“Sangat Berunsur Ketuhanan” – Guru Bahasa Arab Terjemah Lagu Rindu Padamu Nyanyian Yasin [Video]
Jelasnya guru berkenaan, jika di dalam bahasa Arab harfiah, nafsi bermaksud ‘jiwaku’, manakala fuadi pula bermaksud ‘sanubariku’,
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kebelakangan ini, lagu-lagu nyanyian penyanyi Yasin Sulaiman kerap dimainkan di media sosial terutamanya di TikTok kerana bersimpati dengan nasib yang dilaluinya.
Hal ini selepas penyanyi berusia 48 tahun itu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan dadah dihadapinya pada dua tahun lalu.
Baca Artikel Berkaitan: Yasin Dijatuhi Hukuman Penjara Seumur Hidup & 16 Sebatan, Terus Dibawa Ke Penjara Kajang
Antara lagu yang banyak digunakan oleh orang ramai di TikTok adalah lagu ‘Rindu Padamu’ kerana melodinya yang menangkap jiwa selain dicampur dengan penggunaan bahasa Arab.
Guru bahasa arab terjemah lirik lagu ‘Rindu Padamu’
Terbaharu, seorang lelaki yang juga guru bahasa Arab dikenali sebagai Umar Shafie tampil menterjemahkan lirik di dalam lagu itu.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya, Umar melakukan perkara itu setelah diminta oleh seorang pengikutnya di aplikasi terbabit.
Berikut petikan lirik lagu tersebut:
- Adu’ ila Rahmani
- Arju an la tinsani
- Fi kullil awqati nafsi wa fuadi
- Laka ya Maliki
Menurut Umar, baris pertama (adu’ila Rahmani) adalah, ‘aku memohon kepada Tuhan yang Maha Pengasih’, manakala baris kedua (arju an la tinsani) pula bermaksud, ‘daku berharap Kau tidak melupaiku’.
Katanya, baris ketiga pula (Fi kullil awqati nafsi wa fuadi) bermaksud ‘pada setiap waktu seluruh jiwa dan ragaku’ dan baris terakhir (laka ya Maliki) bererti ‘Tuhan yang Maha Berkuasa/ Tuhan yang memiliki segala-galanya’.
Jelasnya lagi, jika di dalam bahasa Arab harfiah, nafsi bermaksud ‘jiwaku’, manakala fuadi pula bermaksud ‘sanubariku’,
Mohon orang ramai doakan yang terbaik buat Yasin Sulaiman
Di akhir perkongsian, Umar turut meminta orang ramai agar mendoakan yang terbaik buat Yasin yang kini sedang menjalani hukumannya di Penjara Kajang.
“Lagu ini sangat berunsur ketuhanan yang hebat lah, sama-sama kita doakan yang terbaik untuk saudara Yasin, insya-Allah,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial berpendapat bahawa lagu ‘Rindu Padamu’ ini mempunyai makna yang sangat mendalam.
Tidak hanya itu, kebanyakan orang juga berasa sebak mengenangkan nasib yang harus dilalui oleh Yasin ketika ini selain mendoakan agar dia berada dalam keadaan yang baik serta sihat sejahtera.