Lelaki Makan 8 Kg ‘Salted Butter Chicken’ Di Restoran Jibril Raih Perhatian [Video]
Menerusi video tersebut, Zermatt memaklumkan nasi yang berada dalam pinggannya itu seberat 4 kg.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tak dinafikan menu hidangan berasaskan ayam sering kali menjadi pilihan ramai khususnya apabila ia telah divariasikan menjadi satu makanan yang boleh diterima ramai.
Antara menu yang dipelbagaikan dan menjadi terkenal sejak beberapa tahun lalu adalah ayam yang di masak dengan mentega, daun kari bersama susu atau lebih dikenali sebagai Butter Milk Chicken.
Tidak kurang juga ada yang meletakkan telur masin bahagian kuning untuk menambahkan lagi rasa lemak kepada menu tersebut.
Lelaki makan 8 kg hidangan Ayam Butter Milk
Baru-baru ini, seorang lelaki dipercayai dari Singapura telah berkunjung ke sebuah restoran yang terkenal dengan menu Buttermilk Chicken iaitu Jibril di SS15, Subang Jaya, Selangor untuk merasai hidangan berkenaan.
Menerusi video yang dikongsikan oleh Zermatt Neo, dia telah memesan satu pinggan besar ayam masak mentega bersama dengan udang dan juga lobster.
Namun apa yang lebih menarik perhatian, ia bukanlah satu hidangan kecil sebaliknya boleh dimakan sekitar empat ke lima orang.
Malah Zermatt mengatakan nasi yang berada dalam pinggan itu sahaja sudah seberat 4 kilogram (kg). Apabila hidangan itu sampai di atas meja, dia kemudian mula dengan memakan ayam terlebih dahulu.
Puji makanan sangat sedap
Sebaik merasainya kelihatan dia seperti menganggumi masakan tersebut dan mengakui ia sedap. Malah di pertengahan rakaman tersebut Zermatt memuji masakan itu sangat sedap selepas merasai ayam dan juga udang.
Apa yang lebih mengejutkan, Zermatt mampu menghabiskan hidangan besar tersebut sendirian dan makanan itu licin serta tiada sedikit pun makanan yang dibazirkan.
“8 kg cabaran makan ‘Salted Butter Chicken’ di Jibril SS15. Malaysia! Ini adalah cabaran makan makanan yang paling berkrim yang pernah saya lakukan.
“Dua suapan awal ia sangat sedap namun tekstur berlemak membuatkan saya seperti dilanggar tembok (mungkin sukar untuk menghabiskannya),” tulisnya di ruangan kapsyen.
Ramai teruja lihat Zermatt mampu habiskan hidangan besar
Melihat di ruangan komen, ramai yang turut bertanya ketika menikmati hidangan yang besar itu adakah Zermatt tidak berasa muak atau jelak untuk menghabiskannya.
Malah ada juga yang pelik bagaimana Zermatt mampu menikmati satu hidangan besar dalam satu masa.
Tidak kurang juga ada yang mengatakan mereka berasa kenyang sebaik melihat video Zermatt.
Dalam video lain yang dimuat naik, Zermatt turut ada berkongsi beberapa lagi cabaran lain dilakukannya seperti memakan lebih 6kg piza, 7kg pasta dan banyak lagi.