fbpx
Now Reading
Wanita Nasihat Panggil Perempuan Tak Dikenali ‘Puan’ atau ‘Cik’ Berbanding ‘Kakak’ Curi Perhatian

Wanita Nasihat Panggil Perempuan Tak Dikenali ‘Puan’ atau ‘Cik’ Berbanding ‘Kakak’ Curi Perhatian

Jelas pengguna Threads itu, sekiranya seseorang tidak tahu status seorang wanita sama ada berkahwin atau tidak, gelaran ‘Cik Puan’ boleh digunakan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Dalam kehidupan seharian, ada waktu kita berjumpa dengan orang yang tidak dikenali.

Pasti ada yang teragak-agak dan tidak pasti panggilan apa yang sesuai untuk digunakan bagi memanggil individu tersebut.

Ini kerana sesetengah orang lebih gemar dipanggil dengan menggunakan gelaran formal.

Namun, ada juga yang tidak kisah dengan gelaran asalkan panggilan itu masih sopan untuk didengar.

Jangan Normalisasi Panggil Wanita Tak Dikenali Dengan Gelaran ‘Akak’

Namun, hantaran seorang wanita mengenai panggilan ini menjadi perhatian ramai.

Menerusi tangkap layar hantaran Threads yang dikongsikan semula di akaun X @MALAYSIAVIRALLL, seorang wanita meminta agar orang ramai untuk tidak memanggil seseorang kaum Hawa yang tidak dikenali dengan gelaran ‘akak’.

Jelasnya, panggilan sebegitu tidak manis untuk didengar. Malah, ia juga perlu diaplikasikan untuk jantina berlainan.

“Please (tolong) ye, jangan normalisasi panggilan orang tak dikenali (stranger) ‘akak’, tak manis! Sama juga untuk berlainan gender,” tulis wanita itu.

Tambah pengguna itu, sekiranya seseorang tidak tahu status individu itu sama ada berkahwin atau tidak, gelaran ‘Cik Puan’ boleh digunakan.

“Kalau tak tahu sangat nak panggil, panggil la ‘Puan’ kalau tahu statusnya isteri orang.

“Kalau tak tahu, memadai panggil ‘Cik Puan’, takkan tu pun kena ajar? Lagi-lagi orang sales (jualan). Apa kau rasa panggil orang akak konon-konon ramah?” tulisnya lagi.

Panggilan Melambangkan Adab Seseorang

Kenyataan itu bagaimanapun disangkal oleh seorang lagi pengguna Threads. Bagi pengguna berkenaan, dia berpendapat gelaran sebegitu sesuai digunakan bergantung kepada keadaan.

“Dari segi korporat, ya. Tapi kita jual goreng pisang tepi jalan pun nak kena berpuan puan juga ke? Macam tak boleh adapt (sesuaikan diri) hidup bermasyarakat,” balas pengguna seorang lagi.

Namun, wanita berkenaan menjelaskan ianya tidak menjadi satu kesalahan walaupun menggunakan gelaran itu kepada peniaga pisang goreng. Baginya, itu melambangkan adab seseorang.

Tambahnya lagi, tidak semua orang suka dibahasakan sebagai ‘akak’.

“Boleh je apply (gunakan) walaupun jual goreng pisang, tu kita panggil manners (adab).

“Kalau orang tu dulu bahasakan diri dia ‘akak’ then okay lah, tapi ini nak start conversation.

“Bukan maksud tak boleh nak adapt bermasyarakat. Bukan semua orang suka dipanggil ‘akak’, lagi-lagi orang yang panggil tu nampak lebih berusia,” tulisnya.

Hantaran Cetus Pertikaian Ramai

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna X dilihat tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh wanita berkenaan.

Ini kerana bagi mereka tiada salahnya untuk menggunakan gelaran apapun asalkan ia masih kedengaran menghormati individu berkenaan.

Tidak kurang juga ada yang mempersoalkan mengapa perlu merumitkan keadaan dengan jenis panggilan berkenaan.

Gelaran Puan Digunakan Dalam Urusan Rasmi – DBP

Berdasarkan laman web Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kata sapaan ‘Puan’ digunakan dalam urusan rasmi bagi wanita yang sudah berkahwin atau belum berkahwin.

Walau bagaimanapun, bagi urusan tidak rasmi, setiap orang bebas menggunakan apa sahaja kata sapaan asalkan sopan dan tidak menimbulkan rasa kurang senang pada yang disapa.

Berikut antara komen pengguna X:

“Lah, Panggil Akak Dah Kira Hormat La Tu, Tak Kira La Dia Tua Dari kita Ke, Tak Ke. Panggilan Mak Cik Baru La Bunyi Macam Tak Elok”

“Setiap Hari Deal Dengan Pelanggan, Pelanggan Perempuan La Paling Aku Risau. Panggil Cik Salah, Puan Salah, Akak Salah, Adik Salah”

“Tak Sangka Benda Macam Ni Pun Nak Diisukan”

“Aku Tak Kisah Orang Panggil Aku Apa, Asalkan Bukan Oi Atau Panggilan Carut”

“Kenapa Merumitkan Keadaan? Banyak lagi Perkara Lain Yang Perlu Dirisaukan”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.