“Sebelum Viral, Nak Dapat RM10 Sehari Pun Susah” – Tukang Kasut Kongsi Perjalanan Hidup Sebelum Kisahnya Tular
Terdahulu, kisah Pakcik Ujang mula tular apabila seorang lelaki memuat naik satu hantaran di Facebook bagi mempromosikan perkhidmatan servis membaiki kasut miliknya di Ampang.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Harus diakui, wang memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian. Oleh sebab itu, semua manusia di dunia ini bekerja bagi mendapatkan duit untuk menampung kehidupan.
Buat mereka yang bekerja tetap, gaji bulanan yang diterima mungkin tidak menjadi satu masalah kerana ia akan dibayar pada tarikh tertentu.
Namun, berbeza pula dengan mereka yang bekerja sendiri lebih-lebih lagi peniaga kecil, hasil perniagaan itulah yang menjadi sumber pendapatan mereka.
Jika perniagaan berjalan dengan baik, maka banyaklah untungnya pada hari itu. Jika tidak, sebaliknya pula berlaku.
Poket Pernah Kosong Berminggu, Nak Dapat RM10 Pun Susah
Begitulah kisah seorang tukang kasut yang dikenali sebagai Pakcik Ujang atau nama sebenarnya Ujang Samsudin.
Pakcik Ujang sebelum ini mula dikenali ramai selepas kisahnya tular atas bantuan seorang lelaki, Jimmy Goh yang simpati dengannya ketika dia menjalankan perniagaan sebagai tukang kasut di hadapan Maybank, Bandar Baru Ampang.
Mengimbau kembali zaman kesusahan sebelum dia menjadi tular di media sosial, Pakcik Ujang menjelaskan dia pernah tidak mendapat pendapatan bagi tempoh yang lama.
“Sebelum viral ni, pendek kata nak cari duit makan pun tak dapat, kadang poket kosong berminggu, nak dapat RM10 sehari pun susah,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian.
Sanggup Ikut Harga Pelanggan
Malah, demi menjana pendapatan, Pakcik Ujang sanggup mengikut harga yang ditawarkan oleh pelanggannya walaupun sebelum itu harga yang ditetapkan lebih tinggi.
“Kalau pelanggan pernah buat di tempat lain dan rasa harga saya mahal, saya boleh ikut harga mereka.
“Contohnya, kalau di sana RM20 tapi harga saya RM25, saya boleh ikut harga RM20. Janji dapat duit sikit, cukup untuk makan dan bayar sewa,” katanya yang membayar sewa bilik RM380 sebulan.
Rupanya Dah Ada Kemahiran Baiki Kasut Sejak Zaman Muda
Warga emas yang berusia 63 tahun itu mendedahkan dia sebenarnya telah menjalankan pekerjaan tersebut sejak tahun 1983 di Chow Kit.
Namun, atas ajakan kawan-kawan dan keinginan untuk mencuba benda baru menyebabkan dia meninggalkan pekerjaannya itu.
“Dulu bujang, kawan ajak kerja tu kerja ni, kita buatlah sebab masih ada tenagakan.
“Suka-suka kerja dengan kawan, cari pengalaman, jumpa orang baru sana sini sebab bujang dan belum kahwin, jadi saya tinggalkan kerja baiki kasut,” katanya.
Walau bagaimanapun, dia kembali menjadi tukang kasut pada tahun 2019 di beberapa lokasi seperti Batang Kali, Johor Bahru, Shah Alam sebelum berpindah ke Bandar Baru Ampang bagi mencari rezeki.
Mula Tular Kerana Bantuan Seorang Lelaki
Pun begitu, dia menjelaskan kehidupan di Bandar Baru Ampang bukanlah mudah. Dia menghadapi kesukaran mendapatkan pelanggan sepanjang tempoh tiga bulan di situ.
Semua itu mula berubah selepas dia bertemu dengan Jimmy Goh.
“Ada satu masa tu saya bersandar dekat dinding sekejap masa tengah baiki kasut. Ada lelaki berbangsa Cina (Jimmy) lalu tegur ‘you sakit ke’, tapi saya cuma kata tak ada customer,” jelasnya.
Simpati dengan nasib yang menimpa, Jimmy Geoh mula mengiklankan perkhidmatan Pakcik Ujang menerusi Facebook.
Tindakan lelaki itu akhirnya membuahkan hasil apabila kehidupan Pakcik Ujang mula berubah apabila ramai yang datang kepadanya untuk membaiki kasut.
Selain kasut, Pakcik Ujang juga turut menyediakan perkhidmatan membaiki beg dan tali pinggang.
Buat Sehabis Baik Untuk Pelanggan
Pada masa yang sama, Pakcik Ujang menjelaskan dia akan membuat sehabis baik dalam memberi perkhidmatan tersebut.
“Insya-Allah sesusah mana pun masalah kasut tu kita akan cuba selesaikan, tak kisahlah koyak teruk atau permasalahannya berat sangat, kita akan cuba baiki.
“Bukan nak kata kita boleh selesaikan semua masalah atau sombong, tapi cuba penuhi permintaan pelanggan.
“Cuma hasilnya tak sama macam yang barulah, kita cuba baiki sebaik mungkin,” katanya lagi.
Terdahulu, kisah Pakcik Ujang mula tular apabila seorang lelaki memuat naik satu hantaran di Facebook.
Pengguna yang dikenali sebagai Jimmy Goh itu memuat naik mengenai perkhidmatan Pakcik Ujang di kumpulan 班丹区 Pandan Perdana / Pandan Indah / Pandan Jaya / Taman Shamelin.
Menurut lelaki berkenaan, dia kasihan dan sedih melihat warga emas itu yang setia menanti pelanggan yang tidak kunjung tiba.
Oleh kerana itu, dia mengambil inisiatif merakam gambar Pakcik Ujang bagi mempromosi perkhidmatan servis baiki kasut yang dibuat olehnya.
Terima kasih Jimmy kerana membantu mengiklankan perkhidmatan Pakcik Ujang. Semoga ramai lagi rakyat Malaysia yang berkeperibadian seperti anda.
Baca Artikel Berkaitan: Kerana Desakan Hidup, Wanita Berpantang & Tinggal Dalam Kereta Bersama Bayi Serta Seorang Lagi Anak
Baca Artikel Berkaitan: Lalui Hidup Sukar Selepas Kematian Suami, Ibu Tunggal Diminta Keluar Selepas 10 Bulan Tak Bayar Sewa