Jenayah Rogol: Apakah Hukumannya Mengikut Pandangan Ulama?
Terdapat empat pilihan hukuman bagi hirabah iaitu bunuh, disalib untuk dipamerkan, dipotong kaki dan tangan secara bersilang dan dibuang negeri.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Harus diakui semakin hari semakin banyak kes rogol yang berlaku, sekaligus menimbulkan kegusaran dalam kalangan khalayak ramai.
Di Malaysia, kesalahan rogol secara umumnya akan dikenakan penjara sehingga dua puluh tahun serta boleh juga dikenakan sebat.
Namun, hukuman ini seolah-olah tidak cukup menggerunkan pesalah apabila banyak yang terus melakukan perbuatan terkutuk itu sehingga membuat ramai tertanya-tanya adakah hukuman yang lebih berat patut dikenakan.
Sebagai seorang Muslim, pasti kita tertanya-tanya apakah hukuman yang bakal dikenakan terhadap pesalah kes rogol menurut undang-undang Islam.
Jenayah Rogol Termasuk Dalam Kategori Zina
Menurut bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, dalam Islam, jenayah rogol umumnya termasuk dalam kategori dosa zina dan persetubuhan luar nikah.
Pesalah akan dikenakan hukuman berdasarkan status perkahwinannya, manakala mangsa semestinya tidak akan dikenakan sebarang hukuman.
Bagi penzina atau perogol yang belum berkahwin, dia akan dikenakan hukuman 100 kali sebatan dan dibuang negeri. Allah SWT berfirman dalam ayat dua surah al-Nur:
ٱلزَّانِیَةُ وَٱلزَّانِی فَٱجۡلِدُوا۟ كُلَّ وَ ٰحِدࣲ مِّنۡهُمَا مِا۟ئَةَ جَلۡدَةࣲۖ وَلَا تَأۡخُذۡكُم بِهِمَا رَأۡفَةࣱ فِی دِینِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡیَوۡمِ ٱلۡـَٔاخِرِۖ وَلۡیَشۡهَدۡ عَذَابَهُمَا طَاۤىِٕفَةࣱ مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِینَ
Maksudnya: “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat setiap seorang daripada kedua-duanya seratus kali sebatan, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan perlaksanaan hukuman mereka itu oleh sekumpulan orang yang beriman.”
‘Ubadah bin al-Samit R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
والْبِكْرُ جَلْدُ مِائَةٍ، ثُمَّ نَفْيُ سَنَةٍ
Maksudnya: “Penzina yang belum berkahwin dihukum seratus kali sebatan dan dibuang negeri selama satu tahun.”
Riwayat Muslim (1690)
Jika penzina atau perogol sudah berkahwin (muhsan), dia akan dikenakan hukuman rejam sehingga mati mengikut sabda Rasulullah SAW:
والثَّيِّبُ يُجْلَدُ وَيُرْجَمُ
Maksudnya: “Penzina yang sudah berkahwin pula disebat dan direjam sehingga mati.”
Riwayat Muslim (1690)
Selain itu, perogol diwajibkan untuk membayar mahar sebagai pampasan ganti rugi ke atas maruah kehormatan mangsa.
Perogol juga boleh dikenakan hukuman qisas (ganti dan balas semula) jika wujudnya jenayah lain seperti mencederakan atau membunuh.
Rogol Sebagai al-Hirabah Atau Perbuatan Pengganas
Seorang pendakwah yang dikenali sebagai Addien menerusi X berkata pandangan di atas digunakan oleh kebanyakan ulama mazhab Syafie. Namun ada sebahagian ulama berpandangan bahawa perogol perlu dihukum lebih dahsyat daripada itu.
Menurut golongan ulama tersebut, perogol tidak sepatutnya dikategorikan sebagai penzina kerana mereka telah melakukan jenayah yang lebih teruk berbanding zina.
Sesetengah ulama menetapkan rogol sebagai al-Hirabah yang dinilai sebagai perbuatan ganas yang dilakukan secara terang-terangan untuk membunuh, merompak atau menakutkan pihak tertentu.
Tambah Addien, mazhab Maliki dan Zahiri menilai hirabah (perbuatan pengganas) bukan sekadar rompakan secara terang-terangan, tetapi termasuk juga segala perbuatan yang membuatkan orang ramai berasa takut sama ada cubaan membunuh, merompak, mencederakan atau merosakkan maruah orang lain (cabul dan rogol).
“Keganasan Melibatkan Kerosakan Kehormatan Lebih Keji Berbanding Melibatkan Harta” – Imam Qadhi
Addien mengambil contoh Imam Qadhi Ibn al-‘Arabi al-Maliki yang pernah menghukum seorang penjenayah kerana melarikan dan merogol isteri kepada seorang lelaki yang dirompaknya tanpa mengambil sebarang barang berharga.
Imam Qadhi kemudiannya menghakimi pesalah tersebut sebagai muharibin iaitu pengganas.
Apabila ditanya mengapakah perogol itu dilabelkan sebagai pengganas walaupun tidak melakukan rompakan dan pembunuhan, Qadhi berkata, “Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un! Adakah kamu tidak sedar bahawa keganasan yang melibatkan kerosakan kehormatan adalah lebih keji daripada keganasan yang melibatkan harta?”
Katanya lagi, seseorang lebih rela kehilangan harta berbanding membiarkan isteri atau anak perempuan mereka dirogol.
“Jika ada hukuman yang lebih berat daripada apa yang Allah telah tetapkan, itu selayaknya untuk mereka yang menodai kehormatan orang lain. Cukuplah dikira bala bagi kamu jika berteman dengan orang-orang yang jahil, terutamanya dalam urusan fatwa dan kehakiman.”
Imam Qadhi Ibn al-‘Arabi al-Maliki
Jenayah Hirabah Boleh Dihukum Bunuh & Disalib
Selain itu, Addien berkata Imam Ibn Rushd menetapkan hukuman berdasarkan kepada kepandaian pelaku merancang jenayah.
Katanya, jika pelaku keganasan (termasuk perogol mengikut mazhab Maliki) terkenal dengan kepandaian dan perancangan jenayah, maka hukuman yang sesuai untuknya ialah dibunuh lalu disalib.
Jika melakukan keganasan tanpa perancangan, pelaku hanya dipotong tangan dan kaki secara bersilang.
Addien juga menerangkan bahawa disalib bagi hukuman hirabah bukanlah bermakna menggunakan tanda salib seperti orang Nasrani. Sebaliknya, ia bermaksud membiarkan mayat terikat tegak pada kayu atau alatan khas di tempat awam agar dilihat oleh orang ramai.
Malah terdapat juga pandangan ulama bahawa mayat yang disalib harus dibiarkan selama tiga hari, tambahnya.
4 Pilihan Hukuman Bagi Jenayah Hirabah
Menurut Dr Zulkifli, hukuman bagi jenayah hirabah boleh dipilih sama ada dibunuh, disalib untuk dipamerkan, dipotong tangan dan kaki secara bersilang atau dibuang negeri dan dipulaukan.
Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT dalam ayat 33 surah al-Ma’idah:
إِنَّمَا جَزَاءُ الَّذِينَ يُحَارِبُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا أَنْ يُقَتَّلُوا أَوْ يُصَلَّبُوا أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُمْ مِنْ خِلَافٍ أَوْ يُنْفَوْا مِنَ الْأَرْضِ ذَلِكَ لَهُمْ خِزْيٌ فِي الدُّنْيَا وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya balasan bagi orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya, dan melakukan kerosakan di atas muka bumi itu adalah selayaknya dibunuh, atau disalib, atau dipotong tangan-tangan dan kaki-kaki mereka secara bersilang, atau dibuang negeri; demikianlah kehinaan bagi mereka di dunia, dan di akhirat kelak, mereka akan ditimpa azab yang dahsyat.”
Dr Zulkifli berkata bahawa perogol terus dikenakan hukuman had hirabah menurut Imam Ibn al-‘Arabi dan Imam Ibn Hazm.
Mendiang Karpal Singh Minta Perogol Kanak-Kanak Dikenakan Hukuman Mati
Bekas Pengerusi DAP kebangsaan, mendiang Karpal Singh pada 2010 pernah menggesa kerajaan agar meminda Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membolehkan perogol kanak-kanak dikenakan hukuman mati.
Menurut Karpal, walaupun dia sentiasa memperjuangkan agar hukuman mati dimansuhkan, namun bagi kes melibatkan kanak-kanak, dia lebih mahukan kerajaan untuk tidak bertolak ansur dan mengenakan hukuman yang lebih tegas.