang dan kenalan rapat.
Namun dalam pada kita seronok untuk berkongsi momen tersebut, timbul persoalan adakah seseorang itu dibenarkan bergambar berdua-duaan dengan individu berlainan jantina seperti yang sering dilakukan oleh kebanyakan orang pada masa kini.
Bergambar Berdua Tidak Dibenarkan
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, percampuran berlainan jantina tidak dibenarkan melainkan jika terdapat keperluan atau urusan muamalat sesama manusia selagi tidak menimbulkan fitnah dan menjaga batas pergalan.
Ini bermakna mengambil gambar berdua-duaan berlainan jantina bukan kerana keperluan dan boleh menimbulkan fitnah tidak dibenarkan syarak.
Terang mereka, secara asasnya perbuatan berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah dilarang melainkan ditemani mahramnya.
“Ini berdasarkan riwayat Saidina Abdullah bin Abbas RA bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: ‘Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan perempuan itu ditemani oleh mahramnya. (Riwayat Muslim, 1341),” kata mereka.
Hanya Dibenarkan Pada Keadaan Tertentu
Jelasnya, percampuran antara lelaki dan wanita bukan muhrim hanya dibenarkan ketika berada dalam keadaan tertentu seperti darurat, keperluan dan maslahat ketika menjalankan urusan seharian.
- Darurat iaitu pengecualian bagi kes atau keadaan darurat contohnya seperti terjumpa wanita ajnabi yang sesat di jalan. Seorang lelaki boleh menemaninya atas faktor keselamatan sekiranya wanita itu takut ditinggalkan.
- Urusan keperluan yang melibatkan muamalat sesama manusia antaranya seperti jual beli, urusan kerja, menuntut ilmu, jihad dan keperluan urusan harian lain.
Tambah mereka lagi, individu berlainan jantina yang melakukan urusan muamalat perlu mengikut nilai dan hukum yang berkaitan dengan pakaian menutup aurat, menjaga pandangan yang bebas syahwat serta tidak melunakkan suara dengan manja (ketika bercakap dengan lelaki asing).
Bagi urusan jual beli pula, seseorang itu harus melihat ajnabi, mengambil dan memberi sesuatu barangan.
Tidak Boleh Walaupun Tiada Sentuhan
Malah, pendakwah terkenal dan penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) menjelaskan perkara yang sama seperti Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Menurut UAI, hukum bergambar antara lelaki dan perempuan walaupun tidak bersentuhan kebanyakannya dilarang syarak. Namun, ia dibolehkan bergantung kepada keadaan tertentu.
“Kebanyakannya dilarang syarak kerana boleh memberi fitnah dan sebahagiannya dibenarkan syarak mengikut tujuan tertentu.
“Tujuan tertentu itu tidak boleh bergambar hanya berdua di tempat sunyi, kalau di tempat ramai lepas tu ambil gambar nampak berdua, yang itu boleh,” katanya.
Kesimpulannya, mengambil gambar berdua-duaan berlainan jantina tanpa keperluan hingga boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang dalam Islam.
Baca Artikel Berkaitan: