Harga Sebenar Nasi Lemak RM26.60 Sahaja, Tapi Pelanggan Ini Terbayar Sampai RM2,660 Guna Kod QR!
Harga RM26.60 itu dipercayai jumlah untuk sepinggan nasi lemak berlauk dari Restoran Botak Nasi Lemak di cawangan Petaling Jaya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Jika dibandingkan dengan waktu dahulu, kaedah pembayaran di kebanyakan kedai di Malaysia sekarang adalah lebih mudah yang mana anda boleh melakukan transaksi tanpa tunai (cashless) menggunakan sistem Quick Response (QR) sahaja.
Sistem tersebut sememangnya memudahkan ramai pengguna yang tidak gemar memegang wang tunai dengan jumlah banyak. Apa yang anda perlukan untuk membuat transaksi QR hanyalah internet dan juga telefon pintar.
Namun, sistem pembayaran ini boleh membawa kepada masalah sekiranya peniaga terlepas pandang harga sebenar yang patut dibayar hingga menyebabkan pelanggan terkurang atau terlebih bayar bil.
Pelanggan Terlebih Bayar Bil Nasi Lemak
Baru-baru ini, satu hantaran di laman Facebook Koji Chen telah mencuri perhatian ramai selepas sebuah kedai nasi lemak sekitar Petaling Jaya iaitu Restoran Botak Nasi Lemak mendedahkan bahawa salah seorang pelanggannya telah tersalah membuat bayaran menggunakan kod QR.
Harga yang sepatutnya dibayar oleh pelanggan wanita tersebut adalah RM26.60 dipercayai bagi sepinggan hidangan nasi lemak berlauk.
Namun lain pula yang terjadi apabila dia memindahkan wang berjumlah RM2,660! Berkali-kali ganda daripada harga asal yang diperlu dibayar.
Menerusi tangkap layar kamera litar tertutup (CCTV), kelihatan pelanggan yang dimaksudkan sedang membuat transaksi dengan harga yang salah itu.
“Tolong kami cari pelanggan supaya kita boleh pulangkan balik baki duit kepada mereka! Kita bukan Botak Omakase,” kapsyen di ruangan poster.
Baki Wang Sudah Dikembalikan Kepada Pemilik
Menerusi hantaran di laman Instagram pula, pengendali akaun dikenali sebagai Botak meminta pelanggan terlibat untuk berkunjung semula ke cawangan Restoran Botak Nasi Lemak sama bagi menuntut baki wang.
Namun semakan kami di ruangan komen mendapati baki RM2633.40 telah pun dipulangkan semula kepada pelanggan itu.
Botak dalam masa sama turut berterima kasih kepada orang ramai yang membantu menyebarkan poster tersebut.
Ramai Puji Pihak Restoran Botak Nasi Lemak Kerana Jujur
Perkongsian ini telah mencuri perhatian pengguna media sosial. Ada yang berjenaka dengan mengatakan pelanggan berkenaan boleh menikmati hampir 100 hidangan lain di kedai makan tersebut dengan baki wang sebanyak itu.
Segelintir individu turut memuji pihak restoran kerana jujur dalam urusan perniagaan.
“Etika berbisnes yang sangat baik. ‘Kudos’ kepada Botak Nasi Lemak,” kata seorang lelaki.