“Dia Wanita Sempurna” – Lelaki Pilih Wanita Hidap Kanser Paru-Paru Tahap 4 Sebagai Isteri Raih Pujian [Video]
Apa yang menjadi perhatian adalah wanita yang bakal menjadi isteri lelaki itu tidak berada di lokasi pernikahan terbabit namun berada di atas katil Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Apabila bercakap mengenai yang tersayang, kebanyakan individu pasti akan melakukan apa sahaja asalkan orang yang disayangi bahagia.
Namun dalam zaman yang serba moden ini, amat susah bagi segelintir orang untuk menemui pasangan yang dapat menerima kekurangan diri.
Ini kerana ada segelintir individu yang sanggup meninggalkan pasangannya lebih-lebih lagi apabila seseorang itu menghidap penyakit kronik.
Lelaki Teruskan Pernikahan Dengan Cinta Hati
Berbeza pula dengan seorang lelaki ini yang sanggup meneruskan perkahwinan bersama wanita yang dicintainya walaupun bakal isterinya itu menghidap penyakit kronik.
Menerusi video yang dikongsikan semula di akaun TikTok drsyedaliffauzan, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Man sedang bersiap sedia untuk menjalani upacara akad nikah.
Apa yang menjadi perhatian adalah wanita yang bakal menjadi isterinya itu tidak berada di lokasi pernikahan terbabit. Sebaliknya, dia berada di atas katil Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Difahamkan, wanita yang dikenali sebagai Zura itu sedang menjalani rawatan kerana menghidapi penyakit kanser paru-paru tahap empat.
Upacara Akad Nikah Dijalankan Secara Maya
Melalui video yang dikongsikan oleh pengguna TikTok berkenaan, dapat dilihat sesi akad nikah dijalankan secara maya di sebuah rumah. Sesi tersebut turut dihadiri oleh saudara mara dipercayai daripada pihak lelaki.
Malah, pengantin perempuan turut hadir secara dalam talian dan hanya mampu terbaring di atas katil disebabkan keadaannya itu.
Apa yang lebih menyentuh perasaan adalah tindakan Man yang terus menghadirkan diri ke hospital dan menyarung cincin pernikahan di jari manis Zura.
Lelaki Anggap Bakal Isteri Wanita Sempurna
Memetik Harian Metro, Man atau nama sebenarnya Lokman Sumadi menjelaskan isterinya itu sudah cukup sempurna buat dirinya.
“Saya tak perlu cari pasangan yang sihat dan sempurna kerana manusia bukan selamanya sihat, tapi cukup isteri sentiasa ada dengan saya walaupun keadaannya begitu,” katanya.
Percepatkan Tarikh Perkahwinan
Jelas Man, majlis akad nikah antara dia dan Zura sepatutnya berlangsung pada 7 September lalu namun dipercepatkan kepada 18 Ogos setelah wanita itu dimasukkan ke HKL.
“Keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan keluarga kedua belah pihak dan niat saya adalah menghalalkan isteri supaya lebih mudah untuk menjaganya.
“Isteri tanya saya betul atau tidak untuk teruskan (majlis) kerana awalnya, dia tak bagi teruskan kerana menganggap dirinya tak mampu beri saya kebahagiaan dalam keadaannya yang begitu.
“Tapi saya nekad juga teruskan (perkahwinan) kerana bagi saya, dia (isteri) wanita sempurna dan kalau boleh nak jaga dia sehingga akhir hayat saya,” jelasnya.
Isteri Mula Sakit Selepas Dua Bulan Perkenalan
Man yang mempunyai dua orang anak hasil daripada perkahwinan terdahulu mendedahkan dia sebenarnya telah mengenali isterinya itu sejak zaman sekolah kerana tinggal berdekatan.
Walau bagaimanapun, dia mulai rapat dengan wanita itu sejak November yang lalu.
“Memang kenal sebab isteri tinggal di kampung sebelah tapi setakat itu sahaja, hingga ditakdirkan kami berkawan dan dan kenal lebih rapat.
“Awalnya memang tak tahu isteri sakit kerana dia hanya disahkan menghidap barah pada 18 Januari lalu iaitu dua bulan selepas kami berkawan.
“Oleh kerana perasaan sayang sudah ada, membuatkan saya terus setia dengannya walaupun keadaannya makin teruk. Lagipun, saya percaya pesakit barah perlukan semangat.
“Jadi saya akan baginya sokongan dan kasih sayang untuk terus kuat walaupun doktor pernah beritahu jangka hayatnya tiga bulan saja,” ujarnya.
Pengguna Media Sosial Beri Reaksi Positif, Ramai Doakan Kebahagiaan
Video yang telah mendapat lebih 444 ribu tontonan itu nyata menarik perhatian pengguna TikTok. Rata-rata daripada mereka memuji tindakan Man yang tetap memilih Zura sebagai isteri walaupun mengetahui keadaan sebenar wanita itu.
Ini kerana kebanyakan daripada mereka menganggap wanita itu bertuah dan tidak menyangka masih wujud lagi lelaki sedemikian rupa.
Tidak kurang juga ada yang mendoakan kebahagiaan dan kebaikan buat kedua-dua mempelai itu.
Berikut merupakan komen pengguna media sosial:
“Wujud Lagi Ye Lelaki Macam Ni, Semoga Cepat Sembuh Puan Zura, Semoga Allah Angkat Segala Kesakitan Awak”
“Allahuakbar, Rupanya Masih Ada Lelaki Seperti Ini”
“Alhamdulillah, Bertuahnya Puan Zura, Semoga Puan Zura Kuat Melawan Kanser”
Baca Artikel Berkaitan: Kerana Cinta, Lelaki Sanggup Derma Buah Pinggang Buat Isteri Tersayang
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Nekad Kahwini Semula Bekas Isteri Lepas Tahu Wanita Itu Sakit Tenat