Pelancong China Terkejut, iPhone 15 Pro Hilang Di Malaysia Tapi Jumpa Di Negara Asal
Pada 4 Ogos, Zeng telah menyedari telefon bimbitnya yang hilang itu sudah berada di Wenzhou, China sebelum dia pulang ke tempat berkenaan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Siapa yang tidak takut apabila kehilangan telefon bimbit. Jika dahulu ia hanya menyimpan mesej pendek dan nombor kenalan, kini telefon pintar itu berfungsi sebagai kamera, menyimpan maklumat peribadi, dan dokumen penting.
Keadaan akan menjadi lebih cemas sekiranya barangan peribadi itu hilang ketika anda sedang berada di luar negara. Pasti ia lebih menyukarkan selain membuatkan anda buntu untuk mencarinya.
Pelancong dari China hilang telefon bimbit
Perkara sama turut berlaku kepada seorang pelancong dari Wenzhou, China ini apabila telefon bimbit jenis iPhone 15 Pro miliknya hilang ketika berada di Pulau Pinang, Malaysia.
Namun apa yang mengejutkan telefon bimbit yang bernilai S$1,700 (RM5,668) itu dijumpai berada di China sebelum pelancong berkenaan sempat menjejakkan kaki pulang ke negaranya.
Menurut laporan Must Share News (MSN) yang memetik Lianhe Zaobao, pelancong yang dikenali sebagai Zeng Yusong, 21, ketika itu melawat universiti tempatan di Singapura diikuti Malaysia bersama profesor dan dua rakan belajarnya.
Sangka tertingal dalam kereta, namun tiada
Namun selepas menyedari telefon bimbit itu hilang dia kemudian menyangka ia mungkin secara tidak sengaja telah tertinggal di dalam sebuah kereta yang dinaiki. Mereka kemudiannya telah kembali ke tempat berkenaan untuk bertemu dengan pemandunya.
Namun pemandu itu memaklumkan telefon bimbit berkenaan tidak berada di dalam kereta itu dan mungkin ia sudah diambil oleh penumpang lain yang menaiki kenderaan terbabit selepas mereka.
Mereka lalu cuba untuk mengesan telefon bimbit berkenaan menerusi GPS tetapi gagal kerana ia telah dimatikan.
Cuba kesan iPhone 15 Pro menggunakan GPS
Zeng menjadi lebih bimbang kerana dia juga ada menyelit kad pengenalannya di antara telefon bimbit dan juga sarungnya.
Namun sebaik sahaja pulang ke Singapura, mereka kemudian menyedari telefon bimbit berkenaan telah dihidupkan semula.
Dakwa ada pihak mungkin cuba buka papan kekunci
Mereka juga merasakan mungkin terdapat seseorang yang cuba membuka papan kekunci tetapi telah mematikan telefon berkenaan dengan segera kerana ingin mengelak daripada dikesan.
Susulan daripada insiden itu, Zeng kemudian pulang ke China pada 4 Ogos seperti yang telah dirancang sebelum ini tanpa menjumpai telefon bimbit yang hilang.
Telefon bimbit berada di Wenzhou sebelum Zeng pulang
Akan tetapi, ketika berada di Hong Kong, dia telah menyedari telefon bimbit yang hilang itu berada di Wenzhou iaitu kawasan berdekatan dengan tempat belajarnya.
Malah telefon bimbit itu berada di sebuah pusat membeli belah yang terletak sekitar 80 kilometer dari kampusnya.
Sebaik pesawatnya mendarat pada 5 Ogos, Zeng lalu membuat laporan kepada pihak polis dan mereka juga telah menemaninya untuk ke sebuah kedai telefon bimbit di pusat membeli-belah terbabit.
Pasangan dakwa jumpa telefon bimbit dan tunggu 10 minit untuk pulangkan
Zeng lalu meminta untuk melihat rakaman litar tertutup (CCTV) dan melihat terdapat seorang pekerja yang menghidupkan telefon berkenaan ketika ia dikesan melalui GPS.
Pekerja kedai telefon bimbit itu lalu memaklumkan telefon berkenaan telah dijumpai oleh sepasang kekasih yang ketika itu turut berada di Pulau Pinang.
Malah pekerja kedai itu turut berkongsi telefon bimbit pasangat terbabit. Pasangan berkenaan memaklumkan mereka menunggu selama 10 minit di lokasi mereka menemukan telefon berkenaan sebelum bertindak untuk mengambilnya.
Cuba jual telefon tapi tak boleh buka kekunci
Mereka kemudian cuba untuk menjual telefon berkenaan namun memandangkan papan kekuncinya tidak dapat dibuka maka pekerja kedai terbabit enggan membelinya.
Pasangan itu lalu meninggalkan telefon berkenaan di kedai telefon tersebut agar pekerja terbabit boleh mencuba untuk membukanya.
Namun Zeng merasakan terdapat sesuatu yang tidak kena dengan cerita pasangan itu, malah dia menyangkakan pasangan itu sengaja menutup telefon berkenaan kerana tidak mahu dikesan.
Katanya, pasangan itu boleh memulangkan telefon berkenaan kepada pemandu kereta atau pihak polis di Pulau Pinang daripada membawanya sehingga ke Wenzhou.