“Kalau Sebab Duit, Sangat Kecewa” – Wanita 34 Tahun Buntu Ibu Tak Izinkan Kahwin, Guna Alasan Tak Masuk Akal
Wanita itu menjelaskan dia tidak pernah culas memberi duit sebanyak RM1,000 hingga ke RM1,500 kepada ibunya,
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kebanyakan ibu bapa di dunia ini memasang impian untuk melihat anak yang tersayang mengakhiri zaman bujang.
Oleh sebab itu, majoriti daripada mereka akan mula ‘bising’ sekiranya anak mereka tidak menunjukkan tanda untuk mendirikan rumah tangga.
Malah, kaum ibu khususnya akan berusaha untuk mencari calon sesuai dijadikan pasangan hidup buat anak kesayangan mereka itu.
Wanita Kecewa Ibu Tak Restu Niat Untuk Berkahwin
Namun, berbeza pula dengan seorang wanita yang berusia 34 tahun ini apabila niat untuk mendirikan rumah tangga dihalang oleh ibunya sendiri.
Memetik mstar, perkara itu diluahkan oleh wanita berkenaan yang kecewa dengan tindakan ibunya itu.
“Apa yang perlu saya buat jika ibu menghalang saya untuk berkahwin? Ibu kata dia tak merestui jika saya ingin berkahwin,” tulisnya.
Ibu Pernah Kata Boleh Kahwin Lepas Adik Habis Belajar
Apa yang menjadi perhatian adalah ibunya turut melabelkan dia sebagai anak derhaka sekiranya tidak menurut apa yang dikatakan oleh emaknya itu.
Sedangkan sebelum ini, dia sentiasa menurut apa sahaja arahan kerana memikirkan terdapat adiknya yang masih belajar di universiti dan memerlukan bantuan kewangan.
“Empat tahun lepas mak dah pernah cakap, kalau nak kahwin, biar lepas habis adik bongsu kau di universiti. Sekarang dah habis, mak masih tak izin.
“Saya kerja di Kuala Lumpur, duduk asing dengan mak. Selama ini memang saya tak pernah culas bagi duit RM1,000 hingga RM1,500 pada mak, belanja adik di universiti.
“Kalau mak tak izin saya kahwin sebab duit, sangat kecewa. Selain duit, saya dah alihkan tinggalan pusaka arwah abang kandung saya kepada dua adik lelaki. Saya tak ambil bahagian itu,” tulisnya.
Guna Alasan Bimbang Anak Susah Bersalin
Malah, wanita berkenaan menjelaskan ibunya pernah memberikan alasan bimbang sekiranya dia berhadapan kesukaran melahirkan anak.
“Alasannya (tak bagi kahwin), anak kawan dia beranak susah, dia tak nak saya jadi macam tu, entahla sedih dibuatnya,” luahnya.
Buntu Fikir Jalan Penyelesaian
Dia yang mengakui sedang mengenali hati budi seseorang buntu dalam membuat keputusan di antara kemahuannya sendiri atau ketaatan kepada ibu.
“Apa yang saya perlu buat jika ibu menghalang saya untuk berkahwin? Apa tindakan dari segi undang-undang atau agama jika saya ingkar?
“Dalam masa sama, saya pun hendak berkahwin untuk masa depan. Dan saya tak nak jadi anak derhaka. Mohon pendapat yang baik,” katanya lagi.
Menerusi ruangan komen, pengguna media sosial meluahkan rasa simpati terhadap apa yang menimpa wanita berkenaan.
Ada juga yang berpendapat mungkin si ibu mempunyai alasan tersendiri mengapa dia tidak mahu membenarkan anaknya berkahwin antaranya seperti takut tersalah pilih suami.
Ibu Bapa Tidak Boleh Halang Anak Berkahwin
Untuk info, menurut pendakwah bebas Ustaz Azhar Idrus (UAI), ibu bapa tidak boleh menghalang anak daripada mendirikan rumah tangga.
“Kalau kamu seorang perempuan, ibu bapa tak bagi kahwin, tak boleh. Kamu boleh dapatkan kebenaran kahwin daripada Mahkamah Syariah.
“Kerana ibu bapa tidak boleh halang anak-anak kahwin kerana kahwin itu satu fitrah dan keperluan manusia.
“Cuma ibu bapa menganjurkan jangan berkahwin si fulan, kahwinlah dengan orang ini, dia boleh nasihat. Tapi kalau nak menghalang perkahwinan, tidak boleh. Kalau kita anak lelaki lebih lagilah,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Wanita Tergamak Sihir Menantu Hanya Kerana Tak Restu Perkahwinan [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Trend ‘Childfree Lifestyle’, Kahwin Tapi Taknak Anak Adalah Dakyah Dangkal – Dr Fadzilah Kamsah