Ramai Kagum Lihat Kanak-Kanak Cuba Sorok Rasa Sedih Depan Ibu Selepas Dimarahi Guru [Video]
Menerusi video berasingan, wanita itu mendedahkan guru anaknya ada memohon maaf dan rasa bersalah atas apa yang telah dilakukan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Selain ibu bapa, guru merupakan figura penting dalam mengajar dan mendidik individu menjadi insan yang berjaya di masa hadapan.
Setiap pendidik mempunyai pendekatan yang berbeza dalam memastikan anak muridnya berjaya mencapai kejayaan yang diimpikan.
Ada yang menggunakan cara lembut ada juga yang menggunakan cara tegas. Tidak kisahlah cara apapun, yang pasti tiada guru yang mahu melihat anak muridnya gagal.
Tahan Nangis Walau Ditanya Ibu
Begitu juga yang dilalui oleh seorang kanak-kanak perempuan apabila dia dimarahi oleh guru kerana belum mahir membaca.
Namun, sikapnya yang tenang dan cuba menyorokkan rasa sedih di hadapan ibunya sendiri selepas dimarahi guru menjadi perhatian netizen.
Menerusi video yang dikongsikan oleh ibu kanak-kanak tersebut di akaun TikTok @june_erniey, dia berkongsikan momen di saat anak perempuannya itu mula mengalirkan air mata selepas ditanya mengenai keadaan persekolahan pada hari itu.
Jelas wanita berkenaan, dia dapat merasakan anak perempuan yang dikenali sebagai Hayla itu berada dalam kesedihan selepas melihat kanak-kanak berkenaan seolah-olah baru lepas menangis ketika masuk ke dalam kereta.
“Dari jauh ibu boleh detect yang adik tengah bersedih. Allah yang hadirkan firasat seorang ibu itu lagi-lagi yang memang jaga anak-anak sendiri,” tulis wanita berkenaan di video.
Menyedari sesuatu telah berlaku terhadap anaknya, dia terus bertanyakan tentang keadaan anaknya pada ketika itu.
“Kenapa? Awak okay? Selsema ke? Demam ke? Ada apa-apa nak cakap dengan ibu?” tanyanya kepada Hayla.
Namun, kanak-kanak itu dilihat masih tetap berlakon seperti tiada apa yang berlaku.
Kanak-Kanak Terus Menangis Selepas Ditanya Ibu Berkali-Kali
Walau bagaimanapun, setelah diasak dengan soalan, kanak-kanak kecil tersebut akhirnya mengalirkan air mata dan menceritakan sedikit demi sedikit tentang apa yang berlaku disekolah.
Rupa-rupanya, dia sedih dimarahi dan ‘didenda’ oleh guru kerana tidak dapat membaca dengan baik.
Tidak Mudah Melatah, Cuba Fahamkan Anak Tentang Pengorbanan Guru
Selain daripada sikap kanak-kanak itu yang cuba menyorokkan rasa sedih terhadap ibunya, sikap wanita berkenaan turut menarik perhatian ramai.
Ini kerana selepas anak perempuannya meluahkan apa yang berlaku, dia dilihat kekal tenang dan menasihati kanak-kanak comel itu tentang sebab guru bertindak demikian.
“Nanti ibu tanya cikgu apa sebab. Kalau betul memang salah adik, cikgu bagi arahan adik tak ikut, ibu tak boleh nak salahkan cikgu.
“Adik, hentikan. Adik kena kuat semangat, rasa diri tu macam aku nak berjaya. Setiap kali cikgu nak betulkan kesalahan, jangan rasa sedih tapi rasa happy.
“Cikgu dah tak ajar esok, siapa yang nak betulkan kesalahan kita?
“Nak nangis boleh tapi biar berpada-pada. Biar kena pada tempat nak nangis sebab apa. Kalau sebab cikgu nak ajar, nak bagi ilmu dekat adik, kuatkan semangat,” kata wanita itu kepada anaknya.
Pengguna Media Sosial Beri Pelbagai Reaksi
Video yang telah mendapat tontonan lebih 5.6 juta itu nyata menarik perhatian ramai. Rata-rata pengguna TikTok kagum melihat sikap si kecil yang cuba menyorokkan kesedihan dari ibunya.
Ada juga yang turut berkongsikan kisah berhadapan dengan situasi yang sama apabila anak mereka dimarahi guru kerana tidak dapat membaca.
Namun, tidak kurang juga yang menyarankan agar wanita tersebut cuba membeli buku yang boleh digunakan untuk mengajar anaknya itu mahir membaca.
Ibu Dedah Guru Dah Mohon Maaf
Menerusi video berasingan yang dikongsikan oleh wanita berkenaan, dia menjelaskan bahawa anak perempuannya yang baru sahaja memasuki prasekolah itu sebenarnya telah pandai membaca.
Namun, dia tidak menolak kemungkinan perwatakan dan suara anak keduanya itu yang lembut serta faktor lain seperti rasa takut menjadikan Hayla tidak dapat membaca dengan baik ketika diminta oleh guru berkenaan.
Pada masa yang sama, dia turut mendedahkan guru anaknya itu ada memohon maaf dan rasa bersalah atas apa yang telah dilakukan.
Berikut antara komen pengguna media sosial: