Tular Dakwaan Lipas Dalam Makanan Di Restoran Terkenal, KKM Akan Jalankan Siasatan
Menerusi video tersebut, pelanggan berkenaan turut menunjukkan seekor lipas yang dakwanya dijumpai dalam makanan itu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tidak kiralah perniagaan kecil atau besar, apabila ia membabitkan tentang pengurusan makanan mereka perlu menitikberatkan aspek kebersihan.
Ini kerana, kebersihan memainkan peranan penting memandangkan ia boleh mengakibatkan masalah kesihatan kepada pelanggan dan tidak mustahil membawa maut.
Malah mana-mana peniaga yang didapati bersalah serta tidak menjaga kebersihan juga boleh didenda oleh pihak berkuasa.
Tular video pelanggan jumpa lipas dalam makanan di restoran terkenal
Baru-baru ini, tular satu video memaparkan pelanggan menjumpai bendasing dalam makanan di sebuah restoran terkenal di pusat membeli-belah, Kuala Lumpur.
Menerusi video yang dimuat naik oleh seorang pengguna di X, seorang rakan lelakinya mendakwa terjumpa seekor lipas dalam hidangan makanan laut yang dipesannya di restoran berkenaan.
Pengurus mohon maaf dan tawar makanan baru
Kata individu tersebut, rakannya telah membuat laporan kepada pengurus restoran dan mereka menawarkan makanan baru serta memohon maaf berhubung perkara tersebut.
Namun jelasnya ia sesuatu yang tidak boleh diterima malah rakan lelakinya itu muntah selepas menemui serangga berkenaan di dalam makanannya.
Susulan daripada kejadian yang berlaku di restoran berkenaan, indivitu itu meminta pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melakukan pemeriksaan terhadap restoran berkenaan.
KKM maklum di X, bakal lakukan siasatan
Cakna dengan laporan yang diterima, KKM menerusi satu ciapan di X memaklumkan pihaknya akan melakukan siasatan berhubung isu tersebut.
“Siasatan dan tindakan sewajarnya akan menyusul. Terima kasih atas keprihatinan anda.”
Melihat di ruangan komen, video tersebut turut mengundang rasa geli orang ramai. Ramai berpendapat mungkin bahagian dapur restoran terbabit kotor sehingga lipas boleh berada dalam makanan.
Ada juga yang mendakwa sebelum ini, sudah ada laporan mengenai makanan basi di restoran cawangan itu.
Namun sejauh mana dakwaan tersebut tidaklah kami ketahui.