“Terima Kasih Lahirkan Saya” – Dr Akmal Saleh Dedikasi Pingat Datuk Diterima Kepada Ibu Bapanya [Video]
Menurut Dr Akmal, gelaran Datuk yang diterima itu bukan semata-mata untuk dirinya, tetapi disebabkan pengorbanan ibu bapa yang membesarkannya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Semalam (25 Ogos), Ketua Pemuda UMNO yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh telah dikurniakan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu bagaimanapun tidak melupakan jasa dan pengorbanan ibu bapa tercinta.
Dr Akmal dedikasi penganugerahan DMSM diterima kepada ibu bapanya
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya, Dr Akmal mendedikasikan penganugerahan itu buat kedua-dua orang tuanya.
Menurutnya, gelaran Datuk yang diterima itu bukan semata-mata untuk dirinya, tetapi lebih layak untuk ibu bapanya yang telah berkorban membesarkannya.
“Gelaran ini bukan milik saya. Saya nak beri kepada orang yang betul-betul layak menerimanya.
“Ini untuk ayah dan mak, terima kasih lahirkan orang (saya). Kalau tak ada ayah dan mak, tak adalah saya di dunia ini,” katanya.
Dalam video terbabit, kelihatan ibu dan bapanya gembira bercampur sebak melihat kejayaan anak mereka itu.
Menerusi satu lagi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, Dr Akmal turut berterima kasih kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Seri Setia Dr Haji Mohd Ali Mohd Rustam dan kerajaan negeri Melaka atas penganugerahan itu
Anggap anugerah berkenaan untuk semua warga Merlimau dan Pergerakan Pemuda UMNO
Meskipun merasakan dirinya masih belum layak menerima gelaran Datuk itu, beliau tetap menganggap anugerah berkenaan adalah untuk semua warga Merlimau dan pergerakan Pemuda UMNO.
“Walaupun saya merasakan diri ini masih lagi tidak layak atas anugerah yang diterima kerana banyak lagi kelemahan dan kurang jasa saya kepada negeri Melaka berbanding dengan orang lain
“Saya menganggap anugerah ini adalah untuk semua warga dun Merlimau dan pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, memindai ke ruangan komen di TikTok pula, rata-rata pengguna media sosial turut berasa sebak melihat video terbabit.
Mereka turut mengucapkan tahniah kepada Dr Akmal atas penganugerahan yang diterima itu kerana sumbangannya di negeri Melaka terutamanya di DUN Merlimau.