fbpx
Now Reading
Insiden Tayar Lori Tercabut: Mangsa Rupanya Menuju Ke Surau, Mahu Bentang Sejadah Untuk Solat Jumaat

Insiden Tayar Lori Tercabut: Mangsa Rupanya Menuju Ke Surau, Mahu Bentang Sejadah Untuk Solat Jumaat

Penunggang motosikal yang dikenali sebagai Kapiau Saini bagaimanapun selamat, hanya mengalami luka di lengan, kepala, bahu serta lutut dan dirawat selama tiga hari di hospital.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada 24 Ogos yang lalu, tular di media sosial rakaman video kamera papan pemuka (dashcam) kemalangan jalan raya membabitkan seorang penunggang motosikal dan tayar lori di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur berhampiran susur masuk Taman Seputih.

Dalam insiden yang berlaku pada 23 Ogos kira-kira 11.45 pagi itu, sebiji tayar lori secara tiba-tiba datang dari bahagian kiri jalan hingga terkena penunggang motosikal berkenaan sebelum ia turut mengenai kenderaan pemilik dashcam itu.

Rakaman video tersebut menjadi perhatian ramai pengguna media sosial kerana cara tayar lori itu melanggar penunggang motosikal dilihat ngeri dan boleh mengorbankan nyawa.

Ni dashcam kereta aku. Ada business card nama aku atas dashboard kereta. Semalam tengahari benda ni jadi dekat aku….

Posted by Mohd Zulhelmie on Friday 23 August 2024

Rupanya Mahu Pergi Surau, Bentang Sejadah Untuk Solat Jumaat

Siapa sangka, melihat keadaan kemalangan tersebut, penunggang motosikal itu sebenarnya terselamat dan hanya mengalami kecederaan yang tidak serius.

Memetik mStar, mangsa yang dikenali sebagai Kapiau Saini menjelaskan dia sebenarnya dalam perjalanan pulang selepas menghantar anak ke sekolah pada jam 11.30 pagi.

“Selepas hantar anak, saya nak ke surau untuk bentang sejadah dan buat kerja-kerja lain sebagai persediaan solat jumaat.

“Ketika di tempat kejadian, saya ternampak sebiji tayar bergolek tapi tak tahu ia dari mana namun begitu laju menuju ke arah saya. Tapi saya tak boleh buat apa-apa sebab terlalu pantas dan dah dekat sangat.

“Tayar tu hentam handle dan tayar depan motor dan saya terus hilang kawalan lalu jatuh di tengah jalan,” katanya.

Bersyukur Kerana Terselamat Dari Insiden Ngeri

Kapiau yang bekerja sebagai penjual nasi lemak dan bilal Surau Al-Hijrah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria menzahirkan rasa syukur kerana terselamat daripada kemalangan ngeri itu.

Jelasnya, dia segera bangun dan berlari ke tepi jalan bagi menyelamatkan diri.

“Dalam keadaan masih terkejut, bibir saya bagaimanapun tidak henti-henti mengucapkan Alhamdulillah kerana terselamat, semuanya kerana kuasa Allah.

“Beberapa pengguna jalan raya berhenti untuk hulurkan bantuan. Rupanya ada kenalan anak saya juga, dia yang hubungi anak saya untuk maklumkan mengenai kemalangan sebab handphone saya rosak.

“Saya sekali lagi bersyukur urusan saya dipermudahkan. Kemudian saya dihantar ke hospital menaiki ambulans,” katanya lagi.

Dia yang berusia 55 tahun hanya mengalami luka di lengan, kepala, bahu serta lutut dan dirawat selama tiga hari di hospital.

Masih Trauma Walaupun Seminggu Telah Berlaku

Walaupun telah seminggu kejadian itu berlaku, Kapiau yang mempunyai enam cahaya mata mengakui masih trauma khususnya setiap kali dia melihat semula rakaman video berkenaan.

“Masih terbayang-bayang lagi kejadian itu. Apabila tengok video, rasa tak percaya saya terselamat. Tapi saya yakin asbab doa orang ramailah saya masih ada hari ini.

“Buat masa ini, saya berehat dahulu daripada kerja part-time iaitu bawa van sekolah. Isteri dan anak-anak pun nasihat suruh berehat dulu.

“Saya berharap agar pihak tertentu, yang bawa kenderaan berat khususnya agar jangan ambil ringan bab keselamatan kenderaan mereka.

“Bukan apa, jika jadi macam ini, kereta orang rosak satu hal, lagi bahaya jika melibatkan kemalangan nyawa,” ujarnya lagi.

Baca Artikel Berkaitan: Jururawat Hampir Maut, Tayar Lori Tercabut Hentam Kereta Honda City [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Remaja Di Terengganu Maut Terkena Tayar Treler Terpelanting Ketika Jual Air Buah

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.