“Kak Masuk Cepat!”- Wanita Berdepan Detik Cemas Diekori Individu Tak Dikenali [Video]
Menurut wanita berkenaan, kejadian itu berlaku di kawasan parkir sebuah pusat membeli-belah di Klang, Selangor
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Saban hari ada saja laporan jenayah dilaporkan berlaku di negara ini. Malah apa yang lebih menakutkan ada jenayah membabitkan kes pembunuhan dan sebagainya.
Perkara ini secara tidak langsung membuatkan ramai rakyat Malaysia bimbang dan lebih berjaga-jaga tidak kiralah di tempat awam atau sebaliknya.
Malah ada juga yang berkongsi lokasi mereka menerusi aplikasi tertentu agar ahli keluarga atau rakan mengetahui keberadaan mereka. Tidak kurang juga, ada yang membawa teman apabila berada di luar.
Wanita diekori individu tak dikenali di parkir pusat beli belah
Baru-baru ini, tular satu video di media sosial memaparkan tindakan mencurigakan seorang lelaki sehingga membuatkan ramai bimbang.
Menerusi video yang dikongsikan di X, awalnya kelihatan sebuah kereta yang dinaiki oleh dua wanita yang juga ibu dan anak sedang melalui kawasan parkir di sebuah pusat membeli-belah di Klang, Selangor.
Lelaki ikut wanita pakai baju berwarna coklat
Tidak lama kemudian kelihatan seorang lelaki yang dipercayai sedang mengekori seorang wanita memakai baju berwarna coklat yang sedang berjalan di tempat letak kereta berkenaan.
Menyedari perkara itu, wanita yang memandu kereta itu kemudian memecut kenderaannya dan mendekati wanita berbaju coklat itu lalu memintanya masuk ke dalam kereta dengan segera.
“Kak, Kak. Masuk, masuk ada orang ikut. Masuk cepat (ke dalam kereta). Cepat masuk ha.
“Tadi kita orang kena (diekori) dah,” kata wanita berkenaan.
Mendengar teguran itu, wanita berbaju coklat itu segera masuk ke dalam kenderaan. Dua wanita yang berada dalam kereta itu turut mendakwa awalnya mereka juga diekori oleh lelaki tersebut.
#Klang Berhati2 yang selalu keluar sorang malam2.. harap pemilik video ada buat laporan polis bagi mencegah.#kredit video owner pic.twitter.com/efZ40sTlc0
— #UpdateInfo🇲🇾🌍 (@update11111) August 21, 2024
Berjalan laju dan tak main telefon
Di ruangan komen, wanita berbaju coklat itu tampil menjelaskan pada waktu tersebut dia berjalan laju dan hanya memperlahankan perjalanannya ketika ingin memasuki kereta.
Jelas wanita dikenali sebagai Putri Nurain Farradeana, dia tidak bermain telefon bimbit seperti yang didakwa segelintir individu yang menonton video tersebut.
Katanya lagi kepada BuzzKini, ketika insiden berlaku dia berseorangan dan ke pusat beli-belah itu untuk makan.
Sedar ada individu keluar dari celahan kereta
Ketika ditanya adakah dia menyedari dirinya diikuti lelaki terbabit, Putri mengatakan dia hanya sedar perkara itu selepas individu terbabit keluar dari celahan kereta yang diletakkan di kawasan berkenaan.
“Dari keluar pintu mall tu saya jalan laju dan memang pusing belakang setiap dua langkah… dan tak perasan pun ada orang.. tapi 10 meter sebelum sampai kereta saya ada perasan orang keluar dari celah-celah parkir tu.
“Lepas tu ada kereta datang dan suruh masuk cepat-cepat.. saya gelabahlah pastu terus masuk cepat-cepat dalam kereta saya (Putri),” kata Putri.
Menurut Putri lagi, selepas dimaklumkan oleh wanita berkenaan dia tidak dapat memandu dan mengigil.
Tambahnya, dia ada terlihat lelaki terbabit menyorok semula di bahagian celahan kenderaan di kawasan berkenaan.