Kecoh Meja Di Pantai Tanjung Aru Sabah Dikenakan Caj, Ini Respon Pihak Pengurusan
Menerusi video tular, dapat dilihat beberapa buah meja di port popular sunset itu dicaj pada kadar yang berbeza bermula RM15 hingga RM20 mengikut saiz.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pantai merupakan antara tempat yang sering menjadi tumpuan pelancong. Selain daripada menjadi lokasi orang ramai untuk berkelah atau mandi manda, ia juga menjadi pilihan individu melihat keindahan alam seperti matahari terbenam.
Bagi sesetengah kawasan pantai, ada disediakan kemudahan seperti kerusi dan meja secara percuma buat pengunjung.
Meja Dicaj Sekitar Harga RM15 Ke RM20
Namun, semalam (29 Ogos) kecoh pula dengan situasi di kawasan pantai Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah apabila pengunjung perlu membayar jika mahu duduk di meja atau kerusi yang disediakan.
Menerusi video yang dikongsikan di akaun TikTok @murmur_travel_n_tour, kelihatan beberapa meja mengandungi kod dan harga sewaan buat pengunjung yang mahu menggunakannya.
Ini pasti menjadi tumpuan kerana Pantai Tanjung Aru terkenal dengan keindahan pemandangan matahari terbenam atau sunset sehingga menjadi port orang ramai.
Melalui video yang dikongsikan, dapat dilihat beberapa buah meja dicaj pada kadar yang berbeza bermula RM15 hingga RM20 mengikut saiz.
Namun, apa yang lebih menjadi perhatian adalah beberapa orang pengunjung sanggup duduk di atas tembok berhampiran meja tersebut daripada memilih untuk duduk di situ.
“No komen. Nak tengok sunsetkan. Kena la berkorban sikit,” tulis pemilik video itu.
Harga Naik Sekali Ganda Berbanding Tahun Lepas
Berdasarkan komen pengguna media sosial yang pernah berkunjung ke situ, kemudahan meja itu bukanlah harta benda awam sebaliknya ia merupakan milik individu perseorangan.
Malah, difahamkan, kawasan meja berkenaan juga merupakan tapak persendirian.
Dakwa pengguna media sosial, harga sewaan meja tersebut telah naik sekali ganda berbanding harga yang ditetapkan pada tahun lepas iaitu pada kadar RM10.
Dibenarkan Buat Perniagaan Sedemikian, Pengunjung Ada Pilihan Untuk Tidak Membayar
Terbaharu, syarikat pengurusan pantai tersebut, Tanjung Aru Eco Development Sdn Bhd (TAED) menjelaskan perkhidmatan caj meja yang dikenakan buat pengunjung di pantai tersebut adalah operasi perniagaan yang dibenarkan.
Namun, pelanggan mempunyai pilihan untuk tidak membayar caj tersebut dengan memilih ruang lain.
Difahamkan, perkhidmatan sewa meja itu dijalankan oleh pihak ketiga yang membayar yuran bulanan kepada TAED.
Bayaran Guna Untuk Kos Penyelenggaraan & Kebersihan
Menurut Pengurus Besar TAED Datuk Jake Jikulin Nointin, caj yang dikenakan bertujuan bagi menampung kos penyelenggaran dan kebersihan kawasan pantai tersebut.
“Sebelum ini, pantai itu menghadapi masalah sampah daripada pengunjung. Yuran itu membantu untuk memastikan kawasan pantai kekal bersih untuk semua,” katanya yang dipetik daripada The Star.
Terdahulu, isu meja dikenakan caj kepada pengunjung turut menjadi perhatian Pengerusi Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah, David Chan.
Menurutnya, tindakan mengenakan caj meja kepada pengunjung untuk tempat duduk bagi melihat matahari terbenam adalah tidak wajar.
Ini kerana perbuatan tersebut dianggap mengambil kesempatan terhadap mereka yang berkunjung ke pantai tersebut.
Berikut antara komen pengguna media sosial:
“Melampau Juga Harga, Boleh Makan Ke Meja Tu”
“Kami Datang Jauh-Jauh Semata-Mata Nak tengok Sunset, Sekali Datang Meja Tu Kena Bayar”
Baca Artikel Berkaitan: Ramai Tak Setuju Tindakan Peniaga Makanan Bolot Tempat Parkir Awam, Siap Letak Meja & Kerusi Halang Kereta
Baca Artikel Berkaitan: “Order Dulu” – Wanita Kecewa Restoran Minta Buat Pesanan Melalui QR Tapi Kedekut WiFi