“Tak Sayang Nyawa Ke?” – Ramai Geram Lihat Orang Ramai Selamba Mandi Ketika Kejadian Kepala Air [Video]
Lebih mengejutkan, kelihatan beberapa individu duduk di kawasan batu yang terletak betul-betul berhampiran kepala air berkenaan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sejak akhir-akhir ini, hujan lebat telah melanda beberapa kawasan di Malaysia khususnya beberapa negeri di bahagian semenanjung seperti Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan.
Cuaca sebegini jika berterusan berlaku boleh menyebabkan bencana lain seperti banjir kilat atau kejadian kepala air di kawasan rekreasi seperti air terjun.
Oleh sebab itu, orang ramai sering dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika berada di luar lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca tidak menentu ini.
Selamba Mandi Beramai-Ramai Di Air Terjun Ketika Kejadian Kepala Air
Namun, berbeza pula dengan beberapa individu yang dilihat selamba mandi air terjun walaupun pada ketika itu sedang berlakunya insiden kepala air.
Menerusi video yang dikongsikan semula di Facebook Jalan-Jalan Cuti Santai, kelihatan lebih daripada 10 orang individu termasuk kanak-kanak sedang mandi di Air Terjun Serendah Rawang, Selangor.
Apa yang menjadi perhatian adalah melalui video berkenaan dapat dilihat insiden kepala air sedang berlaku dan aliran air terjun berkenaan mengalir deras.
Malah, warna air di kawasan tersebut turut bertukar menjadi keruh serta terdapat beberapa ranting kayu dan daun turut mengalir di aliran air sungai tersebut.
Lebih mengejutkan, kelihatan beberapa lagi individu yang duduk di kawasan batu betul-betul berhampiran kepala air berkenaan.
Namun sehingga ke akhir video itu dimainkan, tiada tanda ke semua mereka keluar daripada air terjun tersebut dan masih kekal mandi walaupun persekitaran berada dalam keadaan merbahaya.
Pengguna Media Sosial Geram, Ada Yang Hairan Dengan Sikap Individu
Video tersebut nyata menarik perhatian pengguna media sosial yang melihat. Rata-rata daripada mereka mengecam dan meluahkan rasa risau dengan tindakan pengunjung air terjun terbabit yang dilihat selamba bermandi-manda walaupun keadaan pada ketika itu merbahaya.
Malah, ada di antara mereka yang turut mengecam perbuatan beberapa individu berkenaan yang dianggap boleh membahayakan nyawa dan menyusahkan orang lain.
Kejadian Kepala Air di Air Terjun Serendah, Rawang. https://tinyurl.com/AirTerjunSerendah Kalau ada tanda2 air sungai menjadi keroh dengan tiba-tiba, itu tanda ada Kepala air. Hati2 musim Hujan ni bahaya. Elakkan pergi ke kawasan Air terjun buat sementara.
Posted by Jalan-Jalan Cuti Santai on Sunday 25 August 2024
Tips Kesan Kehadiran Kepala Air
Sekadar info, sebagai langkah berjaga-jaga, anda boleh mengesan kehadiran kepala air dengan cara seperti berikut:
- Langit di hulu sungai dalam keadaan gelap dan diikuti dengan bunyi guruh
- Kawasan mengalami cuaca hujan lebat berterusan
- Air sungai bertukar warna menjadi keruh dan berbuih
- Banyak daun kering dan ranting kayu pada permukaan sungai
Berikut antara komen pengguna Facebook:
“Huisyh, Rileks Lagi Diorang Mandi, Aku Yang Seram”
“Masih Dok Seronok Lagi, Air Dah Semakin Laju, Kejap Lagi Pakat Cari Mayat Pula”
“Allah, Kita Yang Tengok Ni Risau, Tak Sayang Nyawa Ke Semua”
“Tak Sayang Nyawa Atau Tak De Pengetahuan Tentang Bencana Alam?”
Baca Artikel Berkaitan: Kejadian Kepala Air Di Lata Iskandar Cetus Kerisauan Ramai [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Elak Anda & Keluarga Jadi Mangsa, Ini 5 Tips Untuk Kesan Kehadiran Kepala Air Ketika Berada Di Sungai
Baca Artikel Berkaitan: Hujan Lebat Punca Kejadian Kepala Air Di Lata Iskandar – Bomba