Ustaz Wadi Anuar Kongsi 10 Waktu Mustajab Untuk Berdoa
Antara waktu yang mustajab untuk berdoa adalah ketika hujan dan sujud di mana seseorang yang sedang bersujud berada dalam keadaan dekat dengan Allah SWT.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap umat Islam yang berada di dunia ini pastinya inginkan kesejahteraan dalam hidup mereka. Oleh itu, setiap di antara kita akan melakukan setiap perintah Allah SWT untuk mendapatkan kehidupan yang diinginkan dan sentiasa melakukan kebaikan.
Selain melakukan ibadah, doa juga merupakan antara perkara yang perlu dilakukan oleh setiap hambaNya. Malah, doa setiap muslim itu dianggap sebagai senjata tidak kiralah seseorang itu berada dalam keadaan apa sekali pun.
Baru-baru ini pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar telah berkongsi 10 waktu yang mustajab untuk seseorang berdoa kepada Allah SWT.
Sebagai seorang muslim pasti kita ingin setiap dia yang dipinta diperkenankan oleh Allah SWT. Oleh itu, adalah penting untuk mengetahui waktu yang mustajab, antaranya:
#1 Selepas solat fardu
Setiap kali selesai mendirikan solat fardu, adalah baik untuk seseorang meluangkan sedikit masanya untuk berdoa kepada Allah SWT.
Abu Umamah meriwayatkan:
“Ada yang bertanya kepada Rasulullah SAW. Wahai Rasulullah, doa manakah yang paling didengar (oleh Allah SWT)?
“Rasulullah SAW menjawah: ‘Di pertengahan malam terakhir dan setelah selesai solat fardhu.” – (Hasan, hadis riwayat Al-Tirmidhi)
#2 Antara Azan dan Iqamah
Sabda Rasulullah SAW “Doa antara azan dan iqamah tidak akan ditolak.” – Sahih (Hadis riwayat Al-Timirdhi).
Oleh itu, setiap kali selepas mendengar azan adalah baik jika kita dapat menyelitkan doa dan jangan disia-siakan.
Ini kerana, setiap hari azan dilaungkan sebanyak 5 kali sehari setiap kali masuknya waktu solat fardu.
#3 Ketika sujud
Sujud merupakan salah satu rukun dalam solat antaranya solat fardu dan solat sunat.
Ia juga merupakan salah satu keadaan di mana seorang hamba sangat dekat dengan Allah SWT. Maka seseorang digalakkan berdoa setiap kali berada dalam sujudnya.
“Keadaan paling dekat seorang hamba dengan tuhannya adalah ketika ia sedang bersujud, maka perbanyakkan berdoa.”-(Sahih, Hadis Riwayat Muslim).
#4 Ketika Hujan
Hujan merupakan salah satu fenomena alam, namun sewaktu perkara ini berlaku ia juga merupakan waktu yang tepat untuk seseorang berdoa.
Nabi SAW bersabda:
“Dua perkara yang tidak akan ditolak, doa ketika azan dan doa ketika hujan.” – (Sahih, Hadis riwayat Abu Daud).
#5 Hari Jumaat
Terdapat satu waktu pada hari Jumaat, Allah SWT akan mengabulkan doa hambanya.
Ia adalah ketika seorang hambaNya sedang berdiri melaksanakan solat dan meminta kepada Allah, nescaya Allah akan mengabulkan permintaan itu. Ia merupakan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari.
#6 1/3 malam terakhir
Umum mengetahui kita digalakkan bangun pada 1/3 malam untuk melakukan solat sunat seperti Tahajud dan sebagainya.
Selain mendapat kelebihan solat Tahajud dan solat sunat yang lain, ia juga adalah waktu yang mustajab untuk seseorang berdoa.
Sabda Rasulullah SAW:
“Ketika 1/3 malam terakhir Allah SWT menyeru: “Sesiapa yang berdoa kepadaKu, Aku akan memperkenankan doanya.
“Siapa yang meminta kepadaKu, Aku akan memberinya. Siapa yang memohon ampun kepadaKu, Aku akan mengampuninya.” – (Sahih, Al-Bukhari).
#7 Ketika berpuasa & berbuka puasa
Puasa merupakan salah satu ibadah yang wajib dilakukan oleh setiap umat Islam. Malah ketika inilah seseorang muslim itu mempelajari dan melatih diri bukan sahaja lapar dan dahaga.
Tetapi cara untuk menahan diri dari nafsu, meninggalkan perkara yang tidak baik, muhasabah diri dan sebagainya.
Dalam bulan yang penuh rahmat ini juga ia adalah waktu yang sesuai untuk berdoa.
Sabda Nabi SAW:
“Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak: Imam yang adik, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan orang yang dizalimi.” – (Hasan, Hadis Riwayat Ibn Majah)
Selain itu, antara waktu lain yang mustajab untuk berdoa adalah ketika sedang berbuka puasa.
Sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa, pada saat berbuka terdapat doa yang tidak akan ditolak.” – (Hasan, Hadis Riwayat Ibn Majah)
#8 Selepas solat Zohor hari Rabu
Selain hari Jumaat, antara waktu mustajab untuk berdoa adalah pada hari Rabu selepas Zohor.
Menurut Jabir:
“Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW berdia di Masjid al-Fath selama tiga hari iaitu pada Isnin, Selasa dan Rabu. Doa baginda diperkenankan pada hari Rabu antara dua solat (Zohor dan Asar), dan kegembiraan terlihat di wajahnya.
“Maka tidaklah suatu perkara penting dan berat menimpa diriku, kecuali aku memilih waktu tersebut untuk berdoa, dan aku pun mengetahui (tanda) pengabulan doa itu.” – (Hasan/Daid, hadis riwayat Ahmad).
#9 Ketika minum air zam-zam
Umum pasti mengetahui mengenai air zam-zam dan sejarah mengenainya. Malah ia juga merupakan antara air yang mempunyai jumlah bacaan alkali yang tinggi dan baik untuk badan.
Oleh itu, ketika meminumnya sertailah dengan doa yang baik-baik.
Ini kerana Nabi Muhammad SAW bersabda “Air zam-zam itu tergantung kepada niat orang yang meminumnya,” – (Hasan, Hadis Riwayat Ahmad).
Setiap kali meminumnya berdoa agar anda diberikan kesihatan yang baik, diberikan kenikmatan dalam ibadah yang dilakukan dan sebagainya.
#10 Ketika Hari Arafah
Hari Arafah merupakan hari yang penting buat semua umat Islam yang menunaikan ibadah haji untuk berwukuf pada 9 Zulhijjah.
Arafah merupakan nama sebuah bukit yang terletak sejauh 25 kilometer dari kota Mekah.
Pada hari Arafah kebanyakan umat Islam akan melakukan puasa sunat dan berharap Allah SWT akan mengugurkan dosa-dosa setahun sebelum dan juga selepasnya.
Selain berpuasa, hari Arafah juga merupakan salah satu waktu yang sangat mustajab buat seorang umat Islam untuk berdoa kepada Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW:
“Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah,” – (Hasan, Al-Timidhi)
Berdolah pada waktu-waktu ini, kerana menurut hadith yang sahih/hasan, waktu-waktu ini dimustajabkan doa padanya.
— Ustaz Wadi Annuar (@ustazwadiannuar) August 18, 2024
Thread 👇 pic.twitter.com/YSR0h1lFs6