Tular CCTV Kes Kanak-Kanak ‘Sangkut’ 9 Jam Dalam Lif, Wanita Dakwa Selit Selipar Celah Pintu Punca Lif Terhenti
Wanita tersebut berkata tindakan itu menyebabkan sistem ‘auto lock’ diaktifkan dan lif berhenti.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Semalam (20 Ogos), media melaporkan insiden dua kanak-kanak lelaki yang ditemui terperangkap di dalam lif selama lebih sembilan jam di Desa Petaling, Kuala Lumpur.
Sebelum itu polis telah menerima dua laporan berhubung kehilangan kedua-dua mangsa yang keluar sekitar jam 2 petang 19 Ogos untuk membeli pau.
Insiden ini menyebabkan ramai tertanya-tanya mengapakah pihak pengurusan bangunan tersebut tidak menyedari terdapat kanak-kanak yang terperangkap dalam lif itu.
Baca Artikel Berkaitan: Disangkakan Hilang, Dua Budak Lelaki Rupanya Terperangkap 9 Jam Dalam Lif
Kanak-Kanak Selit Selipar Jadi Punca
Terbaharu, seorang pengguna Facebook, Gee Seri, berkongsi rakaman CCTV yang menunjukkan kedua-dua mangsa masuk ke dalam lif sebelum terperangkap.
Dia mendakwa bahawa lif yang berada di blok 59 sebuah kondo di Desa Petaling itu pada mulanya berfungsi dengan baik tanpa sebarang kerosakan.
Namun, rakaman CCTV yang dikongsikannya menunjukkan salah seorang kanak-kanak telah menyelitkan selipar di celah pintu lif.
Sistem ‘Auto Lock’ Diaktifkan Apabila Objek Diletak Di Antara Pintu Lif
Gee berkata tindakan kanak-kanak meletakkan selipar yang dipakainya di antara pintu lif yang sedang tertutup menyebabkan sistem ‘auto lock’ diaktifkan dan lif berhenti.
Melihat kepada rakaman tersebut, kedua-dua kanak-kanak telah memasuki lif sekitar jam 2.14pm dari tingkat 9.
Kanak-kanak berbaju hitam terus menekan butang G, namun tidak lama kemudian menekan butang ke tingkat 7.
Apabila lif berhenti dan pintu terbuka, dia meletakkan kasut di antara pintu lif sebelum butang tutup pintu ditekan oleh rakannya.
Lif Berhenti Tiba-Tiba Di Tingkat 4
Lif kemudiannya turun seperti biasa sebelum terhenti di tingkat 4 secara tiba-tiba sewaktu selipar tersebut ditarik dari celahan pintu. Keadaan ini menyebabkan kedua-dua mangsa terjatuh.
Mereka kemudiannya cuba untuk menekan butang lif berkali-kali namun ia tidak lagi berfungsi, menyebabkan kedua-dua mangsa terperangkap di dalamnya.
Untuk info, kedua-dua kanak-kanak itu telah selamat keluar dari lif berkenaan sekitar jam 12.45 pagi semalam (20 Ogos) setelah lebih sembilan jam terperangkap.