“Tak Pernah Sambut Hari Jadi”- Ramai Tersentuh Lihat Aktivis Rai Ulang Tahun Anak Yatim Ini [Video]
Ketika ditanya bilakah kali terakhir menyambut hari jadi, Mazlan menjawab, ‘baru hari ini’ kerana dia tidak pernah menyambutnya sebelum ini.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ulang tahun hari jadi merupakan antara momen yang penting buat seseorang khususnya jika mereka masih kecil.
Oleh itu, ada yang mengambil inisiatif untuk meraikannya bersama keluarga mahupun rakan-rakan rapat. Tujuan meraikan hari ulang tahun seseorang hanyalah sekadar ingin mengingati dan menghargai individu berkenaan.
Selain itu, ia juga dapat mengeratkan silaturahim dan membuatkan seseorang rasa disayangi.
Kanak-kanak tak pernah sambut hari jadi
Baru-baru ini, tular satu video di media sosial memaparkan seorang aktivis kemanusiaan di Sabah yang meraikan hari jadi seorang kanak-kanak yang juga anak yatim.
Menerusi video yang dikongsikan oleh Saharuddin Amirullah di TikTok, awalnya kelihatan dia berkunjung ke sebuah rumah sambil membawa beberapa makanan dan juga sebuah kek.
Sebaik sahaja masuk ke dalam rumah kelihatan dua kanak-kanak lelaki dan seorang budak perempuan berada di hadapan pintu untuk menyambut Saharuddin.
Seorang kanak-kanak lelaki yang memakai baju hitam yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) kemudian bertanya apakah yang dibawa oleh aktivis itu.
Turut bawa makanan lain untuk raikan hari jadi Mazlan
Saharuddin kemudian menjawab dia membawa biskut dan ayam goreng, selain itu dia menjelaskan kehadirannya pada hari tersebut adalah untuk meraikan hari jadi Mazlan iaitu adik kepada kanak-kanak lelaki berkenaan.
“Hari itu ulang tahun kelahiran saya dan team, kami sambut dengan anak-anak syurga ni. Kali ini kami ziarah semula mahu meraikan hari jadi adik mereka (Mazlan),” tulisnya di dalam video berkenaan.
Kanak-kanak itu, turut bertanya adakah Saharuddin ada membawa beras buat mereka, ini kerana dipercayai mereka merupakan keluarga susah dan sering mendapat bantuan seperti makanan daripada lelaki tersebut.
Mazlan akui tak pernah sambut hari jadi sepanjang hidupnya
Saharuddin kemudian menjawab dia ada membawa beras tersebut. Tidak lama kemudian dia mengeluarkan satu topi dan disarungkan di atas kepala Mazlan.
Namun apa yang menjadi perhatian, ketika ditanya bilakah kali terakhir Mazlan menyambut hari jadi, dia menjawab, “Baru hari ini” sambil tersenyum.
Mengalirkan air mata sewaktu adik-beradik nyanyikan lagu Hari Jadi
Perkara itu secara tidak langsung membuatkan Saharuddin tersentuh, dia lalu menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi dan Mazlan dilihat mengalirkan air mata mungkin kerana sebak.
Melihat keadaaan itu, Saharuddin mengelap air mata kanak-kanak berkenaan dan memeluknya.
Ambil tugas jaga abang dan kakak OKU sejak ibu meninggal dunia
Menurut Saharuddin sejak ibu mereka meninggal dunia, Mazlan mengambil tugas menjaga abang dan kakaknya yang OKU serta mendoakan agar kanak-kanak itu terus menjadi kuat.
Dia juga mengatakan dia sangat bangga dengan Mazlan. Dalam satu lagi video yang dimuat naik, kelihatan Saharuddin turut menyuapkan kek hari jadi itu kepada Mazlan sambil melayani mereka makan.
“Dari lahir sampailah belasan tahun, anak syurga ini tak pernah menyambut hari kelahiran.”
Ramai titip doa buat Mazlan sempena hari jadinya
Melihat di ruangan komen, video itu turut membuatkan ramai sebak dan mengucapkan ‘Selamat Hari Jadi’ kepada Mazlan.
Tidak kurang juga ada yang mendoakannya dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusannya serta menjadi anak yang baik.